- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pengurusan Projek Akan Lebih Telus

Must read

Perolehan Awam

Ketua Setiausaha Negara (KSN)Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dipetik daripada BERNAMA pada 27 April 2008 menyatakan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), akan mengambil masa enam bulan bagi menggariskan beberapa proses dan cara berkaitan perolehan awam, memudahkan e-pembayaran untuk semua transaksi kerajaan dan memudahkan pelepasan kargo.

Beliau dipetik menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Pemudah yang ke-5 tahun ini.

Ini berikutan permintaan Perdana Menteri yang dibuat pada Dialog Integriti Asean baru-baru ini, untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam semua perolehan awam dan proses tender.

"Pemudah akan menyediakan satu rangka kerja untuk menambahbaik proses perolehan awam, bagi menjadikannya lebih telus dan bertanggungjawab," katanya.

"Pemudah, dengan kedudukannya yang dianggotai sektor awam dan swasta dan mandat untuk memudahkan perniagaan, adalah jentera yang sesuai bagi memastikan penambahbaikan positif kepada sistem perolehan awam," katanya.

Sehingga kini, banyak inisiatif berkaitan telah dilaksanakan untuk meningkatkan sistem perolehan awam, termasuk mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan 5/2007 yang menggariskan perubahan dan penambahbaikan kepada prosedur dan peraturan perolehan kerajaan.

Kementerian Kewangan turut menerangkan tindakan pelan induk untuk memastikan semua agensi kerajaan melaksana dan mematuhi pekeliling yang dikeluarkan, sekaligus memastikan proses bidaan kompetitif dan telus.

KSN menambah, inisiatif telah dilaksanakan untuk menjadikan transaksi dengan agensi kerajaan lebih berkesan dengan menggariskan sistem e-pembayaran. Pada 1 Julai ini, semua bayaran kepada kerajaan boleh dibuat melalui e-pembayaran.

Bagaimanapun, perkhidmatan kaunter masih dibuka untuk mereka yang memilih cara itu.

Pelaksanaan e-pembayaran akan dibuat di 106 agensi dalam tiga peringkat.

Daripada 106 agensi itu, 21 akan siap pada 1 Mei, diikuti 55 agensi lagi pada 1 Jun dan 30 agensi pada Julai.

Pada masa ini, 83 kaunter di 72 cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima pembayaran melalui kad kredit bagi pembaharuan cukai jalan. Kad debit boleh digunakan pada akhir tahun ini.

JPJ juga menerima bayaran melalui e-perkhidmatan di 111 pusat yang diluluskan bagi tempahan ujian teori, pengeluaran dan pembaharuan lesen memandu pelajar, pembaharuan lesen memandu percubaan dan menyelesaikan saman trafik.

Pembaharuan utama lain yang diumumkan hari ini ialah mengenai pembayaran tertangguh dan pra pelepasan kargo berdasarkan jangka masa ketibaan (ETA) kapal-kapal yang akan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini.

Maklumat ETA boleh diperoleh oleh semua agensi kerajaan lebih awal bagi memudahkan pelepasan pada bila-bila masa hari berkerja, hujung minggu dan cuti umum.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article