- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR)

Must read

Bakal Melahirkan Generasi
Pengguna Jalan Raya Yang Berhemah


artikel sumbangan : George Langat Ngau

Punca utama kecederaan dan
kematian dalam kalangan kanak-kanak di jalan raya adalah kerana mereka tidak
mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengenai keselamatan di jalan raya.
Justeru, pendidikan keselamatan jalan raya perlu dibangunkan secara
bersesuaian, berterusan dan berperingkat-peringkat dari tahap sekolah rendah
lagi.

Falsafah Pendidikan Keselamatan
Jalan Raya (PKJR) menekankan satu usaha pembentukan dan inisiatif jangka masa panjang yang bermula
dari peringkat kanak-kanak bagi melahirkan generasi baru pengguna jalan raya
yang mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati di jalan
raya. Usaha pembentukan ini adalah bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya
yang berhemah boleh menyumbang kepada keharmonian, kemakmuran dan pembangunan
jalan raya.

Berdasarkan rekod populasi
penduduk Malaysia, mulai tahun 1996 populasi penduduk Malaysia telah meningkat
daripada 21.3 juta kepada 26.4 juta pada tahun 2005 dengan purata peningkatan
sebanyak 2.5 peratus setahun. Bilangan kenderaan berdaftar juga meningkat dari
7.7 juta pada tahun 1996 ke 14.8 juta pada tahun 2005 dengan purata peningkatan
sebanyak 9.3 peratus setahun. Peningkatan yang dinikmati dalam bidang
sosioekonomi telah memperlihatkan pertambahan jumlah kes kemalangan jalan raya,
iaitu daripada 189,109 kes pada tahun 1996 ke 328,268 kes pada tahun 2005,
iaitu peningkatan pada kadar 74 peratus. Oleh kerana itu, satu pelan tindakan
telah dirangka khas untuk mengatasi masalah ini.

Pelan Keselamatan Jalan Raya
2006-2010 telah dirangka khusus untuk dijadikan garis panduan dan hala tuju
mengenai dasar, sasaran dan program keselamatan jalan raya di Malaysia di bawah
Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9). Pelan tindakan tersebut telah menetapkan satu
perancangan menyeluruh dengan pendekatan yang seimbang dalam melaksanakan
inisiatif keselamatan jalan raya berdasarkan konsep 4 E iaitu kejuruteraan,
pendidikan, penguatkuasaan dan alam sekitar (engineering, education, enforcement and environment). Di samping
koordinasi, peruntukan kewangan dan mekanisme lain yang terlibat dalam
perlaksanaan strategi serta keutamaan dalam merealisasikan matlamat kerajaan
bagi menangani masalah keselamatan jalan raya sehingga tahun 2010. Oleh itu,
pendidikan keselamatan jalan raya adalah asas dan pemangkin bagi mendokong
segala program yang boleh membawa kepada perubahan yang diinginkan terhadap
tingkah laku, kemahiran dan sikap pemandu. Tanpa program pendidikan keselamatan
jalan raya yang berkesan, langkah pencegahan yang lain akan menjadi lebih sukar
untuk dilaksanakan dalam mencapai matlamat dan sasaran yang diingini.

Tujuan pendidikan keselamatan
jalan raya adalah mendidik pemandu dan pengguna jalan raya yang lain supaya
mereka tidak mengambil risiko di jalan raya dan memperlengkapkan diri dengan
ilmu serta kemahiran yang bersesuaian. Dengan latihan yang sesuai dan efektif,
risiko yang tidak diingini boleh dielakkan. Pengguna jalan raya yang mudah
terdedah kepada bahaya seperti penunggang motosikal, pemandu dan pejalan kaki
perlu diberikan latihan pendidikan keselamatan jalan raya secukupnya melalui
program pendidikan yang direka khas bermula dengan pendidikan keselamatan jalan
raya di sekolah.

Pendidikan keselamatan jalan
raya merupakan proses pendidikan sepanjang hayat dan harus bermula di peringkat
sekolah rendah, merangkumi program bagi mengajar amalan keselamatan lalu lintas
dari seawal sekolah rendah hingga ke sekolah menengah supaya pendidikan
keselamatan jalan raya menjadi sebahagian daripada budaya dan amalan bagi
setiap kanak-kanak di Malaysia. Ini kerana kanak-kanak memerlukan penyeliaan
aktif dan rapi apabila berada di jalan raya.Kadar kemalangan yang tinggi dalam
kalangan pejalan kaki adalah melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun.
Hal ini mungkin disebabkan kurangnya penyeliaan atau belum memiliki kemahiran
yang diperlukan untuk berada dengan selamat di jalan raya sebagai pejalan kaki,
pembonceng dan penunggang basikal.

