Pegawai dari ANGKASA memberi penjelasan berkenaan era baru perkongsian bijak
dalam perniagaan koperasi sekolah
Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) mengenalpasti perkongsian bijak sebagai strategi berkesan untuk mengembangkan perniagaan koperasi sekolah di negara ini.
Melalui perkongsian bijak, semua gerakan koperasi di sekolah digalakkan supaya mengadakan kerjasama dengan koperasi atau entiti perniagaan lain untuk membesar dan mengembangkan perniagaan mereka.
Perkongsian bijak digalakkan untuk koperasi sekolah kerana ia berupaya membawa faedah kepada pihak sekolah serta rakan perniagaannya.
Ia juga tidak melibatkan pewujudan satu entiti baru, tidak melibatkan pengeluaran modal, tidak ada pihak menguasai pihak yang lain dan selalunya tidak melibatkan perjanjian undang-undang. Mereka hanya mempunyai perjanjian persefahaman atau surat sebagai rekod untuk rujukan tindakan.
Paling penting adalah matlamat perkongsian itu sendiri yang melibatkan kedua-dua pihak mempunyai hasrat dan komitmen yang sama untuk menjayakan projek.
Hasrat untuk menggalakkan pengkongsian bijak di kalangan koperasi sekolah itu diperjelas oleh pihak ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) melalui ceramah bertajuk ‘Smartpartnership, Era-Baru Koperasi Sekolah’ ketika sambutan Hari Koperasi Negara 2007 peringkat negeri yang diadakan di Kuching baru-baru ini.
Perniagaan bercorak kepenggunaan lazim terdapat di sekolah-sekolah
ANGKASA berpendapat bahawa usaha itu perlu supaya pergerakan koperasi di sekolah-sekolah di negara ini dapat diperkasa dan terus berkembang maju, selaras dengan suasana perniagaan yang semakin kompetitif pada era ini dan membolehkan aktiviti gerakan itu diperluas ke luar negara sebagai satu produk pendidikan negara.
Perkongsian bijak koperasi sekolah yang dimaksudkan ialah kerjasama antara koperasi dewasa dengan koperasi sekolah serta antara koperasi sekolah dalam pelbagai bidang.
Dalam perkongsian dengan koperasi dewasa, koperasi dewasa itu harus memahami keperluan koperasi sekolah dan bersedia memberi bantuan serta pertolongan seperti latihan mengurus dan berniaga.
Koperasi dewasa juga boleh mengambil sebuah koperasi sekolah sebagai ‘anak angkat’. Dengan cara itu masing-masing akan dapat saling membantu mempromosikan produk atau perkhidmatan yang disediakan.
Perkongsian bijak melibatkan dua buah koperasi sekolah pula dijelaskan melalui pelaksanaan Projek Pelancongan Koperasi Sekolah, iaitu sebuah projek yang menggalakkan ahli koperasi mengadakan lawatan sambil belajar ke koperasi sekolah lain.
Dalam situasi itu, sesebuah koperasi sekolah boleh mengguna kemudahan yang ditawarkan oleh koperasi sekolah lain seperti asrama (penginapan) dan bas (pengangkutan).
Untuk menjayakan perkongsian bijak yang membawa faedah kepada kedua-dua pihak, paling penting adalah kedua-dua pihak mempunyai tujuan yang sama, telus, jujur dan bersikap terbuka.
Di samping itu, kedua-dua pihak perlu memantau pelaksanaannya supaya tujuan asalnya tercapai.
Info
- Koperasi sekolah merupakan salah satu aktiviti kokurikulum untuk
- Mendidik generasi baru mentadbir koperasi pada masa hadapan
- Menerap unsur keusahawanan melalui pelaksanaan projek
- Menerap prinsip-prinsip koperasi
- Bilangan koperasi sekolah ahli ANGKASA adalah 1,473 buah dan bilangan keanggotaan melebihi 1.5 juta orang (tahun 2005).
- ANGKASA adalah koperasi apex yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara serta diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan yang mewakili Pergerakan Koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ditubuh dan didaftarkan dengan rasminya pada 12 Mei 1971, ANGKASA ditadbir mengikut cara koperasi tetapi tidak bergiat dalam kegiatan perniagaan seperti koperasi-koperasi lain. Sebagai koperasi apex ianya memperjuangkan cita-cita serta hak kepentingan Gerakan Koperasi di negara ini.
- Terdapat 4,918 buah koperasi berdaftar di Malaysia dengan bilangan anggota seramai 6 juta orang, modal syer/ yuran berjumlah RM7.4 bilion dan aset bernilai RM38.4 bilion (31 Disember 2006).
- Sebanyak 459 buah koperasi di Sarawak dengan jumlah anggota seramai 306,263 orang, modal syer /yuran berjumlah RM122.5juta dan aset bernilai RM246.3 juta (31 Disember 2006). Dari jumlah itu, 295 buah adalah koperasi dewasa dan 164 buah adalah koperasi sekolah.