- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

OKU Dibantu, Penuhi Misi Negara

Must read

Kerajaan memperuntukkan wang yang cukup besar untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini menikmati pembangunan yang seimbang.

Namun, sedarkah kita bahawa golongan yang harus menerima manfaatnya bukan sahaja mereka yang daif, warga tua, ibu tunggal, mereka yang terpinggir dan sebagainya, tetapi juga melibatkan golongan seperti Orang Kurang Upaya (OKU).

Teras Ketiga Misi Nasional (2006-2020), telah menjelaskan perlunya usaha untuk menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif supaya tidak ada rakyat yang ditinggalkan dari arus pembangunan serta memastikan bahawa manfaat daripada pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh semua rakyat secara adil dan saksama.

Dalam aspek itu, kerajaan sememangnya menyedari bahawa masih ada golongan yang tidak berdaya untuk menyertai aktiviti ekonomi negara secara langsung dan ia termasuk golongan OKU.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 1980), OKU bermaksud;

"Seseorang yang tidak berupaya untuk menentukan sendiri sebahagian atau sepenuhnya keperluan hidup dan/ atau kehidupan sosial, akibat sesuatu kekurangan sama ada dari segi fizikal atau mental yang berlaku sejak lahir atau kemudian hari itu."

Jika didalami definisi itu, sudah tentu Dasar Kebajikan Masyarakat Negara telah berada dalam landasan yang seharusnya kerana ia menekankan keperluan perkhidmatan pemulihan OKU supaya kemudahan dan pengesanan awal disediakan bagi mereka menerima rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan. Ia disusuli dengan usaha untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat agar mereka bersedia menghadapi keadaan sosial semasa.


Bilangan OKU

Mengikut statistik konservatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, setiap seorang dalam 20 orang penduduk dikatakan mengalami ketidakupayaan. Jika menggunakan pendekatan itu, maka di Sarawak diramalkan seramai 100,000 penduduk Sarawak adalah OKU.

Namun, hanya kira-kira 11,980 orang sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMNS) setakat Disember 2006.

Menurut Pn Hadiah bt Hj Ramli, Penolong Pengarah Seksyen Orang Kurang Upaya, JKMNS, OKU yang berdaftar dengan jabatan itu boleh dikategorikan kepada enam jenis mengikut ketidakupayaan mereka.

Setiap mereka juga diberikan Kad Kenal Diri OKU yang dibezakan dengan kod warna untuk memudahkan pihak yang berkenaan mengetahui jenis ketidakupayaan yang dialami serta memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Mereka yang mengalami ketidakupayaan anggota diberikan kad berwarna hijau, ketidakupayaan penglihatan disediakan dengan kad berwarna biru, pendengaran (warna ungu), celebral palsy (warna merah), masalah pembelajaran [termasuk lewat perkembangan/ sindrom down/ autisma/ attention deficit hyperactive disorder/ terencat akal/ masalah pembelajaraan spesifik seperti dyslexia, dysgraphia, dyscalculia serta berkaitan] (warna kuning) dan lain-lain [hasil diagnosis perubatan di bawah kategori ini merangkumi semua masalah kurang upaya yang tidak dinyatakan] (warna oren).


Perkhidmatan, Bantuan dan Elaun

JKMNS menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan, bantuan dan elaun kepada golongan OKU bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Perkhidmatan itu dikategorikan kepada dua jenis iaitu

1. Perkhidmatan luar; dan

2. Perkhidmatan institusi

Di bawah perkhidmatan luar, JKMNS menyediakan perkhidmatan

  1. Pendaftaran dan Kad Kenal Diri OKU
  2. Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan (tidak melebihi RM5,000.00)
  3. Geran Pelancaran (tidak melebihi RM5,000.00 untuk sekali sahaja) bagi OKU yang ingin memulakan/ membesarkan perniagaan
  4. Elaun Pekerja Cacat (EPC) – bagi yang berpendapatan kurang dari RM425.00 sebulan akan menerima elaun RM100.00 sebulan

Sementara bagi perkhidmatan institusi, JKMNS terlibat dalam perkhidmatan

  1. Pusat Latihan Perindustnan dan Pemulihan (PLPP) Bangi
  2. Taman Sinar Harapan
  3. Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Samarahan
  4. Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
  5. Penempatan Kerja
  6. Perkhidmatan Kaunseling dan Nasihat
  7. Pembangunan Sukan Paralimpik


1. Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi

Untuk OKU anggota mengadakan Kursus Vokasional seperti Pembantu Tadbir Sistem Maklumat, Rekaan Fesyen dan Jahitan, Elektrikal, Elektronik, Membuat Alat Sokongan, Multimedia dan Pembuatan Kerusi Roda


2. Taman Sinar Harapan

Memberi latihan kepada individu kurang upaya masalah pembelajaraan sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing dan juga memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan akal yang teruk.


3. Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Samarahan

Memberi perkhidmatan pemulihan, termasuk rawatan perubatan dan latihan vokasional kepada orang cacat anggota, pendengaran, akal dan penglihatan untuk suatu waktu jangka masa supaya mereka menjadi lebih produktif dan dapat hidup berdikari.


Aktiviti membuat sampul surat di Pusat Pemulihan OKU Samarahan


4. Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di institusi. Kaedah pembangunan komuniti untuk OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri yang memberi peluang kepada OKU menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat.


Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

5. Penempatan Kerja

Jabatan berusaha mendapat OKU bekerja di Bengkel Terlindung seperti di Bengkel Seri Sarawak dan Bengkel Daya Klang, Selangor serta Bengkel Sg Petani, Kedah.


6. Perkhidmatan Kaunseling dan Nasihat

Bagi OKU dan keluarga yang menghadapi masalah daripada segi emosi, keyakinan diri dan sebagainya atau yang memerlukan maklumat berkaitan jenis-jenis perkhidmatan yang diperlukan.


7. Pembangunan Sukan Paralimpik

Mencungkil bakat OKU dalam bidang sukan untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Cabaran

Sungguhpun mempunyai kekurangan baik dari segi fizikal dan mental, OKU sebenarnya berupaya memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Menurut Pn Hadiah, OKU juga boleh melibatkan diri di dalam bidang sukan seperti Sukan Paralimpik, menunjukkan prestasi yang tinggi dalam latihan kemahiran dan menjalankan aktiviti perniagaan seperti mengendalikan Pusat Urut.

Malah, terdapat kira-kira satu peratus daripada jawatan dalam perkhidmatan awam adalah terdiri daripada OKU.

Namun katanya, dalam banyak situasi OKU masih ketinggalan sungguhpun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh JKMNS untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatannya kepada golongan berkenaan.

Antaranya, penglibatan daripada pelbagai agensi dan masyarakat yang kurang peka dan tidak menggalakkan walaupun diadakan pelbagai program kesedaran tentang keperluan golongan OKU.

Juga mengecewakan ialah penglibatan daripada ibubapa atau keluarga OKU itu sendiri yang kurang memberangsangkan.

Peluang pekerjaan yang boleh disertai juga amat terhad untuk OKU dan di Sarawak ini pula hanya terdapat sebuah Bengkel Terlindung bagi memberi peluang pekerjaan kepada OKU yang tidak dapat bersaing di pasaran kerja.

Terdapat juga majikan yang tidak mahu mengambil OKU bekerja di tempat mereka. Bagi yang mahu mengambil OKU bekerja pula, terdapat penindasan daripada segi gaji kerana mereka sering melihat kepada ketidakupayaan OKU dan bukan kepada kemampuan sebenar mereka.

Program latihan termasuk ‘job placement programmes’ juga adalah terhad dan diburukkan lagi dengan ketiadaan undang-undang yang spesifik mengenai peluang pekerjaan untuk OKU.

Terdapat juga kes OKU tidak mendapat pelepasan apabila mereka terlibat dalam kegiatan sukan, malah ada yang sehingga hilang pekerjaan kerana menjalani latihan apabila dipilih mewakili negeri dan negara dalam sukan.

Turut menimbulkan masalah ialah kesahihan statistik sebenar tentang bilangan dan taburan OKU di seluruh negeri ini yang merumitkan JKMNS menyampaikan perkhidmatan seperti yang dirancang.

Berkenaan keistimewaan yang sepatutnya dinikmati oleh OKU, beliau menjelaskan bahawa terdapat pihak tertentu yang masih tidak mengiktiraf Kad Kenal Diri OKU.

Misalnya, OKU yang berkenaan masih diarahkan untuk mendapatkan surat pengesahan dari pihak jabatan tentang ketidakupayaan mereka.

Mereka juga menetapkan syarat-syarat tertentu untuk OKU menikmati kemudahan yang disediakan oleh agensi lain walaupun telah memiliki kad berkenaan.

