- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarawak Susun Semula Unit Pembangunan Usahawan

Must read


YAB Ketua Menteri melihat produk yang terdapat di showcase

Khabar baik untuk usahawan Bumiputera di Sarawak berikutan langkah kerajaan negeri menyusun semula Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (PUB) Sarawak dengan penubuhan sebuah seksyen baru yang berperanan membuat penyelidikan pasaran.

Seksyen baru itu akan diwujudkan di PUB sebagai langkah untuk menolong usahawan tempatan supaya lebih mahir dalam memasarkan produk masing-masing secara lebih berkesan seterusnya memantapkan lagi usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berjaya di negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata bahawa penyusunan semula jentera di peringkat negeri itu perlu supaya PUB dapat melaksanakan penyelidikan untuk mengenalpasti produk yang mendapat sambutan di pasaran serta membantu usahawan mengenal pasti produk dan industri tempatan yang berdaya saing serta mampu menembusi pasaran.

Ketika ini unit berkenaan diletakkan di bawah Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera, Tuan Haji Mohd Naroden Majais.


Kiri: Jualan produk usahawan
Kanan: Sarawak Kitchen tarik penggemar makanan tempatan


Beliau memberitahu langkah terbaru itu ketika berucap merasmikan program ‘Gerak Usahawan, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Showcase Usahawan Peringkat Negeri Sarawak’ di Tebingan Sungai Kuching pada penghujung Julai lepas.

Sungguhpun bilangan usahawan Bumiputera semakin meningkat ketika ini, penyusunan semula itu masih perlu diusahakan dan adalah selaras dengan perubahan strategi yang dilakukan kerajaan pusat pada masa ini.

Jelas beliau, keadaan pasaran di Sarawak adalah berbeza dan ia memerlukan kajian terperinci supaya strategi yang digunakan dapat dimanfaatkan bagi tujuan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya.

Katanya, kebanyakan usahawan Bumiputera tidak dapat menembusi pasaran yang lebih luas dengan berkesan kerana kekurangan pengalaman dan pengetahuan khususnya dalam aspek promosi pemasaran dan pengurusan rantaian bekalan.

Selain itu, katanya produk dan perkhidmatan yang ditawarkan juga perlu berkualiti daripada semua aspek termasuk pembungkusan dan penjenamaan supaya ia dapat diterima di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Usahawan tempatan juga digesa supaya dapat mengeluarkan barangan cenderahati oleh industri kecil dan desa dengan lebih kreatif seperti ‘tebaloi’ dan ‘sagon’.

Beliau juga mengingatkan usahawan dan bakal usahawan agar tidak bergantung penuh dengan usaha kerajaan jika hendak berjaya dalam bidang perniagaan.

Ia kerana kewujudan pelbagai kemudahan pinjaman kewangan dan khidmat nasihat dari agensi-agensi pembangunan usahawan seperti TEKUN, MARA dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) perlu disertai melalui daya usaha mereka sendiri.

Ketua Menteri juga menjelaskan, usahawan yang berjaya merupakan individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kerjayanya itu.

Melalui sikap sedemikian, usahawan akan mampu mengatasi pelbagai masalah dan cabaran yang boleh membantutkan usaha mereka mencapai kejayaan.


Info

  • Program Gerak Usahawan (aktiviti seminar keusahawanan, kursus keusahawanan, taklimat produk, klinik usahawan, padanan perniagaan dan pameran agensi), Showcase SDSI (aktiviti Sarawak Kitchen dan showcase produk serta perkhidmatan) dan Showcase Usahawan (pameran dan jualan produk serta perkhidmatan) adalah program 3 dalam 1 yang berlangsung serentak selama tiga hari
  • Menampilkan 100 buah gerai pelbagai produk dan perkhidmatan oleh usahawan dalam dan luar negeri
  • Melibatkan penyertaan 40 buah agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang terlibat dengan pembangunan usahawan di Sarawak
  • Satu Daerah Satu Industri (SDSI) merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan produk atau perkhidmatan yang beridentitikan satu-satu daerah. Jawatankuasa induk SDSI terletak di bawah Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) dan dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Program SDSI dimulakan sejak 1992, bermula dengan Satu Kampung Satu Produk (SKSP) kemudiannya ditukar nama pada 2002 kepada Satu Kampung Satu Industri (SKSI) dan setahun kemudiannya kepada SDSI. Pada tahun 2006, terdapat 117 daerah di seluruh negara menyertai dan terlibat dalam program SDSI


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article