- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Healthy Street Kurangkan Kesesakan Berlaku

Must read

Sikap pengguna jalan raya telah dikenalpasti antara punca berlakunya kesesakan di jalan raya. Antara jenis kesalahan yang dilakukan adalah dengan sengaja memberhentikan kenderaan di bahu jalan yang boleh menghalang kelancaran lalulintas.

Kawasan yang sering menjadi tumpuan adalah di pusat bandar, terutama di kompleks membelah belah dan tidak kurang juga sekitar kawasan sekolah terutama apabila berakhirnya waktu persekolahan pelajar.

Kesesakan jalan jika tidak ditangani dengan bijak mampu menimbulkan banyak masalah kepada pengguna jalan yang lain yang mengundangkan kepada tahap keselamatan, pembaziran masa, tenaga dan pencemaran udara.

Namun perkara ini bukanlah terletak pada tanggungjawab penguatkuasaan dan peraturan semata-mata, kerana ternyata ia turut melibatkan banyak pihak.

Atas kesedaran memikul tanggungjawab tersebut, Unit Perancang Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan bersama agensi kerajaan lain yang telah mengambil inisiatif memperkenalkan kempen “Healthy Street” bagi mengurangkan kesesakan tersebut.

Tumpuan kali ini, di Jalan Nanas (salah sebuah jalan di pusat Bandar Raya Kuching Utara) sejauh 400 meter yang di sepanjang jalannya mempunyai beberapa premis perniagaan, sekolah rendah, kampus universiti, kawasan kediaman dan hotel.

Masalah begitu dirasai di jalan tersebut sekitar kawasan sekolah pada waktu puncak (sekitar jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang ketika ibu-bapa mengambil anak mereka dari sekolah.

Melalui Jawatankuasa Khas “Healthy Street”-Jalan Nanas yang diwujudkan sejak Mac lalu yang dianggotai beberapa orang pegawai dari Unit Perancang Negeri, Jabatan Tanah dan Survei, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pelajaran, Majlis Keselamatan Jalan Raya), Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, SJK Chung Hua No.4 serta Lembaga Sekolah Chung Hua No.4 telah merancang dan melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengurangkan kesesakan tersebut.

Unit Perancang Negeri bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut manakala Dewan Bandar Raya Kuching Utara sebagai Penasihat Program.

Pada permulaannya, penguatkuasaan dilakukan dengan menempatkan beberapa pegawai penguatkuasaan pada waktu tersebut (1 jam tersebut) serta meletakkan sementara kon sebagai pembahagi jalan bagi mengawal keadaan lalulintas yang sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kesesakan daripada berlaku.

Sejak daripada itu, sedikit sebanyak ia berjaya mengurang kesesakan daripada berlaku.

Menurut Desmond Leo dari Bahagian Kesihatan Persekitaran, DBKU, yang juga pengerusi dalam jawatankuasa tersebut berkata bukanlah penguatkuasaan yang diutamakan, tetapi sikap dan mentaliti ibubapa supaya menitikberatkan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain.

Secara tidak langsung, ia secara beransur-ansur mendidik pengguna jalan tersebut supaya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.

Melalui sokongan daripada badan korporat yang diperolehi, kini beberapa perkembangan dapat disaksikan antaranya pemasangan papan tanda sekitar kawasan sekolah berkenaan, pemasangan “delineator post” dan kebenaran meletak kenderaan sementara ketika waktu puncak antara 12.45 tengah hari hingga 1.15 petang.

Malah, pihaknya turut mengiktiraf jalan tersebut sebagai “Healthy Street” pada 7 November 2007 sebagai usaha mempromosikan kehidupan sejahtera berkualiti serta meningkatkan imej Bandar Raya Kuching sebagai Bandar Raya Sejahtera.

Paling penting, menurut beliau kerjasama dengan pihak sekolah memaklumkan kepada ibu bapa pelajar berkenaan mengenai pentingnya aspek keselamatan dan berhemah ketika di jalan raya.

Jelasnya melalui pemerhatian yang diadakan, kebanyakannya tidak memanfaatkan sepenuhnya 800 petak tempat letak kenderaan berhampiran kawasan tersebut.

Kempen tersebut, yang juga adalah projek perintis dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan lalulintas di kawasan tersebut, memastikan keselamatan pelajar sekolah meningkatkan kualiti udara sepanjang jalan tersebut.
Antara garis panduan yang diutamakan melalui projek tersebut ialah tidak digalakkan ibu bapa memberhentikan kenderaan dan mengambil anak mereka di hadapan sekolah berhadapan jalan utama.

Ia bermatlamat mendidik masyarakat mengenai perbezaan sikap dan tingkahlaku pengguna jalan raya dan kesan kesihatan kepada orang awam terutama pelajar, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Katanya, kesesakan boleh mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain lambat tiba ke destinasi, berlakunya pembaziran masa, tenaga dan sebagainya.

Sekiranya projek tersebut menampakkan kejayaan, terdapat cadangan untuk memperluaskannya ke jalan utama lain antaranya Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching yang turut mempunyai dua (2) buah sekolah di kawasan terbabit.

Pada Majlis Pengiktirafan Jalan raya Sejahtera pada 7 November lepas, Dr. Lawrence Tseu, Ketua Penolong Pengarah dari Unit Perancang Negeri berkata projek tersebut telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kesesakan yang berlaku yang menurutnya kini keadaan terkawal berbanding dahulu.

Projek yang pertama seumpamanya di negara ini, jelas beliau akan dipantau secara berterusan bagi menjamin kejayaannya.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diperluas di sekolah lain dalam mencapai matlamat meningkatkan kualiti hidup di bandar raya ini.

Info Ringkas

  • Kini, terdapat kira-kira 580,000 orang mendiami Bandar Raya Kuching yang seluas kira-kira 430 kilometer persegi.
  • Bandar Raya Kuching, juga telah diisytiharkan sebagai satu daripada bandar raya terbersih dan paling selesa untuk didiami di Malaysia, telah dianugerahkan dengan anugerah antarabangsa Persekutuan Bandar Raya Sihat Dunia kerana Kemajuan Bandar Raya Sihat dengan Pencapaian Baik dan Pembangunan Organisasi Kreatif pada Oktober tahun lepas di Suzhou, China

Konsep Jalan raya Sejahtera

  • Jalan raya sejahtera mempunyai pelbagai tafsiran termasuklah bebas dari segi kesesakan lalulintas dan mempunyai struktur dan sistem fizikal jalan yang selamat. Namun dari segi pendekatan holistik, ia merangkumi tingkah laku pengguna jalan raya.

Info

  • Terdapat kira-kira 80 peratus isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kenderaan.
  • Peningkatan jumlah kenderaan juga dipercayai antara penyumbang utama kepada berlakunya kesesakan di jalan utama.
  • Terdapat beberapa cadangan ketika itu bagi mengurangkan kesesakan yang semakin kritikal terutama pada waktu puncak antaranya pembinaan jalan-jalan baru, lebuh raya serta melebar jalan sedia ada dan membina jejambat bagi menggantikan peranan lampu isyarat.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article