- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Promosi Pelancongan Guna Kaedah Baru

Must read


Pengusaha homestay harus berusaha dengan mengunakan kaedah dan pendekatan terkini untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dan bersedia untuk menghadapi persaingan dalam industri pelancongan yang sengit dewasa ini, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak, Dato’ Sri Wong Soon Koh.


Ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya platform ICT, antaranya dengan penghasilan laman web bagi tujuan mempromosikan perkhidmatan homestay di samping dapat meningkatkan akses pemasaran berkaitan industri ini.


Katanya, dengan adanya laman web yang sesuai dan berkaitan, pelancong boleh mendapat maklumat terus daripada laman web berkenaan, selain boleh membuat tempahan secara dalam talian (online)


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laman Web dan Direktori Program Homestay Negeri Sarawak Julai lepas anjuran Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sarawak dan SAINS.


Langkah tersebut adalah bertepatan dengan usaha kerajaan menggalakkan penggunaan ICT di kalangan pengusaha pelancongan.


Ia turut melengkapkan lagi usaha kerajaan yang kini sedang rancak mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2007.


Beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian beliau baru-baru ini telah menerima peruntukan sejumlah RM2.4 juta daripada kerajaan persekutuan untuk membangunkan program homestay di Sarawak.


Melengkapkan lagi usaha tersebut, beliau berharap pihak pengusaha homestay turut memainkan peranan meningkatkan lagi tahap perkhidmatan yang disediakan kepada pelancong.


Menurutnya, antara tiga (3) aspek yang penting yang perlu diberi perhatian ialah aspek kebersihan, keselesaaan dan keselamatan.


Katanya, pelancong lebih mengemari sesuatu kawasan yang mengikut segala garis panduan yang ditetapkan, malah pelancong perlu merasa selesa dengan layanan yang diberikan dan aspek keselamatan.


Jelasnya, segala aspek, ditambah dengan keramahan rakyat negeri ini mampu memberikan satu pengalaman dan imej yang baik tentang Sarawak kepada para pelancong.


Beliau turut menggalakan agar para pengusaha homestay di negeri ini menjalinkan bekerjasama rapat dengan rakan mereka di Semenanjung Malaysia.


Terdahulu, Setiausaha Tetap Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak, Encik Akit Sebli mengesa para pengusaha homestay menggunakan sebaiknya peluang yang telah disediakan kerajaan bagi tujuan tersebut.


Laman web tersebut yang mempunyai rekabentuk ringkas dan menarik mengandungi maklumat am, foto galeri, lokasi, pakej, panduan tempahan telah dibangunkan oleh SAINS.


Manakala direktori yang mengandungi senarai lengkap ko-ordinator dan peserta Program Homestay di Sarawak. Direktori tersebut akan menjadi direktori rasmi bagi kegunaan pelancong tempatan dan luar.


Laman Web dan direktori Program Homestay boleh dilayari di laman web berikut
www.right.sarawak.gov.my/homestay




Info




  • Homestay di Sarawak bermula pada tahun 1996 dan mula bergerak aktif pada tahun 2003


  • Bermula dengan hanya 5 buah kampung, kini meningkat kepada 12 buah kampung, melibatkan 118 orang yang telah berdaftar.


  • Pada tahun ini sahaja, Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak telah menerima 15 permohonan baru dengan jumlah dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun

Antara Kampung yang terlibat dalam homestay




  • Kampung Telok Melano, Sematan


  • Kampung Pueh, Sematan


  • Kampung Panglima Seman Lama, Kuching


  • Kampung Telaga Air, Matang


  • Kampung Benuk, Padawan


  • Kampung Mongkos, Serian


  • Kampung Maludam, Betong


  • Rumah Lulut, Sungai Tisa, Sungai Yong, Kapit


  • Kampung Senau, Oya, Mukah


  • Rumah Patrick Libau, Niah


  • Kampung Annah Rais, Padawan


  • Kampung Tanah Hitam, Sematan





Apa Kata Pengusaha Homestay


Rata-rata pengusaha homestay menyambut baik usaha tersebut. Antaranya sempat ditemui RAKAN Sarawak ialah Normah Haji Hamdin, dari Kampung Senau, Oya yang berkata langkah tersebut amat tepat pada waktu mempromosikan kampung tersebut.


Ia turut diakui Liana Binti Jailun dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM, Mukah), pegawai yang memantau perkembangan homestay di Kampung Senau, Oya, Mukah.


Jelas Liana, terdapat sekurang-kurangnya 10 orang terlibat dalam projek berkenaan di kampung tersebut. Menurutnya, sebelum ini masih ramai kurang mengetahui kewujudan homestay di kampung tersebut yang telah pun bermula mengetengahkan ciri kebudayaan Melanau pada tahun 1999 dan bergerak aktif pada tahun 2006.


Abdullah Ibrahim dan Sabariah Sebli, dari Kampung Bako pula turut menyuarakan perkara yang sama iaitu usaha ini mampu mengetengahkan kampung tersebut yang sudah pun terkenal menjadi antara destinasi persinggahan pelancong yang ingin ke Taman Negara Bako.








Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article