- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Kemesraan Masyarakat Kedayan di Nyalau

Must read

– Sukar Dilupakan

Kampung ini terletak berhampiran dengan sungai Nyalau kira-kira 90 km dari
Bintulu. Kami bertolak awal dari Bandar Bintulu kira-kira pada pukul 7.45 pagi
menggunakan jalan pesisir pantai Miri-Bintulu. Sepanjang perjalanan bentuk
mukabumi adalah berbukit bukau tetapi pada ketinggian antara 50-120 meter
sahaja. Sepanjang jalan hanya terdapat ladang kelapa sawit. Banyak kawasan
hutan telah ditebang untuk pembukaan ladang dan pembinaan jalan raya. Sejauh
mata memandang hanya ladang sawit sahaja yang menghijau. Jalan raya cukup baik.
Sekali sekali terhentak juga kerana ada beberapa jalan yang berbonggol.

Kami tiba di Kampung Kuala Nyalau kira-kira 8.30 pagi. Penduduk kampung
masih belum bersedia. Ketua Kampung TK Haji Sabtu bin Bunut berulang kali
meminta maaf kerana mereka difahamkan kami hanya akan tiba pada pukul 9.00
pagi. Kami juga meminta maaf kerana tidak tahu jarak sebenar kampung dari
bandar Bintulu. Oleh itu kami bertolak awal kerana tidak mahu lewat tiba dan
membiarkan Ketua Kampung dan penduduknya tertunggu-tunggu.

Kami disambut dengan mesra di Dewan Pudayan. Bila ditanya kenapa dinamakan
Pudayan, Ketua Kampung menyatakan nama itu dipilih oleh salah seorang guru yang
pernah berkhidmat di kampung ini. Memandangkan penduduk kampung terdiri
daripada orang Kedayan maka Pudayan bolehlah dikatakan sebagai Pusat Kedayan.

Penduduk kampung rupanya telah menghentikan segala kegiatan harian mereka
hanya untuk menyambut rombongan kami. Kaum ibu sibuk di dapur menyediakan
sajian. Kami menemubual penduduk kampung. Perkumpulan wanita juga ghairah
menceritakan kegiatan harian mereka. Isu yang hangat bagi mereka adalah
pembukaan jalan pesisir Miri-Bintulu langsung melalui kampung mereka. Beberapa
ekar tanah orang kampung telah dibangunkan untuk membina jalan raya. Sebelum
ini tanah ini adalah untuk kegiatan menanam padi, sayuran dan dusun
buah-buahan. Demi pembangunan maka tanah ini dilepaskan dengan menerima
pampasan oleh kerajaan.

Sebelum ini untuk ke Kampung Nyalau, mereka terpaksa menggunakan jalan Pan
Borneo Miri-Bintulu. Dari jalan utama ke Bintulu memerlukan perjalanan selama
dua jam menggunakan kereta. Dari jalan utama untuk ke kampung pula hanyalah
jalan ladang jaraknya kira-kira tiga jam menggunakan kereta.

Untuk keluar kampung ke bandar Bintulu, mereka menaiki van sewa dengan
kadar RM30.00 seorang untuk perjalanan sehala. Begitu juga apabila pulang dari
Bintulu. Dari satu segi, orang-orang kampung yang mempunyai kenderaan dapat
memperolehi pendapatan tambahan dengan menyewakan ruang kenderaan mereka kepada
orang lain. Dari sudut lain pula, kos untuk memasarkan barang pertanian dan
sebagainya amat tinggi berbanding hasil yang diperolehi, menjadikan banyak
hasil pertanian yang ada hanyalah untuk kegunaan sendiri. Kaum wanita hanya
bekerja di kebun untuk kehidupan keluarga. Tidak ada pendapatan tambahan untuk
simpanan sendiri untuk keluarga mereka.

Pembinaan jalan pesisir Miri-Bintulu ada rahmatnya. Kini bas awam juga
telah memberikan perkhidmatan kepada penduduk kampung. Kadar tambang hanyalah
RM4.00 seorang untuk perjalan sehala. Jauh bezanya berbanding RM30.00 seorang
sebelum ini. Namun penduduk kampung kini telah kehilangan pendapatan melalui
van sewa. Tidak ada lagi yang berminat untuk menaiki van. Lebih murah untuk
menaiki bas.

