- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bahaya Apnea Tidur

Must read

Bila disebut mengenai
tidur, pasti kita terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan serta
membolehkan fungsi sistem badan diseimbangkan semula sebelum bermula hari baru
keesokannya.

Tetapi sedarkah anda
perkara sebaliknya yang berlaku dan waktu tidur mungkin menjadi tempoh paling
berbahaya kepada badan anda.

Tidur dan dengkur kini
makin menjadi kebiasaan dan diterima ramai sebagai satu perkara yang normal di
kalangan lelaki dan wanita.

Tanpa mengira punca
daripada berat badan berlebihan, diwarisi daripada ibu bapa atau masalah
struktur salur pernafasan, terlalu ramai yang mengambil ringan masalah dengkur
dan tidak berusaha mendapatkan rawatan.

Masalah dengkur hadir
dalam dua bentuk iaitu dengkur tabiat atau dengkur lembut dengan bunyi perlahan
seperti bunyi dekus kucing, tiada halangan laluan udara dan tidak berbahaya.

Jenis kedua adalah
dengkur halangan saluran udara iaitu dengkur kuat akibat laluan udara tersekat
yang menyukarkan udara masuk ke paru-paru dan sangat berbahaya.

Namun, tumpuan di sini
bukan kepada dengkur itu sendiri tetapi punca seseorang berdengkur iaitu
halangan pada saluran pernafasan, sehinggakan berlakunya Apnea tidur. Perkataan Apnea
sendiri membawa makna ‘tiada nafas’.


Nafas Terhenti

Dengkur kuat bermakna
anda berisiko tinggi menghidap Apnea
tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA).

Penghidap OSA akan
mengalami nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400
kali setiap malam.

Penghidap OSA juga
mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak
dapat bernafas.

Mereka juga selalunya
berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa
tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Bunyi dengkur ini akan
menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan
telah terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup).

Halangan pada bekalan
udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan
otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.

Menurut Bekas Setiausaha
dan Bendahari Kehormat Persatuan Farmasi Malaysia, Yap Ming Tian, mereka yang
menghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, berasa sangat
mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.

Selain OSA, terdapat
juga jenis Apnea lain seperti Apnea tengah di mana otot dada dan
diafram berhenti bergerak seterusnya menyebabkan nafas terhenti serta Apnea campuran yang juga dikenali
sebagai Apnea kompleks di mana
penghidap mengalami kedua-dua OSA dan juga Apnea
tengah.

Bilangan kes OSA adalah
yang paling tinggi iaitu lebih 84 peratus, 0.4 peratus untuk Apnea tengah dan 15 peratus lagi adalah kes
Apnea campuran.

Selain itu, masalah
hypopnea adalah satu lagi masalah berkait rapat dengan Apnea iaitu keadaan di mana terdapat penurunan sehingga 50 peratus
jumlah udara yang masuk ke paru-paru dalam setiap nafas.

Hasil penyelidikannya,
Ming Tian mendapati ramai tidak menyedari masalah Apnea tidur kini telah menjadi kebiasaan dan jumlahnya mungkin sama
banyak dengan diabetes golongan dewasa.

Rawatan OSA

Menurut Ming Tian,
rawatan awal perlu diambil untuk masalah OSA dan halangan salur udara supaya
tidak melarat kepada masalah kesihatan lain.

Antara cara rawatan yang
sedia ada kini adalah alat Tekanan Salur Udara Positif Berterusan Nasal
(n-CPAP) yang memaksa oksigen masuk ke paru-paru melalui tiub hidung.

Tambahnya, terdapat
banyak cara rawatan tetapi adalah lebih baik untuk memilih cara yang merawat
punca masalah halangan salur pernafasan berlaku.

Selain itu, pembedahan juga
boleh dilakukan untuk mengeluarkan tonsil besar selain prosedur pillar untuk
memberikan sokongan mengeraskan lelangit lembut, mengurangkan getaran dan
mengelakkan halangan saluran udara oleh lelangit.

Selain kos dan risiko
tinggi melibatkan penggunaan bius dalam pembedahan, CPAP pula tidak menjadi
pilihan ramai pesakit yang tidak mahu tidur dengan memakai tiub hidung.

Ming Tian menjelaskan
terdapat juga pilihan seperti semburan tonik herba dan atau ubat-ubat tertentu
untuk masalah OSA.


