Di negara kita, penggunaan blog terus mencatatkan peningkatan dan dianggarkan kini terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak. Angka ini adalah yang tertinggi selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.
Kecenderungannya, juga diperkukuhkan dengan fakta daripada satu diskusi berkaitan blog bertajuk ”Penulis dan Blog: Trend Masa Kini” yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini turut mendedahkan setakat Februari lalu terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.
Mengambil singkatan daripada dua (2) perkataan ’web” dan ”log”.
Secara ringkas, umpama sebuah buku catatan ataupun diari yang kita isi setiap hari. Boleh dikatakan ia adalah buku catatan secara dalam talian.
Namun, pada saat kita berdebat mengenai baik dan buruknya blog, sesuatu yang agak menarik ialah trend ini sudah lama diikuti oleh beberapa organisasi besar yang tergolong di bawah Fortune 500 bagi tujuan sosial dan perniagaan yang diharapkan berupaya meluaskan lagi segmen pasaran mereka.
Perkara ini menarik perhatian penulis RAKAN Sarawak, yang mengikuti Persidangan Pengurusan dan Risikan Pengetahuan Ke Arah Keselamatan Nasional yang dianjurkan Persatuan Capaian Maklumat dan Pengurusan Pengetahuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Salah satu kertas kerja dibentangkan bertajuk ”Trends of Knowledge Sharing for the Corporation : From Structured to Unstructured Knowledge” disampaikan Ainol R.Shazi dari Universiti Teknologi Petronas mendapati kebanyakan organisasi sudah menerimanya sebagai sebahagian daripada pengurusan maklumat organisasi mereka.
Organisasi tersebut menjadikannya blog korporat kepada dua (2) sasaran pengguna, iaitu dikhaskan untuk diakses secara dalaman oleh pekerja bagi meningkatkan jaringan sosial sesama mereka dalam organisasi manakala satu lagi, digunakan untuk pengguna membentuk ”komunitinya sendiri” berkongsi minat dan menjana lebih banyak idea baru mereka sesuatu produk atau perkhidmatan.
Menariknya, tidak semua organisasi tersebut mempunyai latarbelakang ICT ataupun menjalankan perniagaan berteraskan elektronik.
Berdasarkan sumber tersebut, organisasi terbabit adalah terdiri daripada penyedia perkhidmatan seperti penerbitan, penerbangan, permotoran, perhotelan, industri pembuatan barangan kosmetik, makanan dan minuman dan sebagainya.
Kebanyakan organisasi ini melihat ”kuasa” dan potensi yang terdapat padanya. Namun, adakah layak ia dijadikan sebagai platform rasmi sesebuah organisasi turut bergantung kepada organisasi tersebut.
Setakat mana penerimaannya adalah banyak bergantung kepada kesediaan organisasi tersebut.
Pada hakikatnya, sifat blog yang tidak terlalu teknikal berbanding membangunkan sesebuah laman web, adalah antara sebab utama mengapa blog menjadi pilihan mereka.
Kebanyakan blog juga adalah percuma dan tidak melibatkan sebarang perbelanjaan yang besar turut mendorong penggunaan blog secara meluas.
Namun, sebelum melaksanakannya, adalah penting organisasi bersedia terlebih dahulu dengan garis panduan penggunaannya di samping memastikan golongan sasaran yang tepat dan untuk apa tujuan sebenarnya diwujudkan.
Ini penting agar mereka patuh terhadap sensitiviti organisasi serta tata susila dan budaya, selain tidak mengabaikan tujuan asal perkongsian maklumat.
Organisasi juga perlu memberi galakkan kepada pekerja yang terlibat dalam inisiatif perkongsian maklumat tersebut bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya.
Potensi besar ICT dan cabaran pada masa hadapan, juga memerlukan organisasi perlu melihat teknologi sebagai alat pemudahcara serta mengkaji kemungkinan saluran tidak formal seperti melalui blog bagi meningkatkan strategi pengurusan maklumat mereka dan memperkukuhkan jenama mereka di pasaran dunia.