Namun mujurlah kampung ini terletak di tengah-tengah antara Miri dan
Bintulu. Penduduk kampung mengambil kesempatan ini untuk membina gerai-gerai
yang menjual hasil tuaian mereka. Semua hasil ini bergantung kepada musim. Kalau
musim buah-buahan seperti durian maka, seharusnya pengguna jalan singgah di
gerai untuk menikmati buah durian yang baik dan murah. Buah tempatan yang lain
adalah cempedak, terap, nangka, rambutan, pelam, gajus, nenas dan sebagainya.
Terdapat juga sayur-sayuran yang ditanam sendiri oleh penduduk kampung.

Namun antara produk yang bernilai yang tidak diketahui umum yang dijual di
kampung ini adalah Tongkat Ali. Tongkat Ali ini dijual dalam bentuk akar yang
asal yang telah dibersihkan. Ada juga akar Tongkat Ali yang telah dipotong
halus dan dipek di dalam bekas plastik. Anak-anak pokok juga dijual namun kita
mestilah bertanya terlebih dahulu atau kalau ada kesempatan bolehlah membuat
tempahan. Begitu banyak gerai yang menjual Tongkat Ali ini membuatkan kita pula
tertanya-tanya, betulkah banyak sungguh pokok ini di sini? Memang banyak.
Itulah kata penduduk kampung.

Produk lain yang bernilai bagi kami adalah produk daripada kayu belian.
Terdapat banyak jenis saiz sudip belian yang dijual. Sudip ini diraut halus dan
bersih. Harganya? Antara RM4 – RM10.00 setiap satu. Memang rugi kalau tak beli.
Nilai kayu belian memang tinggi. Jangka hayat sudip kayu juga lama. Tidak
dimakan kulat, tidak reput, haus dan sebagainya. Beza sungguh dengan sudip
tidak melekat yang dijual di pasar dan juga sudip kayu yang dimport dari Eropah
dan China yang mudah rosak, patah dan reput.

Barang-barang anyaman seperti bakul, nyiru, bubu dan sebagainya juga ada
dijual. Bila kami singgah untuk membeli, mereka manyangka kami beli untuk hiasan
rumah. Tidak. Kata saya. Saya memang mengunakan bakul ini untuk menyimpan
barang. Nampak kemas dan cantik. Tidak perlu beli di kedai cenderahati atau
kedai kraft. Harganya rasa tak sampai hati pula nak bayar. Hanya RM5.00 sebuah
bergantung kepada produk dan saiznya. Dengan buatan yang halus kami tidak lagi
menawar. Bukan senang nak dapat produk yang bagus dan murah. Lebih lagi buatan
tempatan. Maklumlah sekarang ini di pasaran lebih banyak kraft dari negara luar
yang dijual di Sarawak ini.

Selesai taklimat kami dibawa melihat kawasan kampung. Memandangkan ketika
itu musim kemarau, maka air menjadi satu masalah kepada penduduk kampung.
Kampung ini rupanya tidak menerima bekalan air paip. Mereka menggunakan perigi
dan tadahan air hujan. Setiap rumah yang kami lihat mempunyai tangki tadahan.
Penduduk kampung juga menggunakan sungai Nyalau untuk keperluan mandi dan
mencuci. Namun timbul pula masalah lain. Pada musim kemarau, sumber air sungai
berkurangan mengakibatkan air mudah tercemar.

Ada juga penduduk kampung yang menanam kelapa sawit sendiri. Namun masalah
mereka adalah tanah sekitar kampung telah mula diteroka oleh ladang-ladang
besar. Seolah-olah tidak ada sempadan pula antara ladang dan kampung. Sedangkan
penduduk kampung mahukan hutan sekitar dikekalkan demi untuk kehidupan mereka
yang masih memerlukan hutan untuk keperluan mencari nafkah. Di samping itu,
hutan ini bolehlah dikatakan sebagai zon penampan antara ladang dan
kampung. Tidaklah kelihatan seolah-olah
kampung ini terkepung atau tersepit di antara ladang sawit kepunyaan syarikat
swasta ini.

