- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bahaya Apnea Tidur

Must read

Bila disebut mengenai tidur, pasti kita terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan serta membolehkan fungsi sistem badan diseimbangkan semula sebelum bermula hari baru keesokannya.

Tetapi sedarkah anda perkara sebaliknya yang berlaku dan waktu tidur mungkin menjadi tempoh paling berbahaya kepada badan anda.

Tidur dan dengkur kini makin menjadi kebiasaan dan diterima ramai sebagai satu perkara yang normal di kalangan lelaki dan wanita.

Tanpa mengira punca daripada berat badan berlebihan, diwarisi daripada ibu bapa atau masalah struktur salur pernafasan, terlalu ramai yang mengambil ringan masalah dengkur dan tidak berusaha mendapatkan rawatan.

Masalah dengkur hadir dalam dua bentuk iaitu dengkur tabiat atau dengkur lembut dengan bunyi perlahan seperti bunyi dekus kucing, tiada halangan laluan udara dan tidak berbahaya.

Jenis kedua adalah dengkur halangan saluran udara iaitu dengkur kuat akibat laluan udara tersekat yang menyukarkan udara masuk ke paru-paru dan sangat berbahaya.

Namun, tumpuan di sini bukan kepada dengkur itu sendiri tetapi punca seseorang berdengkur iaitu halangan pada saluran pernafasan, sehinggakan berlakunya Apnea tidur. Perkataan Apnea sendiri membawa makna ‘tiada nafas’.

Nafas Terhenti

Dengkur kuat bermakna anda berisiko tinggi menghidap Apnea tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA).

Penghidap OSA akan mengalami nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400 kali setiap malam.

Penghidap OSA juga mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak dapat bernafas.

Mereka juga selalunya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Bunyi dengkur ini akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan telah terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup).

Halangan pada bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.

Menurut Bekas Setiausaha dan Bendahari Kehormat Persatuan Farmasi Malaysia, Yap Ming Tian, mereka yang menghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, berasa sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.

Selain OSA, terdapat juga jenis Apnea lain seperti Apnea tengah di mana otot dada dan diafram berhenti bergerak seterusnya menyebabkan nafas terhenti serta Apnea campuran yang juga dikenali sebagai Apnea kompleks di mana penghidap mengalami kedua-dua OSA dan juga Apnea tengah.

Bilangan kes OSA adalah yang paling tinggi iaitu lebih 84 peratus, 0.4 peratus untuk Apnea tengah dan 15 peratus lagi adalah kes Apnea campuran.

Selain itu, masalah hypopnea adalah satu lagi masalah berkait rapat dengan Apnea iaitu keadaan di mana terdapat penurunan sehingga 50 peratus jumlah udara yang masuk ke paru-paru dalam setiap nafas.

Hasil penyelidikannya, Ming Tian mendapati ramai tidak menyedari masalah Apnea tidur kini telah menjadi kebiasaan dan jumlahnya mungkin sama banyak dengan diabetes golongan dewasa.

Rawatan OSA

Menurut Ming Tian, rawatan awal perlu diambil untuk masalah OSA dan halangan salur udara supaya tidak melarat kepada masalah kesihatan lain.

Antara cara rawatan yang sedia ada kini adalah alat Tekanan Salur Udara Positif Berterusan Nasal (n-CPAP) yang memaksa oksigen masuk ke paru-paru melalui tiub hidung.

Tambahnya, terdapat banyak cara rawatan tetapi adalah lebih baik untuk memilih cara yang merawat punca masalah halangan salur pernafasan berlaku.

Selain itu, pembedahan juga boleh dilakukan untuk mengeluarkan tonsil besar selain prosedur pillar untuk memberikan sokongan mengeraskan lelangit lembut, mengurangkan getaran dan mengelakkan halangan saluran udara oleh lelangit.

Selain kos dan risiko tinggi melibatkan penggunaan bius dalam pembedahan, CPAP pula tidak menjadi pilihan ramai pesakit yang tidak mahu tidur dengan memakai tiub hidung.

Ming Tian menjelaskan terdapat juga pilihan seperti semburan tonik herba dan atau ubat-ubat tertentu untuk masalah OSA.

