YAB Perdana Menteri, Dato’
Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12 Mei 2008 dalam satu kenyataan telah
mengumumkan beberapa langkah perlu bagi menangani kenaikan harga padi dan beras
dalam Negara selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani
Inflasi.
Dato’ Seri Abdullah menyatakan
bahawa keputusan ini dibuat setelah menimbangkan kepentingan semua pihak dan
bagi memelihara kebajikan para pengguna dan pesawah padi dalam isu kenaikan
harga padi dan beras.
Tindakan berikut telah
diputuskan untuk dilaksanakan :
- Mengekalkan beras Super
Tempatan 15% sebagai beras yang dikawal harga di antara RM1.65/kg hingga
RM1.80/kg mengikut zon. - Menetapkan harga siling
beras Super Special Tempatan 5% pada RM2.80/kg dan beras Super Special Tempatan
10% pada RM2.70/kg, berkuatkuasa 1 hb Jun 2008. - Mengapungkan harga
beras-beras import termasuk beras Putih Thai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. - Membenarkan pemindahan
padi di antara negeri- negeri secara berperingkat. - Menaikkan Harga Minimum
Terjamin (GMP) daripada RM650/MT (tan metrik) kepada RM750/MT.
Ini bermakna, dengan
langkah-langkah yang akan diambil, Kerajaan akan membelanjakan
sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi
bagi mengekalkan harga beras runcit yang dapat meringankan beban pengguna
ketika harga barangan semakin meningkat.
Tindakan-tindakan ini
kecuali harga siling beras Super Special Tempatan 5% dan beras Super Special
Tempatan 10% akan berkuat kuasa serta merta
Dalam kenyataan yang
dikeluarkan itu, YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa harga beras di pasaran
dunia telah naik mendadak berbanding dengan harga pada tahun 2007. Harga Beras
Putih Thai 5% telah meningkat sebanyak 164% daripada USD371/MT pada tahun 2007
kepada USD980/MT sekarang. Beras Putih Vietnam pula telah naik sebanyak 212%
daripada USD352/MT pada tahun 2007 kepada USD1,100/MT pada tahun ini.
Menurut Perdana
Menteri, kenaikan ini telah memberi tekanan kepada harga padi dan beras dalam
negeri. Beras tempatan yang dikawal iaitu beras Super Tempatan 15% yang
ditetapkan di antara harga RM1.65/kg hingga RM1.80/kg telah mengalami
kekurangan bekalan di pasaran tempatan. Pengilang-pengilang lebih berminat
untuk mengeluarkan beras Super Special Tempatan 10% dan Super Special Tempatan
5% sahaja yang tidak dikawal harganya oleh Kerajaan. Harga beras Super Special
Tempatan 10% dan Super Special Tempatan 5% juga telah naik harga dengan
mendadak kerana Kerajaan tidak mengenakan kawalan harga ke atas beras gred-gred
ini.
Oleh yang demikian,
kerajaan menurut Perdana Menteri telah mengambil keputusan untuk mengambil tindakan
bagi memastikan bekalan yang cukup bagi beras Super Tempatan 15% dan membendung
kenaikan harga berterusan beras Super Special Tempatan 5% dan Super Special
Tempatan 10%.
Dalam kenyataan yang
sama, Perdana Menteri mengumumkan Harga Minimum Terjamin (GMP) yang ditawarkan
dan diterima oleh pesawah-pesawah pada masa ini dinaikkan ke paras yang lebih
tinggi bagi faedah pesawah-pesawah ekoran daripada kenaikan harga beras.
Pemindahan padi antara negeri-negeri juga perlu dikaji bagi menjadikan harga
jualan padi lebih kompetitif dan dapat membantu menambah pendapatan
pesawah-pesawah.