- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Minyak Sekiu Kampung Jemoreng, Matu

Must read

Artikel
oleh Mohamad Sukran Haji Kana

Kampung Jemoreng terletak di kawasan tengah Sarawak
iaitu di daerah Matu dalam Bahagian Mukah. Kampung ini adalah salah satu
daripada beberapa kampung Melanau di Matu dengan penempatan pola berjajar di
pinggir sungai.

Dari segi geografinya Kampung Jemoreng terletak di
kawasan rendah yang menjadi kawasan tadahan air bagi daerah Matu Daro. Oleh itu
kampung ini kerap mengalami banjir pada musim tengkujuh.

Secara amnya keseluruhan penduduk Jemoreng adalah
terdiri daripada kaum Melanau Matu yang beragama Islam. Terdapat kira-kira 282
buah rumah di sinidengan populasi dianggarkan sekitar kira-kira 2,145 orang.

Kegiatan ekonomi utama bagi penduduk adalah aktiviti pertanian. Kebanyakannya
mengusahakan tanaman padi huma, menanam sayur-sayuran dan buah-buahan selain
menternak lembu, itik dan ayam.

Satu keunikan Kampung Jamoreng ialah penghasilan minyak Sekiu. Minyak
sekiu terhasil daripada buah sekiu yang hanya boleh diperolehi dari hutan di
kawasan tadahan air Kampung Jemoreng.

Buah sekiu mempunyai musim yang agak unik dan berbanding dengan spesies
buah-buahan hutan yang lain. Untuk mendapatkan buah sekui ini, kita ada
ketikanya terpaksa menunggu sehingga dua (2) hingga tifa (3) tahun.

Kerja-kerja mengutip buah ini memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Ada
di kalangan penduduk kampung ini yang terpaksa menghabiskan masa sehari suntuk
hanya untuk mengutip buah ini.

Untuk sampai ke kawasan buah sekiu ini, penduduk terpaksa melalui
perjalanan yang sukar yang hanya dapat dimasuki dengan menggunakan perahu kecil
tanpa enjin.

Setelah dikutip, dikumpulkan dan dibawa balik ke kampung, buah sekiu
perlu terlebih dahulu dikeringkan.

Kemudian ia akan ditumbuk atau dikisar sehingga halus. Buah yang telah
dikisar itu tadi akan dimasukkan ke dalam kulit pokok kayu kering yang
kemudiannya disalai dengan api yang agak kuat untuk beberapa ketika.

Selepas itu, ia akan diletakkan di tengah-tengah alat penekan/pemerah
atau boleh dikatakan mesin pemampat yang
akan menekan dan memerah minyak yang terhasil.

Pembuatan alat atau mesin pemampat ini
memerlukan masa yang agak lama. Ini bagi memastikan agar mesin tersebut dapat
menekan dengan kuat dan dapat digunakan dalam tempoh masa yang agak lama.

Sehingga kini belum ada penyelidikan yang dijalankan secara saintifik
oleh jabatan atau agensi- agensi tertentu untuk mengesahkan isi kandungan dan
khasiat minyak ini.

Walau bagaimanapun, tinjauan mendapati minyak ini telah digunakan oleh
kebanyakan penduduk di kawasan Matu Daro sebagai makanan sampingan mereka.
Ianya boleh dimakan bersama sagu, nasi, ikan kering atau ikan budu dan
sebagainya.

Penghasilan minyak ini sememangnya mendatangkan hasil yang lumayan.
Sebotol kecil kira-kira 50 ml, harga paling rendah ialah RM5. Harga ini
merupakan harga yang dijual di Kampung Jemoreng, Matu. Berkemungkinan besar
harganya akan naik apabila dijual di luar kawasan.

Bagi memastikan minyak sekiu terus wujud dan dapat dirasai oleh kita
semua, langkah-langkah drastik perlu diambil supaya buah sekiu tidak pupus
akibat aktiviti penebangan hutan.

Antara langkah-langkah yang dapat diambil adalah seperti mewujudkan
kawasan larangan bagi sebarang aktiviti
penebangan di kawasan yang mempunyai banyak buah sekiu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article