2008
merupakan tahun yang amat penting bagi Perkhidmatan Awam Malaysia dan juga
Negara. Ini kerana pada tahun ini Kajian
Semula Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK9) akan dilakukan. Proses melengkapkan Kajian ini melibatkan
penilaian secara kritikal ke atas Perkhidmatan Awam dari segi kekuatan dan
kelemahan serta keupayaannya untuk memastikan tercapainya perkara-perkara yang
telah ditetap dan dijanjikan oleh Kerajaan untuk dicapai dalam usahanya yang
berterusan bagi merealisasikan objektif Wawasan 2020 dan seterusnya.
Ini yang ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara
(KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada MAPPA 2008 di Putrajaya, 28 Januari 2008
baru lalu.
Menurut KSN lagi, asas
kepada RMK9 bertunjangkan keutamaan-keutamaan yang ditetapkan yang dijangka
akan memacu pembangunan negara dalam tempoh berkenaan dan yang akan memastikan
bahawa Malaysia lebih berkemampuan untuk bersaing di peringkat global,
memperkasa perpaduan Negara dan mewujudkan satu sistem atau mekanisma
pengagihan kekayaan dan pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat dan
dalam masa yang sama berupaya meningkatkan kualiti hidup mereka.
Kejayaan pelaksanaan RMK9 ini, tambah
beliau lagi adalah bergantung kepada jentera Kerajaan yang dipacu oleh
penjawat-penjawat awam yang mana keupayaan mereka untuk melakukan perubahan
minda adalah diperlukan dalam meningkatkan tahap penyampaiannya setaraf dengan
piawaian dunia.