- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembudayaan Bahasa Kebangsaan

Must read

Kata pembudayaan terbit daripada kata ‘budaya’ yang
bermaksud tamadun atau peradaban. Pembudayaan pula bermaksud proses atau cara membudayakan
atau melazimkan sesuatu seperti ilmu, dan pemikiran sebagai sebahagian daripada
amalan hidup.

Pembudayaan bahasa kebangsaan atau pembudayaan bahasa Melayu
bermaksud mengamalkan ciri-ciri bahasa itu, termasuk nilai budi, kesantunan,
dan sistem linguistik bahasa yang berkenaan dalam kehidupan seharian.

Pembudayaan bahasa kebangsaan akan hanya dapat dijayakan
sekiranya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai sikap
bahasa yang positif, iaitu ada rasa kesetiaan, kebanggaan atau gah terhadap
bahasa kebangsaan, dan mempunyai kesedaran akan norma dan sistem bahasa ini.
Ini bermakna semua dokumen rasmi kerajaan, majlis rasmi kerajaan, dan bahasa
yang dipamerkan di tempat awam serta yang disiarkan dalam media massa mestilah
dalam bentuk bahasa kebangsaan yang baik dan betul, di samping tidak
mengabaikan unsur keindahan dan kesantunan.


Kecelaruan bahasa yang ketara terpapar di tempat awam serta keleluasaan
penggunaan bahasa rojak dalam media penyiaran, tidaklah salah kalau dikatakan
bahawa pembudayaan bahasa kebangsaan belum mencapai tahap yang memuaskan.
Seharusnya, pembudayaan bahasa kebangsaan menjadi amalan kita, sebagaimana yang
kita tunjukkan pada lagu kebangsaan dan sambutan hari kebangsaan.

Masih jauh lagi perjalanan bagi menimbulkan rasa setia dan
gah dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu sendiri. Di samping
kurangnya rasa setia dan gah bahasa, merosotnya kesedaran tentang norma dan
sistem bahasa kebangsaan merupakan faktor penting yang merencatkan usaha
pembudayaan bahasa.

Keadaan begini menuntut kita yang sayang dan cinta kepada
bahasa sebagai warisan bangsa untuk terus-menerus berjuang, agar ungkapan
bahasa jiwa bangsa bukan sekadar tinggal di bibir tetapi diterjemahkan dalam
bentuk amalan harian oleh seluruh rakyat Malaysia.

Artikel
petikan daripada tulisan bertajuk sama oleh
Hajah Noresah Baharom di ruangan
Nukleus, Klik DBP; Disember 2007

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article