- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Aplikasi Baru ICT Perlu Dibangunkan

Must read

Perubahan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah cara kita bekerja, berfikir dan bertindak dan pada keadaan tertentu ia mampu memberikan satu penyelesaian dan pendekatan yang lebih efektif.

Ia turut mewujudkan keperluan untuk membangunkan beberapa aplikasi baru bagi memenuhi keadaan tersebut.
Paling penting, ia menguji kemampuan kepakaran tempatan membangunkan beberapa aplikasi baru agar ia sentiasa dilihat relevan pada masa ia dicipta dan sepanjang tempoh ia digunakan.

Penggunaannya begitu diperlukan bagi negeri luas seperti negeri Sarawak yang dapat melengkapkan aspek penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa.

Demikian antara cabaran yang diajukan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada kepakaran anak tempatan, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) yang berkeupayaan membangunkan beberapa aplikasi berkaitan ICT untuk kegunaan di Sarawak dan juga di Semenanjung Malaysia. Beliau berkata demikian pada Majlis Ulang Tahun Ke-15, syarikat tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, pembekal perkhidmatan ICT perlu menghasilkan dan membangunkan teknologi atau aplikasi baru yang bersesuai untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh agensi kerajaan, swasta dan masyarakat.

Jelasnya, penggunaannya akan mempertingkatkan cara pihak penguatkuasaan dan pemantauan melaksanakan tugas dengan lebih cekap.

Manakala dari segi sektor pelancongan, penggunaan satu sistem e-pelancongan yang komprehensif dapat membekalkan semua maklumat tentang destinasi, pusat tarikan pelancong dan produk pelancongan dalam usaha menarik pelancong luar negara.

Begitu juga dengan kemudahan dalam bidang perubatan, melalui tele-sidang atau sidang video di mana khidmat kesihatan boleh diberikan sehingga jauh ke kawasan pedalaman.

Jelasnya lagi bagi memastikan keberkesanan teknologi tersebut, ia perlulah sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Sambil memberikan contoh, teknologi Kamera Litar Tertutup (CCTV), menurutnya perlu ditingkatkan bukan sahaja mampu merakam gambar dan bunyi berkualiti, tetapi berkemampuan untuk memberi amaran secara automatik sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong penggunaan ICT yang meluas di negeri ini yang sehingga kini terdapat 200 aplikasi baru ICT telah dibangunkan dengan purata 20 aplikasi penyelesaian masalah dihasilkan setiap tahun.

Sementara itu, beliau turut menarik perhatian SAINS supaya terus menghasilkan aplikasi perisian atau sistem yang efektif.

Berkaitan dengan pencapaian SAINS, beliau berpuashati kemajuan yang dicapai yang mana kini SAINS berjaya memperolehi 30 peratus pasaran luar Sarawak di samping mampu menjana pendapatan RM400 juta dengan hanya bermodalkan RM20 juta, 15 tahun yang lalu.

Menurut beliau, ia adalah bukti kebolehan serta kepakaran anak tempatan yang turut diiktiraf di luar Sarawak dalam penghasilan perisian antaranya e-Syariah (Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia), e-welfare (Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia) di samping e-RIS (Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam).

SAINS adalah sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak, yang ditubuhkan pada tahun 1991 bertujuan melaksanakan polisi dan strategi berkaitan ICT yang digunapakai oleh kerajaan negeri.

Mula beroperasi pada tahun 1992, kini ia mempunyai seramai 400 orang pekerja. Kebanyakan pejabat cawangannya terletak di bandar-bandar utama di Sarawak, ia turut mempunyai cawangan di Semenanjung Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Syarikat tersebut turut menjalinkan kerjasama dengan rakan perniagaan ZilimacSilicon Technology dalam usaha menembusi pasaran Brunei.

Info Ringkas

Inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang dihasilkan SAINS ialah antara lain PayBills Malaysia, e-Syariah, Angkasa Library Network, Talikhidmat, e-Recruitment, Sarawak Interactive Digital Roads Atlas (SIDRA), e-La dan Sarawak Monitor

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article