- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Karnival Kebudayaan Rakan Muda

Must read

Oleh Norliza Binti Isahak

Pada 27 Julai yang lalu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian,
Datuk Peter Nyarok Entrie telah merasmikan Karnival Kebudayaan Rakan Muda
Peringkat Negeri Sarawak 2007 di Dewan Masyarakat, Saratok.

Dalam ucapan
perasmiannya, Datuk Peter menyeru agar generasi muda sentiasa mengekalkan
perpaduan kerana ia merupakan elemen utama dalam menentukan kestabilan politik
dan pembangunan sesebuah negara.

Beliau juga
mengingatkan rakyat agar tidak berpecah-belah dan mengenepikan perasaan iri
hati, curiga dan bermusihan antara satu sama lain.

Beliau yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian turut menyeru agar rakyat sentiasa
memelihara warisan negeri yang unik seperti adat resam dan kepercayaan kerana
ia merupakan aset negara yang merupakan satu produk pelancongan yang mampu
menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Generasi
muda wajar mewarisi warisan negeri yang sangat unik yang tidak akan dapat
diperolehi dari mana-mana tempat lain di dunia ini. Ia harus dipelihara
daripada hilang di telan arus pemodenan," jelasnya.

"Kita
harus lebih prihatin untuk mengekalkan adat resam dan kepercayaan agar ia boleh
diwarisi oleh generasi yang seterusnya kerana ia bukan sahaja mampu menarik
pelancong dari dalam negara malah pelancong dari luar negara," tambahnya.

Karnival
anjuran Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Kelab Sukan Komuniti (KSK)
antara lain bertujuan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan di
kalangan belia amnya dan generasi muda khasnya.

Selain itu, ia
adalah untuk memastikan generasi muda tidak melupakan keunikan adat resam,
kepercayaan dan cara hidup masyarakat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai
etnik.

Walaupun hidup
dikelilingi oleh masyarakat yang berlainan latar dan etnik, rakyat di Sarawak
masih lagi mampu untuk hidup dalam suasana yang aman dan menghormati adat dan
kepercayaan masing-masing. Itulah keunikan Sarawak yang harus dibanggakan.

Sebagai
pengisian kepada majlis tersebut, pelbagai persembahan berkonsepkan keunikan
warisan negeri Sarawak telah menyerikan majlis seperti Tarian Kenyalang, Ngajat
Iban, Tarian Singa dan persembahan nyanyian yang semuanya melibatkan
belia-belia tempatan yang telah diiringi oleh Kumpulan Kugiran yang telah
didatangkan khas dari Sibu. Cabutan tiket bertuah turut diadakan untuk
memeriahkan lagi majlis.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kalaka, En. Abdul Wahab Aziz, Pengarah Rakan Muda, En. Mohd
Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, En. Abdul Zamrie
Ramdin, Pegawai Daerah Saratok, En. Mohd Daniel Supit, Pengerusi Kelab Sukan
Komuniti (KSK) Kalaka, En. Wan Ismail Zamhari, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua
masyarakat dan para belia setempat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article