Di kebanyakkan bangunan sama ada lama atau yang baru, pengangkutan awam dan sebagainya, ketiadaan aksesibiliti yang mesra OKU juga masih ketara sungguhpun gesaan telah berulang kali diajukan oleh Kementerian yang berkaitan.

Misalnya, tiada penguatkuasaan ‘Uniform Building By-Laws’ bagi membolehkan semua bangunan, lama atau baru agar mesra OKU dengan menyediakan aksesibiliti dan juga kemudahan berkaitan, tiada kaunter mesra OKU di kaunter pelanggan jabatan kerajaan dan swasta serta tambang istimewa kepada OKU iaitu diskaun 50 peratus hanya diberi untuk pembayaran tiket secara tunai.


Kemudahan yang mesra OKU seperti tempat meletak kenderaan masih jarang dilihat

Begitu juga dengan aksesibiliti ke pusat latihan, kekurangan peluang latihan, program latihan, ‘job placement programmes’ termasuk pengangkutan awam yang mesra OKU juga telah menyekat peluang OKU untuk menyertai latihan atau dunia pekerjaan.

Sehubungan itu, peranan dan perhatian daripada semua pihak amat diperlukan untuk memastikan bahawa OKU akan terus menikmati dan menerima segala yang sewajarnya mereka peroleh.

Golongan OKU juga merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat dan mereka ini juga sebenarnya mampu untuk turut sama menyumbang kepada negara.

Hanya apabila semua pihak mampu membantu serta menerima golongan OKU seadanya, maka masyarakat kita akan bergerak selangkah lagi menuju matlamat ketujuh seperti yang terkandung di dalam Wawasan 2020, iaitu untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan berbudaya menyayangi serta merealisasikan Teras Ketiga Misi Nasional yang dicita-citakan seluruh rakyat Malaysia.


Statistik Kemasukan ke Institusi

Nama Institusi




Tahun





2001

2002

2003

2004

2005

2006

2007

Pusat Pemulihan Samarahan

23

54

35

28

14

43

26

Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi

22

5

4

2

2

5

Pusat Latihan Gurney

5

4

4

Pusat Sinar Harapan

2

Jumlah

52

59

39

28

16

49

35


Bilangan Orang Kurang Upaya Berdaftar Mengikut Bahagian di Sarawak
(sehingga Disember 2006)


Visual Pendengaran Fizikal Intelek Lumpuh Otak Lain-lain Jumlah
Kuching 587
747
1,598
1,693
50
16
4,691
Sri Aman 97
115
195
133
13
1
554
Sibu 194
336
730
726
35
8
2,029
Miri 85
190
370
417
24
4
1,090
Limbang 32
44
134
148
19
4
381
Sarikei 80
107
282
212
8

689
Kapit 67
39
100
193


399
Bintulu 58
101
195
277
10
4
645
Samarahan 239
192
442
375
29
4
1,281
Mukah 6
5
49
49
11

120
Betong 9
14
26
44
8

101
Jumlah 1,454
1,890
4,121
4,267
207
41
11,980


Bilangan Orang Kurang Upaya Berdaftar Mengikut Etnik di Sarawak
(sehingga Disember 2006)

Etnik Bilangan
Melayu 3,660
Cina 3,600
India 10
Bumiputera Sarawak 4,657
Lain-lain 58
Jumlah 11,980

Info

  • Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial Dan Urbanisasi Sarawak (KPSU).
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyediakan draf Akta OKU. Ia akan dikemas kini dan dimantapkan sebaik sahaja dasar dan pelan tindakan OKU diluluskan.
  • Dasar dan Pelan Tindakan OKU tersebut sedang dalam peringkat terakhir untuk dimuktamadkan sebelum dikemukakan ke pertimbangan dan kelulusan kerajaan.
  • Dasar dan pelan tindakan itu mengambil kira perkara-perkara yang termaktub di dalam Biwako Millennium Framework for Action Towards an Inclusive, Barriers Free and Rights Based Society for Persons with Disability in Asia and the Pacific, serta diselaraskan dengan konvensyen mengenai hak OKU yang telah diterimapakai oleh PBB pada 13 Disember 2006.
  • Akta OKU ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung 2007 atau awal 2008. (Dewan Rakyat, 5 September 2007).


Dalam Peruntukan Bajet 2008 (terpakai di Semenanjung Malaysia sahaja)

  1. Kerajaan menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU kepada RM300 daripada RM200 bagi yang berpendapatan bulanan di bawah RM750
  2. Memberi bantuan khas sebanyak RM300 sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang mengidap penyakit
  3. Membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article