Mulai 1 Mac ini, Sukarelawan Rukun Tetangga (RT) yang
terlibat dalam skim rondaan sukarela akan diberi pelepasan kerja selama setengah
hari. Ketika kini terdapat seramai 1,050 sukarelawan dalam Skim Rondaan
Sukarelawan RT yang melakukan rondaan di kawasan-kawasan berhampiran dengan RT
masing-masing.
Ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Dr Maximus Johnity Ongkili pada 1 Februari 2008 di Kuching yang dipetik dari
BERNAMA selepas majlis perjumpaan bersama ketua-ketua jabatan dan badan
berkanun persekutuan di negeri Sarawak.
Menurut beliau, sebelum ini, insentif pelepasan kerja bagi
sukarelawan ronda RT digantung pelaksanaannya sejak 15 tahun lalu kerana
terdapat penyalahgunaan namun kini diperkenalkan semula dengan beberapa
penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanannya.
Datuk Dr Maximus berkata, pelepasan kerja ini diberi kepada
sukarelawan RT yang meronda selama empat jam selepas tengah malam dan maksimum dua
kali dalam tempoh sebulan.
Katanya pelepasan kerja itu membolehkan kakitangan awam atau
swasta yang menjadi sukarelawan RT datang lewat ke pejabat pada hari yang sama.
Draf mengenai insentif pelepasan kerja ini sedang
diperhalusi Bahagian Perundangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pejabat
Peguam Negara bagi diwartakan dan dilaksanakan pada bulan depan.
"Objektif utama kita perkenalkan semula pelepasan kerja
ialah membantu mengurangkan kadar jenayah dengan menggalakkan konsep komuniti
kepolisian," katanya, sambil menambah kabinet telah memberi persetujuan
untuk memperkenalkan semula insentif tersebut pada mesyuarat kabinet Rabu
lepas.