- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kebersihan, Kecantikan Tanggungjawab Bersama

Must read

Masyarakat di negeri ini perlu menanam perasaan tanggungjwab bersama untuk menjadikan bandar, pekan dan kawasan awam sentiasa kelihatan hijau serta menarik.

“Masyarakat di negara Jepun, Korea Selatan, Amerika dan Australia mempunyai inisiatif mereka sendiri untuk menjadikan bandar mereka sentiasa bersih.

“Mereka juga menyumbang dalam hal kecantikan dan penyelenggaraan landskap di bandar.”

Menteri Alam Sekitar dan Kemudahan Awam (KASKA) Sarawak Datuk Michael Manyin Jawong menyuarakan gesaan itu ketika berucap merasmikan Hari Landskap peringkat negeri di Bandar Mutiara Tebedu.

Katanya, masyarakat di negara berkenaan tidak mengharapkan majlis tempatan atau kerajaan untuk mencantikkan kawasan tempat tinggal, bandar dan kawasan awam seperti taman-taman kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya mereka untuk melakukannya.

“Di sini masyarakat masih bergantung sepenuhnya kepada majlis bandaran dan daerah untuk menjaga taman-taman awam dan melaksanakan kerja-kerja landskap di tepi-tepi jalan.”

Menurutnya, kebersihan dan kecantikan bandar, pekan dan kampung boleh bermula di rumah.

“Masyarakat boleh menanam pokok bunga raya yang mudah untuk ditanam di rumah masing-masing serta di sepanjang jalan menuju ke rumah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kempen landskap peringkat negeri akan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan landskap, serta akan terlibat sama di dalam kempen untuk menjadikan negeri ini tempat yang selesa untuk didiami.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Landskap Negara telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk membiayai 17 buah projek lanskap dan menaiktaraf taman awam di negeri ini.

Di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), beberapa buah taman akan dinaiktaraf dan ditingkatkan landskap di Bandaraya Kuching, Sibu, Bintulu, Sarikei, Simunjan, Bau, Betong, Dalat dan Mukah.

Beliau turut menggesa agar majlis tempatan yang kekurangan sumber kewangan, menghantar kertas cadangan dan bajet kepada kementeriannya agar beliau sendiri dapat membantu pihak yang berkenaan mendapatkan peruntukan yang sewajarnya bagi mencapai matlamat yang dimahukan.




Program Kitar Semula belum mendapat respon yang memberansangkan daripada orang ramai





Alam sekitar yang bersih, kemas dan indah menjadikan kehidupan lebih berkualiti

Info

  • RM361.11 juta peruntukan untuk pembangunan lanskap di seluruh negara dalam RMK9.
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara melaksanakan Program Promosi Landskap di seluruh negara bagi meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kemahiran serta kesedaran awam mengenai kepentingan landskap.
  • Antara komponen Program Promosi Landskap adalah:
  1. mengadakan kempen dan promosi aktiviti landskap melalui media cetak dan media elektronik serta mengadakan rancangan khusus untuk landskap melalui siaran televisyen dan radio
  2. sambutan Hari Landskap Negara dan negeri
  3. Pertandingan Landskap Peringkat Kebangsaan dan Negeri
  4. kerjasama dengan sekolah-sekolah yang terpilih dengan mewujudkan kelab landskap yang akan melaksanakan aktiviti landskap di sekolah tersebut
  5. mengadakan projek landskap secara usaha sama dengan badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan
  6. penerbitan bahan-bahan berbentuk teknikal dan risalah, majalah dan jurnal yang bercorak mempromosikan industri landskap Malaysia.


  • Program Promosi Landskap ini adalah selaras dengan wawasan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap budaya menghargai persekitaran yang sihat dan indah.
  • Kesedaran tersebut akan menjadikan semua lapisan masyarakat menjadi pengguna kemudahan landskap dan rekreasi yang berhemah dan bersedia memberikan sumbangan yang positif bagi memastikan landskap yang mapan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article