Perkembangan mental, fizikal dan
psikomotor kanak-kanak yang terhad merupakan antara penyebab mereka terdedah
kepada risiko dan bahaya ketika berada di jalan raya. Perkembangan yang terhad
ini menyebabkan mereka tidak dapat mengenal pasti tempat melintas yang selamat
tetapi mereka berpendapat bahawa mereka boleh melintas bersendirian.
Kanak-kanak juga tidak dapat menentukan kelajuan dan jarak kenderaan dengan
tepat, tidak dapat mengenal pasti arah bunyi dan tidak dapat menyesuaikan diri
dengan perubahan keadaan lalu lintas di jalan raya. Mereka juga tidak dapat
memahami perkara-perkara abstrak berkaitan keselamatan di jalan raya dan lebih
suka menumpukan perhatian kepada satu aspek tetapi pada satu masa mudah hilang
tumpuan. Selain itu, mereka juga sukar dilihat oleh pemandu kenderaan
disebabkan oleh saiz mereka yang kecil. Berdasarkan faktor-faktor inilah maka Program Pendidikan Keselamatan
Jalan Raya (PKJR) telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet
Mengenai Keselamatan Jalan Raya Nil.1/2006 yang telah dipengerusikan oleh Y.A.B
Perdana Menteri pada 15 Mei 2006. Program ini bertujuan untuk memupuk pemahaman
dalam kalangan kanak-kanak dan ibubapa mengenai bahaya semasa berada di jalan
raya dan amalan yang baik danselamat sebagai seorang pejalan kaki dan pengguna
jala raya.

Pendidikan Keselamatan Jalan
Raya (PKJR) merupakan program bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan
Kementerian Pelajaran Malaysia yang bermatlamat untuk memberikan pengetahuan
dan kemahiran asas tentang keselamatan jalan
raya bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah. Selain itu,
murid akan dapat memahami, menghayati serta mengamalkan langkah-langkah
memelihara keselamatan diri dan menghormati hak pengguna jalan raya yang lain.

Pendidikan Keselamatan Jalan
Raya bukannya satu mata pelajaran tetapi elemen ilmu yang diserapkan ke dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu. Fokus pengajaran ialah Bahasa Melayu tetapi
kandungan pengajaran tersebut berkaitan PKJR.Pengajaran PKJR hanyalah satu
penyerapan atau sisipan ketika pengajaran Bahasa Melayu dijalankan.Rancangan
Persediaan Mengajar PKJR Tahun 1 telah diselaraskan semasa Kursus Keselamatan
Jalan Raya Dalam Pendidikan Bahasa Melayu Tahun Satu bagi daerah rintis
peringkat negeri Sarawak pada 3 April hingga 5 April 2007 di Eastwood Valley
Golf and Country Club, Miri. Antara objektif khusus dalam persediaan mengajar
PKJR untuk murid tahap 1 dan tahap 2 adalah:

  1. Menunjukkan kesedaran mengenai
    keselamatan jalan raya.
  2. Mempamerkan sikap positif dan
    tanggungjawab ketika berada di jalan raya.
  3. Memahami bahagian jalan dan
    persekitaran yang selamat.
  4. Memahami kegunaan alat
    keselamatan (topi keledar, tali pinggang keledar, pemantul cahaya) dan
    kepentingan penyelenggaraan basikal.
  5. Mampu untuk melintas di jalan
    raya dengan bantuan atau secara bersendirian dengan selamat.

Kandungan sukatan pelajaran
keselamatan jalan raya sekolah rendah telah digubal dengan memberikan fokus
kepada hasil pembelajaran yang perlu diamalkan oleh murid. Hasil pembelajaran
ini berteraskan pengetahuan dan pemahaman, kemahiran, amalan serta sikap dan
nilai. Hasil pembelajaran ini adalah berdasarkan konsep “Cermat, Tiba Selamat”
serta empat tema utama iaitu Sikap Dan Tanggungjawab, Persekitaran, Kenal Pasti
Bahaya dan Melintas dengan Selamat.

Dengan adanya Pendidikan
Keselamatan Jalan Raya ini, maka hasrat kerajaan untuk melahirkan bakal
pengguna jalan raya yang akan datang dapat mengamalkan budaya selamat, beradab,
berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Usaha pembentukan bagi melahirkan
generasi pengguna jalan raya yang berhemah ini seterusnya akan dapat menyumbang
kepada keharmonian, kemakmuran dan pembangunan jalan raya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article