- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Mengimbangi Persekitaran

Must read

Kesejahteraan hidup bukanlah terletak kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi adalah terletak bagaimana kita boleh mengimbanginya bagi mewujudkan satu persekitaran yang mapan dan dinamik.

Dengan erti kata lain, aspek penjagaan alam sekitar perlu turut dititikberatkan agar ia mampu meningkatkan kualiti kehidupan terutama di kawasan bandar yang mengalami pertumbuhan yang pesat.

Untuk itu, beberapa perkara perlu diambil perhatian, antaranya aspek pengangkutan, lalulintas, taman rekreasi, sistem pembetungan, sistem perparitan dan pengurusan sisa pepejal.

Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat perkara ini bagi memastikan persekitaran yang mesra alam boleh dikekalkan dengan perancangan jangka masa panjang.

Pada peringkat agensi kerajaan, Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan, melalui Seksyen Pembangunan Bandar telah diberikan tanggungjawab ini.

Ini termaktub dalam misi kementerian tersebut iaitu ke arah kesejahteraan hidup yang merangkumi usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan persekitaran bandar melalui pembangunan dan penambahbaikan perkhidmatan, kemudahan dan infrastruktur.

Salah satu inisiatif ke arah itu ialah pengujudan sebuah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang merupakan bukti kukuh tentang keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan setiap warga kota dan isi rumah di bandar-bandar utama di negeri dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.

Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan dan Pembangunan Bandar, Encik Akit Sebli berkata demikian ketika merujuk kepada pengujudan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan di bawah Seksyen Pembangunan Bandar, Kementerian tersebut yang telah ditubuhkan pada tahun lepas (1 Oktober 2007).

Ia diharap dapat meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan serta menjamin kelancaran segala projek berkaitan pembetungan yang telah tersenarai dalam RMK9.

Antaranya seperti projek Sistem Pengurusan Air Sisa Bersepadu di Bandaraya Kuching (Zon 1 Fasa A) bernilai kira-kira RM150.8 juta, dua (2) Loji Rawatan Enapcemar Sibu dan Miri, masing-masing dengan nilai kira-kira RM20 juta di samping pengurusan sistem saluran pembetungan utama Bintulu yang menelan kos kira-kira RM10 juta.

Kesemua projek tersebut sedang dalam proses pelantikan kontraktor dan menyempurnakan rekabentuk dan dijangka memulakan pembinaan selewat-lewatnya penghujung tahun ini (2008)

Mengulas mengenai jabatan (Jabatan Perkhidmatan Pembetungan) tersebut, ia akan mempunyai tiga (3) unit iaitu Unit Regulatori, Unit Pembangunan dan Perancangan dan Unit Perhubungan Korporat. Di bawah Unit Regulatori terdapat dua (2) seksyen iaitu Seksyen Pemantauan Pencapaian dan Seksyen Pembangunan Penyelidikan.

Manakala Unit Pembangunan dan Perancangan pula merangkumi dua (2) Seksyen iaitu Seksyen Pemusatan dan Seksyen Sistem Pengasingan.

Unit Perhubungan Korporat pula mengandungi dua (2) Seksyen iaitu Seksyen Pentadbiran dan Seksyen Kewangan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article