Masalah Berkaitan OSA

  • Penghidap OSA akan mengalami kekeringan mulut, pening dan rasa tidur yang tidak puas.
  • Emosi juga akan terganggu akibat keletihan daripada tidur tidak nyenyak menyebabkan penghidap OSA kelihatan murung, enggan berkomunikasi dan cepat marah.
  • Tindak balas dan fungsi kognitif penghidap akan menjadi perlahan dan terjejas. Ini meningkatkan risiko bagi mereka yang mengendalikan mesin-mesin berat atau berbahaya.
  • Rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang yang menandakan pesakit mengalami OSA dan kekurangan oksigen ketika tidur.
  • Tertidur ketika sedang membaca, berbual, menonton televisyen, duduk, menaiki kenderaan dan juga ketika memandu. Kajian juga menunjukkan penghidap Apnea mempunyai risko enam kali ganda lebih tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.
  • Apnea berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan tahap karbon dioksida dan perubahan pH darah sehingga berlakunya asidosis metabolik.
  • OSA yang menyebabkan tidur tidak nyenyak untuk lebih tiga malam berturut-turut akan meningkatkan risiko diabetes secara mendadak. Keadaan ini berpunca daripada keupayaan badan memproses glukosa (gula) di dalam darah yang didapati jatuh mendadak sejajar dengan kadar tidur nyenyak tidak diperoleh.
  • Selain itu penurunan oksigen di dalam darah juga mungkin menyebabkan berlakunya sawan walaupun jika tidak pernah mengalami masalah epilepsi.
  • OSA di kalangan kanak-kanak berdengkur jauh lebih berbahaya dan meninggalkan kesan lebih teruk kepada kesihatan dan pertumbuhan mereka. Kekurangan oksigen ketika membesar (sewaktu tidur) juga akan membantutkan perkembangan otak menyebabkan masalah pembelajaran dan kognitif diri.
  • Kekurangan oksigen ke otak turut meningkatkan risiko penyakit Alzheimer apabila usia penghidap OSA semakin meningkat.
  • Terdapat juga teori berlakunya Sindrom Kematian Mengejut Bayi berkaitan dengan Apnea tidur.
  • Sebahagian daripada individu yang mengalami OSA mengalami peningkatan tekanan darah yang seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan juga strok.
  • Komplikasi paling teruk OSA adalah kegagalan fungsi jantung. Bagi golongan dewasa dengan masalah jantung, kekurangan oksigen boleh membawa kepada masalah angina, arithmia dan serangan jantung.

Info ; Dengkur Akibat Halangan Salur Udara

Bunyi dengkur berlaku akibat getaran udara yang cuba menembusi halangan pada salur pernafasan ketika menarik nafas.

Bunyi dengkur terhasil daripada tisu lembut di dalam tekak yang bergetar apabila salur pernafasan menjadi lebih sempit (terhalang) seterusnya menyebabkan kelajuan dan tekanan udara semakin meningkat.

Halangan pada salur pernafasan ini mungkin berpunca daripada beberapa sebab yang sama ada diwarisi atau berpunca daripada masalah lain.

Pengambilan ubat penenang, pelali atau ubat tidur juga boleh menyebabkan tisu tertentu mengendur dan menghalang laluan udara.

Selain itu, tisu di sekitar tekak juga boleh dipenuhi tisu lemak akibat berat badan berlebihan yang akan menyebabkan salur udara mengecil.

Saluran pernafasan melalui hidung yang tersekat disebabkan alahan, demam selesema, resdung dan sebagainya juga boleh menyebabkan berlakunya getaran dengkur.

Tabiat tidur secara terlentang juga mungkin memburukkan lagi halangan saluran udara menyebabkan bunyi dengkur lebih kuat.

Pengambilan alkohol juga mendorong tisu-tisu di sekitar tekak mengendur ke dalam sementara tabiat merokok pula menyebabkan kerosakan tisu sehingga menjadi kendur dan menghalang laluan udara.

Masalah dengkur juga tidak mengira usia dan jantina dengan terdapatnya sebilangan kes di kalangan kanak-kanak sementara 32 peratus golongan lelaki dewasa dan 14 peratus golongan wanita dewasa menghidap dengkur tabiat.

Bagaimanapun, usia turut memainkan peranan memandangkan otot-otot tekak golongan berusia semakin lemah, mengendur ke dalam dan membentuk halangan pada salur pernafasan.

Terdapat kajian yang menunjukkan ukur lilit leher lebih memainkan peranan daripada indeks jisim badan di dalam terbentuknya halangan salur pernafasan, dengkur dan OSA.

Ukur lilit leher yang melebihi 17 inci dikaitkan dengan peningkatan risiko halangan salur udara kerana longgokan lemak di leher mungkin menekan saluran pernafasan.

Struktur tulang muka turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas dan bawah yang tidak selari, seperti rahang bawah yang lebih pendek atau lebih kecil sehingga menyempitkan saluran pernafasan.

Artikel dipetik dan disesuaikan dari Utusan Online hasil tulisan Nurul Anuar Kari

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article