- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Dua Tahun Yang Penuh Dengan Pengalaman Berguna

Must read

Tempoh selama dua tahun menyertai PINA (Program Integrasi Nasional) 2005 dirasakan terlalu cepat berlalu.

Segala yang telah dilalui kini hanya tinggal kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan. Di sebaliknya juga terungkap pelbagai pengalaman yang berguna yang akan terus menjadi panduan dalam menangani cabaran tugas seharian.

Begitu yang dinyatakan oleh dua orang peserta PINA 2005 ketika ditemubual oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Mereka merupakan antara lima peserta yang menyertai program pertukaran pegawai Kerajaan Sarawak dengan pegawai Kerajaan Persekutuan yang dimulakan pada 1 Julai 2005 dan berakhir pada 30 Jun 2007.

Cik Lo Sheau Sia, 31 tahun, merupakan Penolong Setiausaha di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak. Beliau ditukarkan ke Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dengan memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah.

Minatnya untuk menyertai PINA 2005 datang setelah membaca surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri.

Menurutnya, “Unit ini (UPE) bertanggungjawab dalam penyediaan pelan pembangunan nasional dan ditubuhkan pada 1961.

“Ia terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Bahagian Perancangan Sektoral dan Bahagian Perancangan Makro”, jelasnya dan menambah bahawa terdapat kira-kira 400 orang pegawai kanan dan staf bertugas di situ.

Berkenaan objektif PINA, beliau menjelaskan bahawa dia telah dapat membina rangkaian kerja yang lebih luas khususnya melalui jalinan perhubungan yang lebih erat dengan pegawai-pegawai di peringkat Persekutuan, membantu dalam membentuk polisi dan strategi sektor pelancongan serta berkongsi maklumat mengenai Sarawak.

“Semasa berkhidmat di sana, saya merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas sub-sektor pelancongan,” katanya.

“Antara tugas saya adalah membantu Ketua Penolong Pengarah Seksyen dalam mengkaji semula, menilai, merancang dan membentuk strategi-strategi, dasar-dasar dan program-program sektor kecil pelancongan dan perkhidmatan perantaraan,” jelasnya.

Beliau turut menyenaraikan dengan panjang lebar tugas-tugasnya iaitu membantu dalam merangka dasar-dasar yang berkaitan dengan perkhidmatan melalui penyediaan kertas kertas-kertas kerja; membantu membentuk strategi-strategi untuk mengatasi isu-isu berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pengurusan pelancongan dan perkhidmatan perantaraan; membantu dalam menyelia dasar, program dan projek pembangunan pelancongan dan perkhidmatan perantaraan; menyedia, mengkaji dan mencadangkan bidang rujukan bagi kajian kemungkinan; membantu dalam merancang, mengurus dan mengawasi belanjawan pembangunan bagi agensi dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelancongan; serta membantu dalam penyediaan dokumen-dokumen Rancangan Jangka Panjang, Rancangan Pembangunan Lima tahun dan Kajian Separuh Penggal.

“Semua tanggungjawab itu memerlukan komitmen yang tinggi dan sering kali memerlukan kami bekerja sehingga lewat malam tanpa mengira hujung minggu dan cuti umum,” luahnya.

Namun katanya, “Semangat kerja berkumpulan menjadikan kerja dilaksanakan dengan bantuan sesama rakan sejawat. Malah kepimpinan ketua seksyen yang sentiasa memberi arahan yang jelas, menekankan kesempurnaan tugas dan maklumat terperinci memudahkan kerja.”

Sehubungan itu, suasana kerja bekumpulan dan kepimpinan Ketua Seksyen yang berkaliber adalah antara pengalaman yang sukar untuk dilupakannya.

Cik Lo juga berkongsi pendapatnya berkenaan istilah ‘turun padang’ semasa berkhidmat di sana.

“Persepsi biasa orang lain tentang istilah ‘turun padang’ ialah pergi ‘travelling’, tetapi bagi saya bebanan tanggungjawab di pejabat sudah cukup membuatkan saya ‘travelling’ di dalam pejabat setiap hari”.

Seperkara yang turut meninggalkan kenangan manis baginya ialah keramahan kanak-kanak yang tinggal berjiran dengan kediaman mereka menyebabkan keletihan dan tekanan seharian bekerja di pejabat hilang seketika kerana melayan keramahan kanak-kanak berkenaan.