Sungguhpun begitu, kampung ini rupanya mempunyai sebuah air terjun yang
cantik iaitu Air Terjum Bergiam yang terletak kira-kira 1 km dari jalan
pesisir. Penduduk kampung mahukan jeram ini dijadikan sumber air. Permohonan
pernah diajukan untuk menjadikan air dari sungai ini sebagai bekalan air untuk
penduduk kampung. Mereka hanya mahukan pengesahan dan usaha untuk menyalurkan
air kepada penduduk kampung. Namun sehingga kini tidak ada perkembangan langsung.
Tidak ada jalan mudah untuk ke jeram ini. Memang ada laluan untuk kenderaan,
tetapi sempit dan curam. Jalan mudah hanya disusuri oleh pejalan kaki atau
motosikal.

Tiba di air terjun itu kami terpegun dengan keindahannya. Rasa seolah-olah
masa telah terhenti selama berjuta tahun. Hutan yang kami lihat adalah hutan
dara. Lekuk batu menunjukkan seolah-olah kerak bumi telah bergerak dan
memisahkan antara bahagian air terjun dan anak sungai. Tingginya lebih daripada
30 meter. Rasa ngeri pun ada.

Namun aliran air perlahan kerana musim kering tetapi air masih jernih.
Penduduk kampung telah pun membina wakaf rehat dan tandas untuk kemudahan
pengunjung kerana tempat ini menjadi tumpuan penduduk sekitar Bintulu untuk
berkelah dan mandi manda. Namun isu lain pula timbul.

Kebanyakan pengunjung ini telah membuang sampah merata, yang nyata
merosakkan persekitaran. Menurut ketua kampung, pengunjung yang biasanya rakyat
tempatan tidak berbuat demikian kerana kesedaran mengenai pentingnya alam
sekitar amat tinggi. Masalah adalah daripada pekerja ladang sawit sekitar yang
kebanyakan mereka adalah rakyat luar yang kurang kesedaran mengenai kebersihan
tanggungjawab bersama. Mujurlah kebanyakan pengunjung tempatan tidak membiarkan
sampah bertaburan. Mereka akan segera membersihkan kawasan biarpun bukan mereka
yang berbuat demikian pada awalnya.

Kawasan iar terjun ini masih belum dimajukan sepenuhnya. Bagi kami tidak
perlulah dimajukan sangat kerana cukuplah dengan keadaan sekarang. Takut pula
banyak kerosakan terjadi terhadap kawasan sekitarnya.

Kemudian kami dibawa untuk melihat kawasan kebun sayur kepunyaan
Perkumpulan Wanita Kampung Nyalau. Kebun sayur berkelambu ini diusahakan secara
bersama namun setiap ahli mempunyai batas mereka sendiri. Sumber air mereka
adalah dari telaga berhampiran. Namun mereka sendiri perlu mengangkat air untuk
disiram kerana enjin pengepam telah rosak.

Melihat kesungguhan wanita ini bekerja menjadikan kami tertanya bagaimana
mereka melakukan semuanya sendiri iaitu menguruskan rumahtangga, keluarga dan
mencari pendapatan tambahan untuk keluarga. Jarak antara kebun dan rumah mereka
bukanlah dekat. Sedangkan banyak perkara yang perlu mereka lakukan dalam
sehari.

Mereka juga yang telibat di gerai jualan di tepi jalan pesisir. Mereka
sendiri memasarkan hasil tuaian mereka. Tidak lagi terbiar hasil pertanian di
pokok sahaja kerana tidak ada pasaran, kerana setiap orang mempunyai hasil yang
sama. Kita tidak seharusnya kita memandang remeh pada surirumah yang tinggal di
luar bandar. Apabila ditanya untuk apa mereka bergiat dalam kegiatan ini, “Kami
perlu menyimpan wang untuk hari tua. Lagipun kami juga perlu menyediakan wang
tambahan untuk pengajian anak-anak.” Begitu tinggi kesedaran mereka mengenai
pentingnya tabungan.

