oleh George Langat Ngau
Keunggulan dan kecemerlangan sesebuah
sekolah dari segi akademik dan kokurikulum bukannya terletak pada kuantitinya
tetapi kepada kualiti sekolah itu.
Melahirkan pelajar yang pintar dan cemerlang
bukanlah tugas yang mudah tanpa adanya penglibatan semua pihak. Banyak cabaran
dan dugaan yang harus ditempuhi. Apa lagi cabaran masa kini antara dan juga faktor
pembangunan di bandar yang semakin maju berbanding luar bandar.
Perbezaan ini juga secara tidak langsung
mempengaruhi minda pelajar dan ibubapa di luar bandar. Pelbagai program dan
projek yang telah diatur dan dilaksanakan oleh kerajaan demi mempertingkatkan
tahap akademik dan pembangunan modal insan bukan sahaja kepada pelajar di
bandar tetapi juga pelajar-pelajar di luar bandar atau pedalaman.
Salah satu program atau projek yang
telah diusahakan dan dilaksanakan oleh Yayasan Sarawak adalah projek High Performance Rural Schools (HIPERS).
HIPERS telah dilaksanakan kira-kira 12 tahun yang lalu (1996) oleh Yayasan
Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) untuk membantu
khususnya sekolah luar bandar meningkatkan kualiti pendidikan.
Kumpulan sasar
untuk projek ini adalah pelajar-pelajar luar bandar yang mempunyai prestasi
cemerlang dan memiliki sikap mahu belajar lebih daripada masa biasa sekolah
bagi membolehkan mereka digilap untuk mencapai satu pencapaian yang gemilang
dalam penilaian umum persekolahan, iaitu:
- Pelajar-pelajar Tahun 4,
Tahun 5 dan Tahun 6 (UPSR) sekolah luar bandar - Pelajar-pelajar
Tingkatan1, 2 dan 3 (PMR) sekolah luar bandar.
Pada peringkat awal, projek ini hanya melibatkan pelajar-pelajar tahun 6 di
10 buah sekolah rendah di sekitar Bahagian Kuching sahaja dan kemudian pada
tahun 1997 ia dilanjutkan ke Tingkatan 3 di sekolah menengah.
Kini ia sudah diperluaskan bukan
sahaja dari segi bilangan sekolah ke Bahagian-bahagian lain seperti yang
dipersetujui oleh JPNS, tetapi bilangan kelas telah bertambah dengan meliputi
Tahun 4 dan Tahun 5 di sekolah rendah (2004) dan mulai tahun 2005 ke Tingkatan
2 di sekolah menengah.
Rasional peluasan ini adalah untuk memberi persediaan asas agar pelajar
yang terlibat tidak menerima kejutan semasa berada dalam kelas peperiksaan UPSR
atau PMR.
Objektif HIPERS adalah:
- Membantu untuk menggilap pelajar-pelajar terbaik yang berpotensi untuk
mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.- Membantu dalam melahirkan seramai mungkin pelajar cemerlang dari segi
akademik dan sikap yang baik dari sekolah-sekolah luar bandar.- Membantu untuk mempertingkatkan prestasi keputusan UPSR dan PMR bagi
pelajar-pelajar luar bandar.- Menyediakan peluang-peluang yang luas bagi pelajar luar bandar untuk
dipilih ke sekolah-sekolah berasrama penuh sama ada di Sarawak atau di
negeri-negeri di Semenanjung di bawah tajaan Skim Biasiswa Program Pertukaran
Pelajar Yayasan Sarawak.
HIPERS adalah berkonsepkan kelas tuisyen yang
diadakan di luar waktu sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar terbaik dari
segi akademik dan sikap. Mereka ini akan ditempatkan di dalam sebuah kelas
untuk memperkukuhkan dan memperkayakan pembelajaran dengan mengguna pendekatan
yang kreatif dan inovatif.
Setiap sekolah
yang dipilih di bawah projek ini adalah berdasarkan cadangan JPNS/PPD dan pihak
sekolah dikehendaki untuk mengadakan satu kelas SAHAJA bagi setiap tahap Tahun
4, 5 dan Tahun 6 (UPSR) untuk sekolah rendah, Tingkatan 1,2 dan 3 (PMR) bagi
sekolah menengah. Bilangan pelajar dihadkan dalam satu kelas pada sesuatu masa
tidak melebihi 25 orang sahaja.
Pemilihan pelajar
pula akan dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan rekod pencapaian akademik
mereka bagi tempoh satu tahun sebelumnya. Pelajar HIPERS boleh berubah pada setiap semester mengikut prestasi semasa pelajar tersebut.
Jika seseorang
pelajar itu menurun prestasinya, maka dia boleh dikeluarkan daripada projek HIPERS dan diganti dengan pelajar lain
yang lebih menyerlah. Tindakan ini untuk memastikan pelajar-pelajar yang
terlibat dalam projek ini adalah terdiri daripada pelajar elit yang betul-betul
mahu belajar dan menunjukkan motivasi yang tinggi untuk meningkatkan prestasi
ke arah kecemerlangan.
Kelas HIPERS memberi fokus dan penekanan pada
pengajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris agar para pelajar ini menjadi
kompeten dalam bidang tersebut.
Dalam menjayakan
lagi projek HIPERS ini
bengkel-bengkel pendidikan juga diadakan. Bengkel ini diadakan sebagai
insfrastruktur pembelajaran dengan menggunakan strategi Tripod, iaitu
pendekatan tiga segi yang melibatkan ibubapa, guru dan pelajar sendiri bagi
menghasilkan produk ibubapa cemerlang anak gemilang.
Antara pendekatan
yang digunakan adalah seperti Seminar Keibubapaan untuk ibubapa pelajar-pelajar
HIPERS, Ceramah Motivasi / Inspirasi
dan Teknik Belajar dan Menjawab Kertas Soalan Peperiksaan.
Dengan adanya
projek HIPERS ini, maka potensi
pelajar-pelajar luar bandar dapat dikembangkan. Kualiti pendidikan luar bandar
juga akan berubah kepada tahap yang lebih baik. Tahniah kepada Yayasan Sarawak
di atas usaha yang murni ini.
Bilangan Sekolah Menyertai HIPERS
Bahagian |
Sekolah Rendah |
Sekolah Menengah |
Kuching |
13 |
4 |
Samarahan |
6 |
2 |
Sri Aman |
3 |
1 |
Betong |
3 |
1 |
Sarikei |
4 |
2 |
Mukah |
4 |
1 |
Sibu |
2 |
2 |
Bintulu |
4 |
2 |
Miri |
3 |
2 |
Limbang |
2 |
1 |
Kapit |
2 |
1 |
Jumlah |
46 |
19 |
oleh George Langat Ngau