- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

ABM Ubah Dunia Penerbitan Tempatan

Must read

Industri penerbitan buku di Malaysia bakal berubah wajah dengan penubuhan Akademi Buku
Malaysia (ABM) di bawah Yayasan Pembangunan Buku Negara. Penubuhan ABM diyakini
boleh mengubah senario industri buku di samping meningkatkan modal insan
selaras dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menuntut peningkatan
keupayaan kreativiti dan inovasi serta memupuk “Minda Kelas Pertama”.

“Industri
buku perlu mempunyai badan khas yang suaranya mampu didengari oleh semua pihak,
barulah ia berkembang maju seperti negara lain. ABM juga perlu menjadi
institusi yang kukuh bagi membolehkan semua saranan, pendapat didengari oleh
semua pihak termasuk sektor awam, sektor swasta dan individu dalam masyarakat.
ABM juga sewajarnya disertai oleh pelbagai pihak termasuk golongan
profesional,” kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA), Datuk
Seri Utama Dr. Rais Yatim semasa melancarkan ABM pada 29 Februari lalu di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Katanya
lagi, ABM akan bertanggungjawab membanteras polemik penerbitan buku bahasa
kebangsaan oleh orang Melayu sahaja walaupun bidang ini disertai oleh semua
kaum di Malaysia. “Polemik ini perlu diperbetul kerana bahasa kebangsaan ialah
milik bersama dan seharusnya dikuasai oleh seluruh rakyat”, ujarnya dalam
majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara
(YPBN), Datuk Khalid Mohd Yunus, Ketua Setiausaha KEKKWA, Datuk Zakiah Ahmad,
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Ketua Pengarah Perpustakaan
Negara, Raslin Abu Bakar.

“KEKKWA
akan membantu penulis menjual buku dengan menggunakan dana sebanyak RM5 juta
yang diperuntukkan untuk diedarkan ke lebih 2,000 buah perpustakaan di negara
ini sebagai langkah menggalakkan penerbitan buku dalam bahasa
kebangsaan.”katanya.

Beliau
juga menyarankan agar fungsi institusi berkenaan dengan penerbitan buku yang
sedia ada dinilai semula termasuklah soal cukai dalam penerbitan buku yang
harus difikirkan bersama. Menurutnya lagi, ABM mewujudkan Tabung Pembangunan
Buku Negara yang dipersetujui oleh kerajaan untuk memberikan pelepasan cukai
pendapatan kepada yang menyumbang.

Dalam
majlis itu, beliau turut menyentuh budaya membaca bahan dalam bahasa kebangsaan
yang semakin menurun manakala pembacaan bahan dalam bahasa Inggeris semakin
diminati. Ini berdasarkan statistik pembacaan iaitu sebanyak 300,000 naskhah
akhbar The Star diterbitkan manakala Utusan Malaysia hanya 230,000 naskhah.

Sementara
itu, Datuk Khalid Mohd Yunus dalam ucapannya berkata “industri buku di negara
ini masih belum maju dengan jumlah penerbitan bahan yang tidak melebihi 10,000
setahun serta jenis dan kualiti bahan yang terbatas.

Jika
dibandingkan dengan Korea dan Jepun, kita masih ketinggalan dan dibandingkan
pula dengan negara Taiwan yang mempunyai rakyat lebih kurang sama dengan
Malaysia, iaitu 26 juta orang, kita masih jauh ketinggalan. Mereka mampu
menerbitkan 30,000 judul setahun.”

Justeru,ABM
diwujudkan untuk meningkatkan keupayaan negara dalam produktiviti penerbitan
buku sesuai dengan status negara maju menjelang tahun 2010 yang dapat
memberikan sumbangan dalam membina tamadun Melayu. ABM juga akan mengangkat
martabat penulis di negara ini.

Dipetik
dari artikel tulisan Siti Ruzaiha Mohd Riffin (Klik DBP)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article