Masalah Berkaitan OSA

  • Penghidap OSA akan mengalami kekeringan mulut, pening dan
    rasa tidur yang tidak puas.
  • Emosi juga akan terganggu akibat keletihan daripada tidur
    tidak nyenyak menyebabkan penghidap OSA kelihatan murung, enggan berkomunikasi
    dan cepat marah.
  • Tindak balas dan fungsi kognitif penghidap akan menjadi
    perlahan dan terjejas. Ini meningkatkan risiko bagi mereka yang mengendalikan
    mesin-mesin berat atau berbahaya.
  • Rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang yang
    menandakan pesakit mengalami OSA dan kekurangan oksigen ketika tidur.
  • Tertidur ketika sedang membaca, berbual, menonton
    televisyen, duduk, menaiki kenderaan dan juga ketika memandu. Kajian juga
    menunjukkan penghidap Apnea mempunyai
    risko enam kali ganda lebih tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.
  • Apnea berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan tahap karbon
    dioksida dan perubahan pH darah sehingga berlakunya asidosis metabolik.
  • OSA yang menyebabkan tidur tidak nyenyak untuk lebih tiga
    malam berturut-turut akan meningkatkan risiko diabetes secara mendadak. Keadaan
    ini berpunca daripada keupayaan badan memproses glukosa (gula) di dalam darah
    yang didapati jatuh mendadak sejajar dengan kadar tidur nyenyak tidak
    diperoleh.
  • Selain itu penurunan oksigen di dalam darah juga mungkin
    menyebabkan berlakunya sawan walaupun jika tidak pernah mengalami masalah
    epilepsi.
  • OSA di kalangan kanak-kanak berdengkur jauh lebih
    berbahaya dan meninggalkan kesan lebih teruk kepada kesihatan dan pertumbuhan
    mereka. Kekurangan oksigen ketika membesar (sewaktu tidur) juga akan
    membantutkan perkembangan otak menyebabkan masalah pembelajaran dan kognitif
    diri.
  • Kekurangan oksigen ke otak turut meningkatkan risiko
    penyakit Alzheimer apabila usia penghidap OSA semakin meningkat.
  • Terdapat juga teori berlakunya Sindrom Kematian Mengejut
    Bayi berkaitan dengan Apnea tidur.
  • Sebahagian daripada individu yang mengalami OSA mengalami
    peningkatan tekanan darah yang seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan
    juga strok.
  • Komplikasi paling teruk OSA adalah kegagalan fungsi
    jantung. Bagi golongan dewasa dengan masalah jantung, kekurangan oksigen boleh
    membawa kepada masalah angina, arithmia dan serangan jantung.

Info ; Dengkur Akibat Halangan Salur Udara


Bunyi dengkur berlaku
akibat getaran udara yang cuba menembusi halangan pada salur pernafasan ketika
menarik nafas.

Bunyi dengkur terhasil
daripada tisu lembut di dalam tekak yang bergetar apabila salur pernafasan menjadi
lebih sempit (terhalang) seterusnya menyebabkan kelajuan dan tekanan udara
semakin meningkat.

Halangan pada salur
pernafasan ini mungkin berpunca daripada beberapa sebab yang sama ada diwarisi
atau berpunca daripada masalah lain.

Pengambilan ubat penenang,
pelali atau ubat tidur juga boleh menyebabkan tisu tertentu mengendur dan
menghalang laluan udara.

Selain itu, tisu di
sekitar tekak juga boleh dipenuhi tisu lemak akibat berat badan berlebihan yang
akan menyebabkan salur udara mengecil.

Saluran pernafasan
melalui hidung yang tersekat disebabkan alahan, demam selesema, resdung dan
sebagainya juga boleh menyebabkan berlakunya getaran dengkur.

Tabiat tidur secara
terlentang juga mungkin memburukkan lagi halangan saluran udara menyebabkan
bunyi dengkur lebih kuat.

Pengambilan alkohol juga
mendorong tisu-tisu di sekitar tekak mengendur ke dalam sementara tabiat
merokok pula menyebabkan kerosakan tisu sehingga menjadi kendur dan menghalang
laluan udara.

Masalah dengkur juga
tidak mengira usia dan jantina dengan terdapatnya sebilangan kes di kalangan
kanak-kanak sementara 32 peratus golongan lelaki dewasa dan 14 peratus golongan
wanita dewasa menghidap dengkur tabiat.

Bagaimanapun, usia turut
memainkan peranan memandangkan otot-otot tekak golongan berusia semakin lemah,
mengendur ke dalam dan membentuk halangan pada salur pernafasan.

Terdapat kajian yang
menunjukkan ukur lilit leher lebih memainkan peranan daripada indeks jisim
badan di dalam terbentuknya halangan salur pernafasan, dengkur dan OSA.

Ukur lilit leher yang
melebihi 17 inci dikaitkan dengan peningkatan risiko halangan salur udara
kerana longgokan lemak di leher mungkin menekan saluran pernafasan.

Struktur tulang muka
turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas
dan bawah yang tidak selari, seperti rahang bawah yang lebih pendek atau lebih
kecil sehingga menyempitkan saluran pernafasan.


Artikel dipetik dan
disesuaikan dari Utusan Online hasil tulisan
Nurul
Anuar Kari

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article