- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tahun Baru Tahun Percuma!

Must read

oleh Choo Hoon Gek

Tahun 2008 yang telah membuka tirainya menyajikan kita
pelbagai isu kontroversi yang boleh dijadikan renungan bersama dan perlu
ditangani dengan bijak. Isu-isu ini
mempunyai impak tersendiri terhadap perkembangan sosioekonomi masyarakat di
negara ini. Antara lain adalah isu yuran
persekolahan anak-anak kita serta isu kekurangan minyak masak terutama di
negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Pendidikan anak-anak dijadikan pertaruhan yang berat
sebelah apabila para ibu bapa menimbulkan isu yuran atau kini dengan terma barunya ‘bayaran tambahan’. Dalam masa yang sama, ulasan-ulasan ahli-ahli
akademik dan pemimpin berkaitan bidang pendidikan tidak banyak membantu melegakan keluhan dan rungutan ibu bapa. Besar kemungkinan isu yuran menjadi hangat
kerana ibu bapa tidak faham pengurusan sekolah-sekolah yang bergantung kepada
bayaran tertentu bagi mengadakan
kelengkapan asas dan menjamin keselesaan
anak-anak mereka yang duduk di bawah kipas angin malah membaca buku di dalam
bilik yang berhawa dingin di pusat sumber sekolah masing-masing.

Punca kewangan perlu dicari demi menampung keperluan
pelajar dan warga sekolah umumnya. Walau
bagaimanapun ibu bapa masih mempunyai pilihan lain iaitu kembali ke era sekolah
pondok yang percuma atau bayarannya bergantung kepada kemampuan ibu bapa. Persoalannya adakah anak-anak kita yang
dibesarkan dalam era siber ini dapat menyesuaikan diri dengan suasana daif
tersebut. Jawapannya, tepuk dada tanya
selera.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana jika
dibandingkan dengan sekolah tadika persendirian yang mengenakan bayaran
sehingga mencecah RM100 sebulan.
Malahan terdapat ibu bapa yang
sanggup berbelanja sehingga lima enam ratus ringgit sebulan untuk menyekolahkan
anak-anak mereka di sekolah persendirian yang menawarkan pakej pengajaran dan pembelajaran (P&P)
yang menarik terutama di kawasan bandar.

Semuanya kerana keselesaan dan kualiti serta peluang
P&P yang lebih baik untuk perkembangan mental fizikal dan rohani
anak-anak. Justeru, jika isu ini dibiarkan berlarutan bagaimana pula
kita hendak mengangkat martabat kedudukan sekolah kebangsaan kita yang sedia
ada.

Keadaan ini wujud besar kemungkinan kerana mentaliti
masyarakat kita yang masih terlalu mengharapkan subsidi. Apabila semua barang keperluan disubsidikan
maka terjadilah rungutan yang berbau emosi.

Subsidi sepatutnya dijadikan penyelesaian terakhir
apabila wujudnya golongan yang dikategorikan sebagai kelas kemiskinan
tegar. Lanjutan daripada itu, timbul
pula isu yang kekurangan minyak masak di pasaran tempatan.

Ramai yang menyalahkan subsidi yang diberikan oleh
kerajaan. Ini kerana terdapat golongan
yang mengambil kesempatan menyeludup keluar minyak masak negara kita ke negara
jiran di mana harganya jauh lebih mahal.

Kita tidak menyangkal tujuan murni kerajaan menyediakan
kemudahan subsidi kepada rakyat namun konsep subsidi itu telah disalahertikan
oleh masyarakat kita untuk bersenang-lenang tanpa berusaha mengadakan keperluan
sendiri tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.

Akhirnya terjadilah seperti situasi yang berlaku
kini. Di mana silapnya hanya mereka yang
terlibat saja yang tahu.

Apa yang pasti kita mengharapkan keikhlasan ibu bapa
berkompromi dengan pihak sekolah untuk menangani masalah terbabit dengan rasional. Persekolahan anak-anak kita adalah umpama
pelaburan jangka panjang di mana pulangannya adalah jauh lebih lumayan dan
kekal.

oleh Choo Hoon Gek

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article