“Dengan pengalaman selama ini, saya berasa lebih yakin untuk mengendalikan isu-isu dalam tugas seharian,” jelasnya.

“Di samping meningkatkan tahap kemahiran diri, saya juga berasa lebih yakin untuk berdepan dengan orang lain dan lebih arif dengan cara betul untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan,” katanya memberi penjelasan.

Cik Dayang Noor Ashikin binti Abang Sulaiman, 37 tahun, Penolong Pegawai Tadbir di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) juga mempunyai pengalamannya untuk dikongsi bersama.

Ketika menyertai program itu, beliau telah ditugaskan di Kementerian Wilayah Persekutuan dengan memegang jawatan yang sama di agensi asal.

“Antara perkara yang saya usahakan ialah cuba mempromosikan Negeri Sarawak kepada masyarakat di Semenanjung sehinggakan ada yang berminat datang ke Sarawak untuk melancong pada awal tahun 2006 yang lalu,” katanya yang menambah bahawa dia mengetahui tentang PINA melalui iklan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Namun, tugas tetap menjadi keutamaan. Menurutnya, objektif Kementerian Wilayah Persekutuan adalah untuk melaksanakan tugas-tugas perancangan dan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Lembah Klang dan Hal Ehwal Kepulauan.

Di samping itu, kementerian itu juga bertanggungjawab untuk mengawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PLb) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Antara tugas harian saya ialah membantu tugas-tugas keurusetiaan bagi mesyuarat; menyemak dan menyelia senarai inventori Kementerian; mengurus dan menyelia kad perakam waktu pegawai dan kakitangan cawangan pentadbiran; mengurus hal urusan hapus kira dan pelupusan aset-aset bahagian-bahagian di Kementerian; mengurus permohonan dan pelaksanaan kerja pembaikan serta pengubahsuaian ruang pejabat; membantu dalam memantau dan menilai liputan media dan kesannya mengenai perkembangan semasa Kementerian serta memberi maklum balas kepada isu-isu yang dibangkitkan; membantu Pegawai Perhubungan Awam dalam menyelaras media; membantu menyelaras pengeluaran dan penghasilan bahan penerbitan Kementerian sebagai sumber maklumat informatif; membantu dalam pelaksanaan pelan tindakan pengurusan acara bagi aktiviti-aktiviti rasmi Kementerian berhubung publisiti, promosi dan kempen; membantu penyelarasan aduan awam atau pelanggan berkaitan Kementerian daripada pelbagai sumber; membantu menyelaraskan Program Hari Bersama Pelanggan bagi Kementerian; dan membantu dalam pelaksanaan program-program peningkatan imej korporat Kementerian,” katanya secara terperinci.

Namun, pengalaman yang paling bermakna buat dirinya ialah ketika membantu dalam persediaan dan penyelarasan perisytiharan Bendera Wilayah Persekutuan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Saya juga berpeluang bersama-sama rakan sekerja menjelajah negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia atas urusan kerja,” katanya.

Ditanya tentang pengalaman baru, beliau menjelaskan bahawa perkara paling nyata dipelajari sepanjang dua tahun itu ialah cara menyelaras dan memantau pengendalian majlis rasmi mengikut tatacara protokol yang betul.

Sehubungan itu, katanya dia akan sentiasa menggunakan pengalaman berguna ketika mengendalikan majlis rasmi itu memandangkan tempat di mana dia bertugas sekarang juga sentiasa mengadakan aktiviti yang melibatkan orang kenamaan.

Jelasnya, jika semua majlis anjuran agensi diadakan dengan protokol yang bersesuaian dan dilaksanakan dengan lancar, secara tidak langsung akan dapat meningkatkan lagi imej agensi pada pandangan pelanggan dan masyarakat umumnya.


Info

  • PINA diperkenal pada akhir tahun 1960-an
  • Tujuan PINA ialah
  1. Mengukukuhkan jalinan perpaduan dan budaya antara kaum di Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah
  2. Memberikan pendedahan tentang sistem pentadbiran di Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah
  3. Berkongsi kepakaran dalam bidang-bidang yang diberikan fokus utama seperti ekonomi, pembangunan luar bandar dan wilayah, pengurusan sumber manusia, pelancongan dan pihak berkuasa tempatan

Lihat artikel berkaitan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article