- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Lebih Banyak Pembangunan Di Sarawak: PM

Must read

Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) melancarkan
sambutan Perayaan Malaysia Merdeka ke-50. Turut melancarkan (dari kiri)
ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Patinggi Abdullah, Tun Datuk
Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib
Mahmud


Suasana sambutan yang gilang-gemilang

Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


Perdana Menteri, Datuk Patinggi Abdullah Ahmad Badawi memberi keyakinan bahawa Sarawak dan Sabah akan terus menikmati pembangunan yang saksama sepertimana negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Dengan mengambil kita keluasan tanah dan kekayaan sumber yang ada di Sarawak dan Sabah, beliau menyuarakan keyakinannya bahawa lebih banyak pembangunan akan berlaku di kedua-dua negeri itu.

Beliau turut memberitahu tentang keprihatinan kerajaan pusat terhadap pembangunan rakyat di Sarawak dan Sabah, khasnya di kawasan pedalaman, telah dibuktikan melalui peruntukan berjumlah RM8 bilion dalam Bajet 2009 bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kedua-dua negeri itu.

Peruntukan itu menurutnya adalah untuk meningkatkan lagi prasarana berkaitan dengan jalan raya, menambahbaik kemudahan sekolah dan pengajian tinggi di Sarawak dan Sabah.

Katanya lagi, koridor pembangunan wilayah yang akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak bakal memberi impak besar kepada kemajuan sosioekonomi penduduk Sarawak.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perayaan Malaysia Merdeka ke-50 bertemakan "Malaysiaku Gemilang", di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 10 September lalu.

Beliau turut menyentuh tentang keperluan pembangunan modal insan di kalangan generasi baru bagi memastikannya sejajar dengan penerokaan sumber semulajadi dan perancangan kerajaan.

Generasi berkenaan katanya, perlu lengkap dengan ilmu pengetahuan, bersahsiah dan berperibadi mulia serta mempunyai kekuatan jasmani kerana modal insan yang mampu mengatasi cabaran globalisasi dan apa jua cabaran adalah generasi yang negara perlukan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak menyifatkan sambutan kemerdekaan ke-50 sebagai gerbang bagi Sarawak untuk memasuki era pembangunan yang lebih hebat.

Katanya, empat Perdana Menteri sebelum Datuk Patinggi Abdullah juga telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara dan Sarawak juga tidak diketepikan sehingga kini.

Pelancaran sambutan perayaan pada malam itu yang akan berakhir pada Ogos tahun hadapan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut menyaksikan perasmian perayaan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Puan Sri Laila Taib dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Seramai kira-kira 3,500 peserta telah mengambil bahagian dalam persembahan pelbagai acara menarik. Antaranya Persembahan Selamat Datang, Dendang Etnik Pribumi, Persembahan Perdana: Gemala Merdeka dan Persembahan Tarian Malaysiaku Gemilang.



Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article