- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Rujuk Hanya kepada Sumber Yang Sahih

Must read

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menghidangkan pelbagai penggunaan media baru seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), kewujudan pelbagai blogs serta pelbagai sumber dalam talian lain, memberikan pilihan yang lebih luas kepada kita untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Namun itu tidak bererti, kita harus menerima setiap maklumat yang diperolehi, tanpa menapis dan menganalisa serta membuat perbandingan terlebih dahulu dengan menyeluruh.

Perkara sedemikian amat penting terutama apabila merujuk kepada soal hukum-hakam serta hal yang berkaitan dengan Islam.

Sumber yang sahih serta dipercayai perlu dirujuk terlebih dahulu.

Tempat paling tepat untuk mendapatkan kepastian adalah dengan merujuk kepada pihak berautoriti, demikian jelas Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Hj. Loling Othman Bin Hj. Alwi ketika ditanya mengenai tahap kepekaan masyarakat terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama.

Namun jelasnya, kesedaran umat Islam semakin meningkat terhadap apa maklumat yang mereka terima dan mereka semakin bijak menilai sesuatu maklumat.

Katanya, di Pejabat Mufti ada menyediakan Tele-Khidmat talian (hotline) dengan nombor talian 082-411222 yang dibuka setiap hari Isnin dan Rabu, dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Manakala pada hari-hari lain orang awam boleh juga menghubungi Pejabat Mufti di talian am 082-243173 pada waktu pejabat.

“Kita sentiasa mengalu-alukan segala pertanyaan atau kemusykilan daripada masyarakat yang ingin dirujuk dengan pejabat mufti, ”kata Datu Hj. Loling Othman.

”Kita juga tidak menghadkan saluran melalui talian tersebut sahaja, malah menggalakkan pelanggan datang sendiri ke pejabat mufti”, katanya.

Menurutnya lagi, sejak mula diperkenalkan enam (6) tahun yang lepas, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dengan purata, hampir 1,500 pertanyaan diperolehi setiap bulan mengenai beberapa perkara yang antara lain meliputi pelbagai soalan mengenai hukum-hakam Islam.

Pihaknya turut menerima pertanyaan melalui surat-menyurat.

Apa yang pasti, pejabat mufti memberi jaminan sedaya upaya menjawab segala kemusykilan berdasarkan beberapa kajian dan penyelidikan terperinci yang dilaksanakan secara dalaman oleh pejabat mufti.

Beliau berkata demikian, ketika pertemuan RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Antara beberapa pertanyaan masyarakat menjurus hukum-hakam dari aspek perbankan Islam, matawang, ekonomi semasa, bahan-bahan kesihatan dan kecantikan, bahan makanan, penggunaan teknologi dan sebagainya.

Jelasnya lagi, ada juga yang bertanya beberapa perkara asas dari sudut sembahyang, puasa, perkahwinan, kematian dan sebagainya.

Pejabat Mufti Sarawak, menurut Datu Loling Othman sebagai salah satu struktur utama yang menjaga kepentingan Islam dan masyarakat Islam di negeri ini turut berperanan menjadi tempat rujukan utama kepada organisasi berkaitan antaranya seperti agensi-agensi Islam, pihak hospital dan lain-lain untuk mendapatkan khidmat nasihat dari sudut hukum-hakam.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya, pihaknya menyedari kakitangan di pejabat tersebut bukan sahaja perlu mahir dari segi agama malah perlu juga berkemahiran tinggi dalam aspek teknologi maklumat.

Pejabat Mufti Sarawak terletak di Tingkat 6, Bangunan Mahkamah Syariah (Anjung Kanan), Jalan Satok Kuching dengan 15 orang kakitangan.

Fakta Ringkas

Peranan Pejabat Mufti Sarawak

Fatwa

• Urusetia kepada Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak
• Urusan penyediaan kertas kerja untuk Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak
• Menjawab persoalan-persoalan berkaitan hukum syarak
• Menyemak urusan kebenaran Solat Jumaat, menaiktaraf Surau ke Masjid dan kebenaran perpindahan kubur
• Menerbitkan buku-buku agama yang bersesuaian
• Mengendalikan Tele-khidmat Kemusykilan Agama

Falak
• Urusan cerapan Hilal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah
• Penyediaan Jadual Solat Berbuka Puasa dan Imsak
• Penyediaan Takwim Hijri
• Penentuan Arah Kiblat
• Mengadakan Kursus Falak

Pentadbiran
• Urusan Fail, Surat dan dokumen
• Rekod Kakitangan
• Pewujudan, pengisian dan pengesahan dalam jawatan
• Kenaikan pangkat dan persaraan
• Perpindahan dan penetapan tempat kerja
• Urusan bangunan, pejabat dan peralatan pejabat
• Melaksanakan segala peraturan perkhidmatan
• Penyediaan belanjawan tahunan
• Urusan pembayaran gaji, elaun, tuntutan perjalanan dan urusan pembayaran

Misi Pejabat Mufti Sarawak

Visi
• Pejabat Mufti Negeri Sarawak bertekad dan berusaha menjadi sebuah organisasi yang berwibawa sebagai sum ber ilmu dan rujukan berteraskan al-quran dan al-sunnah

Misi
• Memperkasakan umat Islam berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
• Memberikan dan menjelaskan hukum-hakam yang sahih
• Memperkayakan umat Islam dengan ilmu duniawi dan ukhrawi

Bagaimana proses mengeluarkan Fatwa di negeri Sarawak dilaksanakan :-


Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 Seksyen 37

Persoalan / Pertanyaan yang berhubung dengan kepentingan umum ditujukan kepada Setiausaha Majlis Islam Sarawak


Dikemukakan Kepada Sahibus Samahah Mufti Untuk Pertimbangan


Dikemukakan Dalam Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Untuk dibincangkan


Setelah diluluskan akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Islam Sarawak


Setelah diluluskan oleh Majlis Islam Sarawak barulah Keputusan dimajukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri


Pengesahan perkenan kepada TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak


Setelah diperkenankan barulah Fatwa digazetkan / diwartakan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article