SKIM Baucar Tuisyen yang diperkenalkan
Kementerian Pelajaran empat tahun lalu akan dijenamakan semula kepada Skim
Bantuan Tuisyen (SBT.
Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian
Pelajaran Malaysia yang dipetik oleh Berita Harian baru-baru ini, Encik Zulkifly
Mohd Wazir, berkata penjenamaan semula dilaksanakan bermula Mac 2008.
Proses ini dilakukan menurutnya lagi
adalah bagi membolehkan proses pelaksanaannya lebih berstruktur dan terancang
untuk mencapai kejayaan optimum.
Beliau berkata, menerusi pengstrukturan
semula itu juga, banyak perubahan serta penambahbaikan dalam pelbagai prosedur
termasuk penyediaan modul tuisyen untuk panduan guru terbabit.
Proses pemilihan pelajar yang layak
katanya, bermula dengan menyenaraikan murid miskin menerusi penggunaan data
diperoleh pada 2007. Maklumat itu mestilah diperakui guru mata pelajaran bagi
menggantikan kaedah melalui borang permohonan.
Berdasarkan senarai murid yang layak,
Zulkifly berkata, sekolah akan menubuhkan pusat tuisyen di bawah SBT dengan
menyediakan perancangan tahunan termasuklah jadual waktu dan keperluan guru
terbabit.
Skim kali ini termasuk penyediaan
makanan kepada murid yang dilaksanakan menerusi Rancangan Makanan Bantuan
Tuisyen (RMSBT).
Dengan pemansuhan penggunaan baucar bagi skim itu, guru akan diminta
mengemukakan tuntutan berdasarkan jumlah kehadiran murid ke kelas tuisyen
berkenaan. Setiap murid dikira pada kadar RM2.50 seorang bagi setiap jam untuk
sesuatu subjek.
Bagi memudahkan tuntutan, beliau berkata, murid diminta menandakan
kehadiran mereka pada buku kedatangan bagi setiap sesi.
Usaha itu katanya, membantu kerajaan merapatkan jurang pencapaian akademik
di kalangan murid daripada keluarga miskin.
Mengenai syarat kelayakan pula, Zulkifly berkata, murid yang layak
mengikuti kelas mesti warga negara Malaysia, murid Tahun Empat, Lima dan Enam,
masing-masing mestilah di sekolah rendah bantuan kerajaan.