- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sistem e-Permit Letak Tanjung Manis Pada Kedudukan Penting

Must read

Penggunaan Sistem e-Permit oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bagi memudahkan urusan eksport dan import kayu balak di negeri ini, khususnya di Tanjung Manis telah meletakkan kawasan itu pada kedudukan yang penting.

YAB Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika berucap pada Majlis memeterai perjanjian (MoU) Sistem e-Permit di antara PUSAKA dan Dagang Net Technologies, iaitu syarikat yang membangunkan sistem berkenaan, telah menyifatkan bahawa usaha PUSAKA itu merupakan tindakan berani untuk meletakkan Tanjung Manis di kedudukan yang penting dalam peta industri perkayuan.

Sistem yang memanfaatkan keupayaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) itu mampu memudahkan proses urusniaga import dan eksport, di samping pantas dan cekap, jelas Ketua Menteri.

Ketua Menteri turut menerangkan bahawa penggunaan sistem itu di Tanjung Manis tepat pada waktunya memandangkan kemudahan sistem pengangkutan dan komunikasi di kawasan itu belum lagi mencapai tahap menyeluruh.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, memaklumkan bahawa setiap tahun kira-kira RM3.5 bilion nilai pelbagai produk kayu balak dieksport menerusi Tanjung Manis.

Sehubungan itu, pelaburan PUSAKA dalam sistem berkenaan merupakan langkah yang bijak. Lagipun badan kerajaan negeri itu mengendalikan kapasiti eksport produk kayu yang tinggi sehingga memerlukannya mengubah sistem birokrasi yang memakan masa seperti sebelum ini.

Jelas Ketua Menteri, tindakan PUSAKA itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada badan berkenaan, tetapi juga memudahkan kerja pihak pengeksport dan pengimport serta semua agensi kerajaan yang lain.

Di samping itu, Ketua Menteri turut berkeyakinan bahawa manfaat penggunaan sistem e-Permit itu akan turut memberi kesan memberansangkan kepada industri perikanan yang terdapat di Tanjung Manis. Begitu juga dengan industri pembinaan kapal dan minyak kelapa sawit yang mula bertapak di situ.

Majlis memeterai MoU tersebut telah berlangsung di Dewan Masyarakat Bandar Baru Tanjung Manis pertengahan Ogos lalu, di antara pihak PUSAKA yang diwakili oleh Pengurus Besar, Datu Len Talif Salleh manakala Dagang Net Technologies diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Syed Abdul Kadir.

Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Sri Awang Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Hal Ehwal Belia dan Pelancongan, Hamden Ahmad.

Info

  • Hampir tiga suku Negeri Sarawak dengan keluasan tanah kira-kira 12.3 juta hektar dilitupi hutan hujan tropika.
  • Eksport kayu-kayan serta produk kayu mencatatkan peningkatan sebanyak 24.4 peratus kepada RM9 bilion pada tahun 2006 daripada RM7.23 bilion pada tahun 2005.
  • Produk berasaskan kayu seperti papan lapis, Medium Density Fibreboard (MDF), particleboard, blockboard, Laminated Veneer Lumber (LVL) dan laminated board merupakan penyumbang terbesar iaitu 63 peratus atau RM5.67 bilion.
  • Setakat Mac 2007, industri perkayuan memberi pekerjaan kepada 92,360 orang (kira-kira 40 peratus) bagi kedua-dua sektor huluan dan hiliran daripada keseluruhan 229,572 orang yang bekerja di negeri ini.
  • Sarawak, merupakan salah satu negeri yang paling banyak menanam semula di negara ini yang kini berjumlah 146,000 hektar. Kerajaan Sarawak mensasarkan sektor awam menanam 24,000 hektar pokok setiap tahun sementara sektor swasta 70,000 hektar setiap tahun dalam masa 15 tahun akan datang untuk mencapai sejuta hektar pada tahun 2020.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article