- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kerajaan Negeri Serius Jayakan Strategi RMK9

Must read


Kiri: YB Datuk Amar menyampaikan ucapannya
Kanan: (Dari kiri) Puan Noriah Hj Ahmad, Timbalan Pengarah (Unit Perancang Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri), YB SUK Datuk Amar Wilson Baya Dandot, YBhg Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Abdullah, Naib Canselor UNIMAS dan YBhg Prof. Dr. Murtedza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS

– Foto oleh Awang Ikman Hj Awang Sepian, Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat, Jabatan Ketua Menteri


Kerajaan Negeri Sarawak memandang serius pelaksanaan setiap strategi yang diperlukan untuk menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di negeri ini.

Antaranya ialah aspek pembangunan dan pengurusan sumber manusia yang selaras dengan strategi pertama RMK9 negeri iaitu untuk membangunkan sumber manusia dan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan di negeri ini.

Demikian menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot. Beliau juga berkata Sarawak perlu menggunapakai sistem baru terutama dalam hal berkaitan pengambilan kakitangan awam di negeri ini.

Sistem baru itu katanya akan memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri daripada segi menyediakan calon yang benar-benar sesuai dengan keperluan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Laporan ‘SCS-TalentPower – the Mobile Psychologist System’ yang diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

Dalam ucapannya, Datuk Amar Wilson menjelaskan perkhidmatan awam Sarawak sedang berusaha membina budaya kerja cemerlang beserta dengan nilai integriti yang tinggi, sentiasa memandang ke depan, bijak, dinamik, berinisiatif, memiliki nilai positif yang lain serta kekuatan diri yang tinggi di kalangan kakitangannya.

Sehubungan itu, katanya dasar pengambilan dan pelaksanaan perlu memberi penekanan kepada keperluan memenuhi ‘bakat terbaik’ yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri seperti yang dikehendaki dalam ‘arus pembangunan kedua’ (second wave of development) yang sedang dilalui negeri ketika ini.

Katanya, kemunculan beberapa sektor ekonomi baru seperti sektor quaternary dan quinary juga memerlukan Kerajaan Negeri lebih kreatif dalam mendapatkan bakat yang tepat.

Justeru, katanya pemahaman tentang generasi yang berbeza, umum dikenali dengan Baby – Boomers, generasi X dan generasi Y, membolehkan kerajaan menguruskan kakitangan awam negeri dengan lebih berkesan bukan sahaja pada ketika ini tetapi juga pada masa hadapan.

Datuk Amar Wilson menegaskan, Jabatan Ketua Menteri sentiasa berminat untuk melabur dalam kaedah pengambilan kakitangan yang termaju dan inventif untuk memenuhi keperluan tenaga dalam sektor awam di negeri ini.

Beliau memberi contoh, Kerajaan Sarawak telah menggunapakai ‘Assessment Centre’ yang dilaksanakan oleh badan korporat seperti Shell sebagai sebahagian daripada cara untuk mengenalpasti individu yang layak untuk bekerja dalam perkhidmatan awam negeri sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.

Oleh demikian, melalui kerjasama yang ditunjukkan dalam pembangunan sistem baru yang dikenali sebagai ‘SCS-TalentPower – the Mobile Psychologist System’, beliau berharap akan wujud lebih banyak kerjasama lain dalam penyelidikan dan penglibatan di antara Kerajaan Negeri dan institusi seperti UNIMAS pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Datuk Amar Wilson selaku pihak Kerajaan Sarawak telah menerima Laporan ‘SCS-TalentPower – the Mobile Psychologist System’ daripada Naib Canselor UNIMAS, Datuk Dr Abdul Rashid Abdullah.

Sistem tersebut telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik psikologi, pakar kesihatan dan pakar sistem di UNIMAS khusus untuk keperluan Kerajaan Negeri.


Info

  • Baby Boomers ialah mereka yang lahir sekitar tahun 1943-1960
  • Generasi X lahir sekitar tahun 1960-1978
  • Generasi Y lahir sekitar tahun 1978-1984

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article