SSPN Syarat Permohonan PTPTN Mulai 2008
Kos melanjutkan pengajian kian meningkat. Ibubapa harus bekerjasama
dalam hal pembiayaan pendidikan anak mereka
Bermula 1 Januari 2008, ibubapa atau penjaga disyaratkan mempunyai simpanan wajib dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebelum anak mereka layak memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
Menerusi syarat baru yang diumumkan awal tahun ini (2007), keluarga berpendapatan bulanan melebihi RM2,000 mesti mempunyai simpanan minimum RM3,000 manakala keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan mesti mempunyai simpanan sebanyak RM500 di dalam akaun SSPN.
Syarat itu bertujuan membabitkan penyertaan langsung ibubapa atau penjaga dalam pembiayaan pengajian anak mereka.
Justeru, ibubapa atau penjaga dikehendaki menjadi penjamin supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak, sama ada daripada aspek pengajian mahupun bayaran balik pinjaman pendidikan anak-anak mereka.
Ketegasan kerajaan mewajibkan ibubapa menyimpan dalam SSPN sebagai syarat bagi mendapatkan pinjaman PTPTN amat wajar bagi menanam budaya menabung demi masa hadapan pendidikan anak-anak mereka.
Bebanan kewangan pula tidak seharusnya menjadi kekangan kepada rakyat di negara ini untuk mendapatkan pendidikan tinggi kerana kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam soal pembangunan modal insan yang diperlukan negara.
Kerajaan sentiasa memastikan terdapat pelbagai insentif bantuan, biasiswa dan pinjaman disediakan bagi generasi muda melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Sehubungan itu, tindakan kerajaan mewajibkan pembukaan akaun SSPN harus dilihat sebagai pelaburan bersama di kalangan ibubapa untuk menjamin kejayaan pendidikan anak-anak mereka dan bukannya meletakkan tanggungjawab itu pada kerajaan semata-mata.
Sebanyak kira-kira 96,587 akaun SSPN dibuka sejak dilancarkan pada Ogos 2004 sehingga Mac 2007 membabitkan nilai simpanan RM29.37 juta. Sejumlah 82 peratus daripada pendepositnya adalah Bumiputera.
Sementara itu, dari Januari hingga Mac 2007, kira-kira 12,653 akaun baru dibuka dengan nilai sejumlah RM6.5 juta. Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara selepas langkah mewajibkan ibu bapa bakal peminjam PTPTN mempunyai simpanan dalam SSPN untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan anak mereka.
Info SSPN
- SSPN dilancarkan pada Ogos 2004 dan dikelolakan oleh PTPTN yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Ia diwujudkan dengan tujuan
- untuk membuat persediaan kewangan bagi anak-anak memasuki universiti; dan
- untuk menggalakkan tabungan di kalangan ibu bapa.
- SSPN merupakan instrumen simpanan yang direka khas oleh PTPTN kepada ibubapa bagi membolehkan mereka membuat perancangan kewangan yang rapi khusus bagi maksud pendidikan tinggi anak-anak mereka.
- Melalui SSPN para ibubapa boleh membuat simpanan sedikit demi sedikit bermula daripada anak mereka masih kecil dengan harapan masalah dan kesulitan kewangan setelah anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke IPT akan dapat diatasi.
- Antara kelebihan/keistimewaan SSPN adalah :-
- Penerima manfaat/anak akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pinjaman pendidikan daripada PTPTN apabila mereka diterima masuk ke IPT;
- Manfaat perlindungan takaful/insurans dan khairat/pampasan kematian diberi secara percuma kepada pendeposit yang layak;
- Kadar keuntungan atau dividen yang sekurang-kurangnya setara dengan kadar pasaran;
- Dividen/ keuntungan SSPN akan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
- Semua simpanan adalah dijamin oleh Kerajaan; dan
- Pendeposit yang layak iaitu bagi keluarga yang berpendapatan isirumah (bulanan) RM1,200 dan ke bawah akan ditawarkan insentif kewangan dalam bentuk geran sepadan yang bersamaan dengan jumlah simpanan.
- Pembukaan akaun boleh di buat di mana-mana cawangan Bank Bumiputra-Commerce, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian, Bank Rakyat dan Bank Islam. Deposit minimum ialah sekurang-kurangya RM20.
- Penambahan deposit SSPN boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki dan jumlah deposit mestilah tidak kurang daripada RM20 pada setiap kali membuat deposit.
- SSPN layak untuk disertai oleh seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira had pendapatan. Pembukaan akaun bagi anak angkat mestilah disertakan dengan surat/dokumen yang menyatakan bahawa anak tersebut adalah di bawah jagaan pendeposit yang sah.
- Untuk layak menerima manfaat perlindungan takaful dan bayaran khairat kematian secara percuma, pendeposit mestilah mempunyai baki minimum akaun SSPN berjumlah RM1,000 pada setiap masa. Individu di bawah manfaat perlindungan takaful dan bayaran khairat kematian adalah:
- Pendeposit akan mendapat perlindungan dan khairat kematian
- Penerima manfaat akan hanya mendapat khairat kematian sahaja
- Keistimewaan Perlindungan Insurans
- Premium dibayar oleh PTPTN
- Perlindungan sehingga maksima RM50,000.00 (insurans am*) dan RM10,000.00 (insurans amanah**), dan
- Khairat/pampasan kematian untuk pendeposit (RM1,000) dan penerima manfaat (RM500).
* Insurans Am – penerima manfaat yang tinggal bersama ibubapa/penjaga dan akaun SSPN dibuka oleh ibubapa/penjaga
**Insurans Amanah – penerima manfaat adalah yatim piatu yang tinggal di rumah anak yatim dan akaun SSPN dibuka oleh pengetua/wakil pengurusan rumah anak yatim tersebut.