- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Mengenali Penan Muslim di Tanjung Balipat

Must read

"Molong" – prinsip hidup masyarakat Penan

Apabila kami
menghubungi Pegawai KEMAS Encik Che Mohd Ridzuan Che Ali untuk contoh kampung
terbaik di Miri, pada awalnya beliau mengesyorkan Kampung Selanyau yang terkenal dengan aktiviti kemasyarakatan
dan pemuafakatan kampung.Kami menolak kerana telah pun ke kampung tersebut
empat tahun yang lalu. Kami mahukan kampung yang berpotensi untuk maju dan
perlukan usaha untuk lebih maju di samping mendapat bimbingan agensi kerajaan
seperti KEMAS, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya.

Akhirnya kampung
Tanjung Berlipat di Niah menjadi pilihan kerana kampung ini sedang menjalani
proses penyusunan semula.

Kami tiba dengan
disambut oleh Ketua Kampung Encik Hamid bin Salleh, Encik Ishak bin Abdullah,
Pengerusi GDW Kampung Tanjung Belipat, beberapa orang Ahli JKKK, Pegawai KEMAS
Encik Che Mohd Ridzuan Che Ali dan dua orang pembantunya. Pertemuan diadakan di
Balai Raya Kampung Tanjung Berlipat.

Apabila tiba di sana,
mereka berulang kali meminta maaf kerana ramai yang tidak hadir untuk menyambut
kami kerana difahamkan kebanyakan mereka terikat dengan urusan pekerjaan. Kami
sebenarnya tidaklah mengharapkan sebarang sambutan besar-besaran sehingga
menyusahkan kehidupan mereka. Memadailah temu bual biasa dengan ketua kampung
serta beberapa orang pembantunya.

Kampung yang terletak
di pinggir sungai Niah hanya beberapa kilometer dari pekan Niah. Kebanyakan
penghuninya terdiri daripada kaum Penan Muslim. Kampung in diasaskan pada tahun
1950an. Kini penduduk kampung ini terdiri daripada generasi yang ketiga dan
seterusnya.

Namun penempatannya
berselerak di beberapa buah tanjung. Keperluan asas amatlah terbatas. Atas
sebab itu beberapa kampung ini telah disatukan dan disusun dengan menyatukan
mereka di sebuah penempatan baru di Kampung Tanjung Belipat. Dengan penyusunan
semula ini barulah kerajaan dapat menyalurkan bantuan berupa bekalan
elektrik, kemudahan air paip, jalan raya dan sebagainya.

Apabila mereka tinggal
menetap, keperluan hidup juga telah berubah. Semuanya perlukan wang, dahulu tanpa
pendidikan mereka masih boleh mencari wang kerana sumber-sumber dari hutan
amatlah banyak. Hutan sekitar Niah menghasilkan rotan, sarang burung,
kayu-kayan dan sebagainya. Apa yang diperlukan pada masa itu adalah kemahiran
untuk mengutip sarang burung, mengenal rotan, mengenal hasil-hasil hutan yang
boleh dijual untuk mendapatkan wang. Namun jumlah penduduk semakin bertambah,
sedangkan keluasan hutan semakin berkurangan akibat telah diteroka untuk
pelancongan, ladang, kayu balak dan sebagainya. Kemahiran untuk masuk hutan
tidak lagi berguna sepenuhnya

Bila ditanya mengapa
pendidikan begitu penting, prinsip hidup kaum Penan amat mudah dan sama saja
walau di mana mereka berada. Jangan abaikan anak cucu, tinggalkan bekalan untuk
mereka. Jangan ambil lebih dari yang perlu. Dahulu mereka tinggal di hutan, jadi hutan amat penting untuk
kelangsungan hidup. Hutan amat dijaga dengan baik kerana mengingatkan generasi
seterusnya juga perlu meneruskan kehidupan. Mereka mengamalkan sikap mengambil
apa yang perlu sahaja. Sikap tamak boleh dikatakan jarang didapati di kalangan
orang Penan.

Untuk kelangsungan
hidup zaman ini, pendidikan merupakan pilihan. Ia adalah jalan keluar untuk
mereka berjaya di mana sahaja. Dahulu dengan penempatan berselerak, kedudukan
sekolah amat jauh. Penduduk kampung menggunakan perahu menongkah arus sungai
Niah untuk ke sekolah. Murid-murid sendiri berkayuh perahu untuk ke sekolah
lantaran ibu bapa mereka perlu ke hutan untuk mencari pendapatan. Lelah
berkayuh telah membantutkan semangat untuk belajar. Tubuh kecil kanak-kanak tidak
mampu menanggung beban berkayuh perahu setiap hari untuk ke sekolah. Kudrat
mereka lemah di tengah sungai. Akhirnya jalan mudah, tidak perlu ke sekolah.
Tak sekolah pun masih dapat makan. Masih dapat hidup. Itu cerita dulu, 40 atau
50 tahun dahulu.