Kami kemudiannya dibawa untuk menikmati jamuan tengahari di sebuah wakaf
rehat seorang penduduk Encik
Calon Bin Ahat Wakaf tersebut lebih merupakan kawasan untuk pemancing.
Di keliling wakaf terdapat kebun buah-buahan seperti rambutan, nangka, terap
dan sebagainya. Terdapat empat buah kolam ikan patin. Kolam ini terbuka untuk
para pemancing dari luar. Sejumlah bayaran dikenakan untuk mereka memancing di
sini. Di keliling kolam terdapat tanaman
cili padi baka dari MARDI. Menurut Encik Calon cili tersebut dapat dijual
dengan harga RM15.00 sekilogram.

Tiba di sana lagu joget dipasang dan setiap tetamu dimestikan untuk
berjoget sebelum boleh duduk dan menikmati hidangan. Malu rasanya bila semua
mata bertumpu pada kita. Kami berjoget sebentar untuk tidak menghampakan tuan
rumah iaitu penduduk kampung. Biarpun sumbang langkah namun terasa sangat
kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung.

Kami disajikan dengan hidangan daging pelanduk yang baru dijerat semalam.
Seumur hidup belum pernah kami menjamah daging pelanduk. Sajian lain yang
istimewa adalah ikan patin yang dipanggang dan digulai, sambal belacan, pucuk
ubi, bunga kunyit sebagai ulam, sayur rebung dan pelbagai jenis lauk pauk.
Kesemua lauk-pauk yang membuka selera ini adalah dari sekitar kawasan wakaf.
Ditambah pula oleh muzik iringan dan deruan angin sepoi-sepoi bahasa. Rasa
nyaman dan tenang sekali.

Seingat kami tidak ada lagi kejutan namun rupanya penduduk kampung telah
mengadakan pertandingan memancing selepas makan tengahari. Setiap kami diberi
pancing dan umpan untuk memancing ikan patin dari kolam. Ramai juga penduduk
kampung terutama kanak-kanak dan remaja yang mengambil bahagian.

Tunggu punya tunggu tak ada seekor ikan pun yang terjerat. Biarpun diumpan
dengan taburan makanan namun ikan ini tahu yang mana satu umpan yang bakal
menjerat mereka. Akhirnya kesabaran beberapa orang kanak-kanak terbalas apabila
mereka berjaya menaikkan beberapa ekor ikan. Kami hanya tumpang gembira untuk
mereka. Agaknya ikan ini takut untuk muncul kerana begitu ramai orang di
kawasan sekitar kolam, ditambah pula oleh muzik iringan yang kuat yang mewarnai
suasana di sini. Semua ikan nampaknya bersembunyi untuk mengelakkan kami.

Dari wakaf ini kita boleh melihat jalan pesisir Miri-Bintulu dan kenderaan
yang lalu lalang. Terasa sangat begitu dekat sekali pembangunan dan begitu
dekat juga kami dengan keaslian hutan. Kalaulah jalan pesisir ini tidak melalui
kampung maka sememangnya Kampung Kuala Nyalau masih terpinggir dari
pembangunan. Pembukaan jalan pesisir adalah langkah awal untuk membangunkan
kawasan kampung.

Hari hampir petang dan kami perlu beredar. Sebelum pulang setiap dari kami
menerima ole-ole daripada penduduk kampung. Kami mendapat anak pokok Tongkat
Ali, cili padi baka Mardi, rambutan, buah terap dan pelbagai jenis buah-buahan
tempatan. Begitu juga dengan sayur-sayuran dari kebun Perkumpulan Perempuan.

But kereta sarat dengan barang. Itu termasuklah barang-barang yang dibeli
kami di gerai sebelum ini. Rasa terharu dan sangat-sangat berterima kasih pada
mereka. Patutlah kampung ini menjadi
tumpuan pegawai kerajaan untuk melawat. Mungkin juga dengan layanan baik
penduduk kampung, mungkin juga melihat kesungguhan penduduk kampung yang ingin
maju tetapi masih memelihara budaya kehidupan mereka dan sememangnya penduduk
di sini biarpun terpencil asalnya mereka juga mepunyai semangat untuk maju
kalau diberi peluang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article