- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

HIPERS Gilap Potensi Pelajar Luar Bandar

Must read

HIPERS telah dilaksanakan kira-kira 12 tahun yang lalu (1996) oleh Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) untuk membantu khususnya sekolah luar bandar meningkatkan kualiti pendidikan.

Kumpulan sasar untuk projek ini adalah pelajar-pelajar luar bandar yang mempunyai prestasi cemerlang dan memiliki sikap mahu belajar lebih daripada masa biasa sekolah bagi membolehkan mereka digilap untuk mencapai satu pencapaian yang gemilang dalam penilaian umum persekolahan, iaitu:

  1. Pelajar-pelajar Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 (UPSR) sekolah luar bandar
  2. Pelajar-pelajar Tingkatan1, 2 dan 3 (PMR) sekolah luar bandar.

Pada peringkat awal, projek ini hanya melibatkan pelajar-pelajar tahun 6 di 10 buah sekolah rendah di sekitar Bahagian Kuching sahaja dan kemudian pada tahun 1997 ia dilanjutkan ke Tingkatan 3 di sekolah menengah.

Kini ia sudah diperluaskan bukan sahaja dari segi bilangan sekolah ke Bahagian-bahagian lain seperti yang dipersetujui oleh JPNS, tetapi bilangan kelas telah bertambah dengan meliputi Tahun 4 dan Tahun 5 di sekolah rendah (2004) dan mulai tahun 2005 ke Tingkatan 2 di sekolah menengah.

Rasional peluasan ini adalah untuk memberi persediaan asas agar pelajar yang terlibat tidak menerima kejutan semasa berada dalam kelas peperiksaan UPSR atau PMR.

Objektif HIPERS adalah:

  1. Membantu untuk menggilap pelajar-pelajar terbaik yang berpotensi untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.
  2. Membantu dalam melahirkan seramai mungkin pelajar cemerlang dari segi akademik dan sikap yang baik dari sekolah-sekolah luar bandar.
  3. Membantu untuk mempertingkatkan prestasi keputusan UPSR dan PMR bagi pelajar-pelajar luar bandar.
  4. Menyediakan peluang-peluang yang luas bagi pelajar luar bandar untuk dipilih ke sekolah-sekolah berasrama penuh sama ada di Sarawak atau di negeri-negeri di Semenanjung di bawah tajaan Skim Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.

HIPERS adalah berkonsepkan kelas tuisyen yang diadakan di luar waktu sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar terbaik dari segi akademik dan sikap. Mereka ini akan ditempatkan di dalam sebuah kelas untuk memperkukuhkan dan memperkayakan pembelajaran dengan mengguna pendekatan yang kreatif dan inovatif.

Setiap sekolah yang dipilih di bawah projek ini adalah berdasarkan cadangan JPNS/PPD dan pihak sekolah dikehendaki untuk mengadakan satu kelas SAHAJA bagi setiap tahap Tahun 4, 5 dan Tahun 6 (UPSR) untuk sekolah rendah, Tingkatan 1,2 dan 3 (PMR) bagi sekolah menengah. Bilangan pelajar dihadkan dalam satu kelas pada sesuatu masa tidak melebihi 25 orang sahaja.

Pemilihan pelajar pula akan dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan rekod pencapaian akademik mereka bagi tempoh satu tahun sebelumnya. Pelajar HIPERS boleh berubah pada setiap semester mengikut prestasi semasa pelajar tersebut.

Jika seseorang pelajar itu menurun prestasinya, maka dia boleh dikeluarkan daripada projek HIPERS dan diganti dengan pelajar lain yang lebih menyerlah. Tindakan ini untuk memastikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam projek ini adalah terdiri daripada pelajar elit yang betul-betul mahu belajar dan menunjukkan motivasi yang tinggi untuk meningkatkan prestasi ke arah kecemerlangan.

Kelas HIPERS memberi fokus dan penekanan pada pengajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris agar para pelajar ini menjadi kompeten dalam bidang tersebut.

Dalam menjayakan lagi projek HIPERS ini bengkel-bengkel pendidikan juga diadakan. Bengkel ini diadakan sebagai insfrastruktur pembelajaran dengan menggunakan strategi Tripod, iaitu pendekatan tiga segi yang melibatkan ibubapa, guru dan pelajar sendiri bagi menghasilkan produk ibubapa cemerlang anak gemilang.

Antara pendekatan yang digunakan adalah seperti Seminar Keibubapaan untuk ibubapa pelajar-pelajar HIPERS, Ceramah Motivasi / Inspirasi dan Teknik Belajar dan Menjawab Kertas Soalan Peperiksaan.

Dengan adanya projek HIPERS ini, maka potensi pelajar-pelajar luar bandar dapat dikembangkan. Kualiti pendidikan luar bandar juga akan berubah kepada tahap yang lebih baik. Tahniah kepada Yayasan Sarawak di atas usaha yang murni ini.

Bilangan Sekolah Menyertai HIPERS

Bahagian Sekolah Rendah Sekolah Menengah
Kuching 13 4
Samarahan 6 2
Sri Aman 3 1
Betong 3 1
Sarikei 4 2
Mukah 4 1
Sibu 2 2
Bintulu 4 2
Miri 3 2
Limbang 2 1
Kapit 2 1
Jumlah 46 19
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article