Keadaan telah berubah.
Siapa yang tidak berpendidikan akan ketinggalan. Mereka tidak dapat mengenal
pasti peluang yang terbentang di depan mata. Kalau ada pun mereka masih
ketinggalan berbanding dengan kampung-kampung sekitar.

Kampung ini juga
terletak kira-kira 20km dari jalan Miri Bintulu. Kemudahan jalan raya
sebenarnya telah membolehkan orang kampung cepat menilai kemajuan yang berlaku
di sekitar kawasan mereka.

Mereka dapat melihat
bahawa kemudahan asas telah mempercepatkan pembangunan fizikal tetapi jika
fikiran mereka masih tertutup, semua kemudahan yang ada tidak bererti.

Contohnya mereka dapat
melihat banyak tanah sekitar telah diusahakan sebagai ladang kelapa sawit oleh
penduduk kampung berhampiran. Taraf ekonomi telah meningkat. Oleh itu tidak
mungkin mereka akan duduk diam dan memerhati sahaja. Mereka juga perlu
mengintai peluang yang ada untuk kesejahteraan bersama. Inilah yang benar-benar
ditekankan oleh ketua kampung Encik Hamid.

Untuk menjadi pemimpin
juga perlukan pendidikan. Cabaran hidup masa sekarang semakin getir. Pemimpin
yang mempunyai pendidikan boleh memimpin masyarakatnya ke arah yang lebih baik
kerana beliau tahu apa yang diperlukan oleh kaumnya untuk berjaya. Dahulu,
menurut ketua kampung tidak susah untuk menjadi ketua kampung. Kini terlalu
banyak yang perlu dilakukan demi kemajuan kampung.

“Kalau tidak ada ilmu
macam mana nak kita nak menunjukkan
tauladan , menerangkan tentang pembangunan atau sebarang kemusykilan oleh
anak-anak buah kita? Pemimpin perlu membuka minda dan menyerap dan belajar
sebanyak ilmu yang mungkin. Ini semua penting sebagai pemimpin masyarakat.
Kalau tidak ada pendidikan terutama bagi seorang ketua, kemajuan mungkin tidak
berlaku langsung bagi sesebuah masyarakat.”

“Datuk saya dahulu
adalah seorang ketua kampung. Tugasnya nampak lebih mudah kerana keperluan
hidup masyarakat pada masa itu amat ringkas. Tetapi sekarang keadaan tidak lagi
begitu. Keadaan kehidupan orang kampung di mana-mana pun telah menjadi lebih
mencabar. Sebagai ketua saya perlu memandang ke hadapan demi kemajuan semua
orang di kampung saya”, tegasnya lagi.

“Namun saya tidak dapat
melakukannya seorang diri. Kami perlukan orang yang boleh menggerakkan aktiviti
yang dijalankan. Jadi pegawai kerajaan seperti KEMAS amat dialu-alukan. Di
samping sebagai penggerak dan penunjuk arah, pegawai kerajaan juga boleh
melatih orang kampung untuk bertindak sendiri
sebagai perangsang dan pembimbing kepada orang-orang kampung. Kami tidak
berpelajaran tinggi. Harapan kami pada anak-anak kami agar mereka lebih berjaya.
Sementara itu kami pun perlu bertindak memastikan agar generasi muda dapat
mencapai matlamat mereka”.

Selesai temubual, kami
dibawa melihat kawasan kampung. Kampung ini terdapat kawasan baru untuk
penempatan semula. Kemudian kami dibawa melihat sekolah rendah yang terletak
betul-betul di tepi Sungai Niah. Sekolah ini memang menjadi kebanggaan kerana
ia merupakan bangunan yang dibina sendiri oleh penduduk kampung.

Sejurus kami dibawa ke
sebuah denai menuju ke bekas penempatan kampung. Sepanjang jalan kami terpegun
dengan pokok-pokok yang jarang kami temui di tempat lain. Tanah di kawasan
jenis tanah pinggir sungai yang sesuai untuk dusun buah-buahan tempatan. Kerana
keasyikan melihat pelbagai flora dan fauna ini maka beberapa kali kami
tertinggal di belakang dan hampir saja panik kerana kami betul-betul terasa
sesat. Mujurlah ketua kampung sabar menunggu bila menyedari kami tidak lagi
berada di belakangnya.

