- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Belia Perlu Berfikiran Terbuka

Must read

Golongan
belia harus menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu serta kemahiran yang
perlu dan terkini menghadapi cabaran yang lebih hebat yang bakal dihadapi pada
masa-masa akan datang. Selain daripada
persiapan ilmu dan kemahiran, belia juga perlu berfikiran terbuka di samping
berupaya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pada zaman teknologi
maklumat.

Ini
kerana terpikul di bahu golongan inilah agenda pembangunan negara pada masa
akan datang terlaksana.

Memandangkan
golongan ini merupakan aset penting negara, maka tanggal 15 Mei setiap tahun
telah diisytiharkan sebagai sambutan Hari Belia Negara sebagai tanda
penghargaan ke atas sumbangan para belia kepada pembangunan negara.

Melalui
acara sebegini juga, para belia dari seluruh pelusuk negeri dapat dihimpunkan
dan ditemukan agar dengan itu mereka dapat saling kenal-mengenal,
bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman masing-masing yang matlamat
akhirnya akan membolehkan mereka menyumbang secara positif kepada pembangunan
negeri dan negara.


Pameran peluang melanjutkan pengajian turut diadakan Ikrar Belia

Tahun
ini (2007) bagi peringkat negeri Sarawak, Kota Samarahan telah diberikan
penghormatan menjadi tuan rumah sambutan.

Ketua
Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 21 Julai 2007 yang
lalu telah meluangkan masa menyertai Perhimpunan Hari Belia 2007, Peringkat
Negeri Sarawak yang diadakan di Dewan Suarah Samarahan.

Pehin
Sri Haji Abdul Taib dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa golongan
belia terutama mereka yang berumur 25 tahun ke bawah pada masa ini perlu lebih
bersedia kerana cabaran yang bakal tiba adalah lebih hebat berbanding yang
dihadapi oleh golongan yang berumur 25 hingga 40 tahun sekarang.

Beliau
menambah, mereka yang berumur 25 tahun ke bawah harus bersedia untuk meneruskan
pembangunan negeri yang telah dikecapi selepas kemerdekaan.

“Berbanding
masa dahulu, anak-anak generasi sekarang dilengkapi pelbagai kemudahan
disediakan kerajaan. Malah, mendapat makanan lebih berzat yang menjadikan otak
bertambah cerdas,” tambah beliau lagi.

Pada
masa sama, Ketua Menteri juga menyeru ibu bapa agar menitikberatkan pendidikan
anak-anak. Katanya, ibu bapa hendaklah mengajar anak masing-masing berfikiran
terbuka dan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin.

“Kita
perlu galakkan anak-anak dengan cara berfikir lebih terbuka, boleh menerima
kritikan dan cadangan orang lain,” katanya.

Pada
perhimpunan kali ini, beberapa anugerah telah diberikan kepada golongan belia
yang telah banyak menyumbang kepada persatuan, masyarakat dan juga negeri.


YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bersama penerima Anugerah Belia 2007


Antara
mereka yang dianugerahkan itu ialah Cik Dayangku Siti Mariam Awang Masir dan
Cik Yeo Liew Yian yang menerima Anugerah Belia, Sukan dan Kebudayaan.

Puan
Norhayati binti Budin dari kampung Stapok, Kuching pula dianugerahkan dengan
Anugerah Belia Berkemahiran/Keusahawanan di atas kegigihan beliau mengusahakan
perusahaan membuat kuih cincin.

Sementara
itu Puan Ting Siao Fong dan Encik Gerald Rentap Jabu pula dianugerahkan dengan
anugerah Pemimpin Belia Cemerlang.

Bagi
Anugerah Tokoh Belia pula, anugerah terbahagi kepada tiga iaitu Tokoh Belia
kategori Emas, Perak dan Gangsa.
Anugerah ini adalah penghargaan serta mengenang sumbangan serta
pengorbanan mereka kepada usaha menggerakkan aktiviti belia di dalam
masyarakat.

Tahun
ini tiada penerima Anugerah Tokoh Belia kategori Emas. Namun bagi kategori Gangsa, terdapat empat
(4) penerima iaitu Encik Yusuf bin Suut, Encik Peter Jalong, Puan Tan Goy Hua
dan Dr. Morni Abu Samat.

Sementara
bagi kategori Perak pula, terdapat dua (2) penerima iaitu Tuan Haji Saidi Haji
Ahmad dan Encik Thomas Tieng Mee Tung.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article