- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Agenda Sosial Negeri

Must read

Membina Masyarakat Majmuk yang Harmoni, Maju dan Seimbang


Kerajaan Negeri menyedari akan situasi sosial dan isu-isu berkaitan
dengannya yang masa kini yang telah menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang
tidak sihat jika dibiarkan tanpa pengawasan dan penyelesaian yang sesuai
diambil untuk menanganinya akibat langsung daripada arus pembangunan semakin
pesat.

Maka kerana itu Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan
melaksanakan Agenda Sosial Negeri (ASN) yang bertujuan untuk membina satu
masyarakat majmuk yang harmoni, maju dan seimbang dari segala aspek dan
seterusnya menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia selari dengan Dasar
Sosial Negara (DSN).

Ini yang dimaklumkan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak
Datuk Haji Mohd. Morshidi bin Abdul Ghani dalam ucapan beliau ketika merasmikan
Bengkel Latihan Kemahiran Sosial yang dianjurkan di Sibu pada 25 Julai 2007
yang lalu.

Menurut Datuk Haji Mohd. Morshidi lagi, pembangunan ekonomi yang tidak
sejajar dengan pembangunan sosial tidak akan berkekalan untuk jangka masa yang
panjang sebaliknya kemakmuran dari segi ekonomi memerlukan suasana yang
sentiasa harmoni, aman, selamat dan kualiti hidup rakyat berada pada tahap yang
mantap dan utuh.

Datuk Haji Mohd. Morshidi bahawa pembangunan sosial adalah satu bidang
yang sungguh luas dan meliputi banyak subsektor seperti kebajikan, kesihatan,
sukan dan rekreasi, belia, perumahan, pendidikan, wanita dan sebagainya.

Dalam usaha menyokong pembangunan sosial agar meliputi setiap peringkat
di negeri ini, Datuk Haji Mohd. Morshidi berkata kerajaan telah mengujudkan
jawatan Pegawai Tadbir Sosial (PTS) di setiap bahagian yang diletakkan di bawah
tanggungjawab Residen.

PTS
katanya, bertanggungjawab ke atas semua aspek pembangunan sosial di peringkat
bahagian, yang bukan sahaja terhad kepada penyelarasan aktiviti-aktiviti sosial
malah merangkumi soal menangani isu-isu budaya sosial yang tidak sihat.

Bengkel
dua hari yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi
(KPSU) ini bertujuan memberi penerangan tentang peranan dan tanggungjawab PTS,
memberi pendedahan tentang proses perancangan, petunjuk dan kaedah penelitian
sosial serta memberi penerangan tentang kaedah pengumpulan data untuk profil
sosial bahagian.

Masalah sosial boleh dibahagikan kepada
dua, iaitu mengikut kumpulan utama dan mengikut isu utama.

Dari segi kumpulan utama, ia dibahagikan
kepada empat, iaitu isu kanak-kanak (penganiayaan, pembuangan bayi, rogol,
perkosaan, sumbang mahram dan jenayah kanak-kanak); isu remaja (jenayah remaja,
kehamilan remaja, lari dari rumah, bohsia dan lepak); isu wanita (pelacuran,
ibu tunggal dan masalah pekerja muda); dan isu keluarga (kebahagiaan keluarga
dan perceraian).

Manakala dari segi
isu utama pula ialah penagihan dadah; HIV/AIDS; pendatang asing; dan jenayah.

Pendekatan
menangani masalah sosial hendaklah dibuat secara holistik. Ia perlu mengandungi
komponen pendidikan, pencegahan, pemulihan dan penerimaan semula.

Malangnya, sebahagian besar daripada program
menangani masalah sosial ternyata kurang berkesan, contohnya, menangani
penyalahgunaan dadah.

Isu sosial ini sebenarnya
berkaitan dengan integriti masyarakat dan kerana itu usaha pencegahan perlu
dimulakan di mana ia bermula iaitu pada peringkat sistem sosial itu sendiri.

Peranan ibu bapa dalam perkara
ini amat penting kerana ibu bapa yang menjadi pembentuk kepada akhlak anak
supaya apabila mereka dewasa kelak dan mula bercampur gaul dengan masyarakat,
tidak menjadi parasit dalam masyarakat, sebaliknya mereka menjadi ejen pengubah
dan aset kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Ibu bapa mungkin dapat
mengawasi anak ketika mereka berada di rumah. Siapa pula yang patut mengawasi
mereka ketika berada di luar? Tentu sekali masyarakat sekeliling juga perlu
bertanggungjawab dalam hal ini kerana anggota masyarakat yang prihatin dan
menekankan aspek kerjasama ke arah kebaikan bersama akan melahirkan masyarakat
yang harmoni. Masyarakat yang harmoni
menjurus kepada sifar masalah sosial.

Konsep tegur-menegur ke arah mencegah
daripada berlaku kepincangan harus diamalkan dengan berhemah agar pihak yang
ditegur tidak tersinggung dan dapat menerima teguran berkenaan dengan terbuka
dan bersedia untuk membaiki keadaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article