Ada beberapa buah rumah
yang tidak lagi didiami kerana kedudukannya jauh dari jalan raya. Walaupun
mereka berpindah ke kawasan penempatan semula namun, rumah yang ditinggalkan
itu lebih kepada rumah dusun yang sekali sekala dikunjungi. Hati mula
tertanya-tanya mengapa perlu kami ke sini. Rupanya Ketua kampung mahu
menunjukkan tanjung yang menjadi punca kepada kewujudan kampung Tanjung
Berlipat.

Kami tiba di sebuah
rumah kayu, sejurus tiba barulah kami menyedari bahawa kami seolah-olah berada
di sebuah pulau kecil dengan diapit oleh dua batabg sungai. Hakikatnya kami
berada di sebuah tanjung kecil di Sungai Niah. Tanjung asal yang menjadi tempat
persinggahan satu masa dahulu. Suasana begitu redup, nyaman ditiup angin
sepoi-sepoi bahasa. Cuma kadang-kadang rasa seram sejuk pula apabila
terkenangkan buaya yang mungkin akan timbul bila-bila masa sahaja di depan
mata. Air sungai begitu kuning, mungkin kesan pembangunan atau pembalakan di
kawasan ulu.

Selesai bergambar, kami
dijemput oleh Encik Ishak bin Abdullah, Pengerusi GDW Kampung Tanjung Belipat
untuk makan tengahari di restoran miliknya di pekan Batu Niah. Terima kasih
banyak-banyak.

Walau apa pun yang
berlaku, bagi orang Penan ini, prinsip mereka jangan abaikan anak-anak. Jati
diri mesti kuat meskipun telah berlaku perubahan pemikiran, cara hidup dan
sebagainya. Prinsip ini kuat ditekankan oleh orang Penan kepada anak-anak
mereka.

Luahan demi luahan,
pendapat dan masalah diutarakan mereka. Antara masalah yang sering
dialami oleh penduduk kampung adalah ketiadaan kad pengenalan. Masalah ini
sebenarnya adalah biasa bagi penduduk pedalaman Sarawak. Ketiadaan sistem
pengangkutan yang baik dan tiada kesedaran mengenai kepentingan kad pengenalan
pada zaman dahulu telah mencetuskan dilema ini.

Fakta Menarik Mengenai Kampung Tanjung Berlipat

Nama asal kampung ini
mengikut dialek Penan adalah Tujuk Balipat yang bermaksud tujuh tanjung di
sebuah penempatan di Sungai Niah. Kaum Penan mudik ke hilir sungai Niah dan
bertemu sebuah tanjung yang sesuai untuk sebuah perhentian apabila mahu ke
hilir. Begitu juga dengan orang-orang Melayu dan Kedayan yang mudik ke hulu
iaitu di Batu Niah akan singgah di tanjung ini untuk berehat. Lama-kelamaan
tanjung ini makin didiami. Akhirnya wujudlah beberapa penempatan di sekitar
tanjung sungai Niah.

Kampung ini sebenarnya
asalnya terdiri daripada penempatan di tujuh buah kampung di beberapa tanjung
di pinggir sungai Niah.. Apabila terbinanya kemudahan jalan raya Jalan Miri
Bintulu maka penduduk kampung berpindah seberang sungai yang dekat dengan jalan
raya. Namun masih ada yang menetap di kampung lama. Lama-kelamaan untuk memudahkan
pembangunan disalurkan kepada penduduk, maka mereka digesa berpindah ke sebuah
penempatan baru yang disusun semula. Namun mereka masih memiliki hak ke atas tanah mereka di kampung yang lama
itu.

Terdapat sebuah sekolah
rendah telah didirikan sendiri oleh penduduk kampung ini. Mereka bergotong
royong mengumpul wang dan membina bangunan untuk sekolah ini. Hanya kemudian
barulah kerajaan menyediakan khidmat guru dan kemudahan lain.. Bangunan ini
masih dalam keadaan baik dan masih digunakan. Begitu cekal penduduk kampung
mahukan pembangunan dan perubahan untuk keluarga mereka.

Setiap sarang burung
dan najis kelawar (bahan baja) yang dipungut di Gua Niah, pemungutnya perlu
menabung sejumlah kecil perolehan jualan ke dalam tabung masyarakat kampung.
Hasilnya digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan termasuklah pembinaan sekolah
rendah yang ada sekarang ini. Tabung ini wujud seiring dengan kewujudan kampung
sejak lima puluh tahun yang lalu.

Penduduk kampung
mengadakan gotong royong membersihkan kampung dan menyelenggara jalan setiap
tiga bulan. Aktiviti ini mendapat kerjasama seluruh penduduk kampung sejak
dahulu hinggalah sekarang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article