- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Penggunaan Bio-diesel Semakin Meningkat

Must read

Industri Kelapa Sawit Negara Berpotensi Besar

Salah
satu daripada sumber tenaga baru yang boleh dieksploitasi dengan lebih meluas
bagi ‘mengurangkan’ kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia masa
kini ialah bio-diesel.

Bio-diesel
berasaskan sawit berpotensi sebagai bio bahan api bagi menggantikan diesel
daripada petroleum. Ini kerana bio-diesel merupakan bahan bakar yang mesra
alam, mapan dan boleh diperbaharui.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui dalam jawapan beliau di
Parlimen (Mei 2008) baru-baru ini menyatakan bahawa bagi menggalakkan
pertumbuhan industri ini di Malaysia kerajaan telah mengambil beberapa usaha
yang antara lain :

dasar bio bahan api negara iaitu National Biofuel Policy, dengan
izin telah dilancarkan pada Mac 2006 bagi menetapkan hala tuju dan pembangunan
industri bio-diesel;

Akta Industri Bio Bahan Api Malaysia 2006 telah diluluskan oleh
Parlimen. Akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan antara lain bagi pelaksanaan
mandatori penggunaan bio bahan api, pelesenan dan penyimpanan bio bahan api;
dan

bio bahan api berasaskan sawit memenuhi piawaian bio bahan api
antarabangsa seperti EN 14214 di Eropah dan ASTDM 6751 di Amerika Syarikat.

Beliau
seterusnya menambah kata, “lesen pengilangan bio bahan api telah mula
dikeluarkan pada bulan Jun 2004. Sehingga kini sebanyak 91 projek bio-diesel
atau lesen projek bio-diesel telah pun diluluskan dengan jumlah kapasiti
pengeluaran sebanyak 10.2 juta tan setahun. Dari jumlah tersebut sebanyak 12
buah kilang bio-diesel telah siap didirikan dan beroperasi dengan jumlah
kapasiti satu (1) juta tan setahun. Selain itu terdapat dua buah kilang
bio-diesel yang telah siap dibina tetapi belum memulakan operasi dengan
kapasiti 160,000 tan setahun.”

Menurut
beliau lagi, daripada sejumlah 91 buah projek yang diluluskan sebanyak 30 buah
syarikat mempunyai sumber bahan mentah sendiri. Manakala baki 61 buah syarikat
lagi memperoleh bahan mentah dari pasaran terbuka.

Beliau
turut memaklumkan bahawa pengeluaran oleh kilang-kilang yang beroperasi adalah
sebanyak 196,363 tan bagi bulan Ogos 2006 sehingga Mac tahun ini (2008).
Manakala eksport bio-diesel bagi tempoh tersebut adalah sebanyak 154,791 tan
dengan nilai sebanyak RM411 juta, dan dipasarkan ke negara-negara luar seperti
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Singapura, Australia dan lain-lain lagi.
Baki pengeluaran bio-diesel digunakan oleh industri tempatan.

Menyentuh
tentang pengeluaran bio-diesel daripada bahan buangan termasuk sawit, Datuk
Peter Chin menyatakan ianya masih dalam peringkat awal fasa penyelidikan dan
pembangunan.

“Hasil
awal penyelidikan menunjukkan bahawa kos pengeluaran bio diesel daripada bahan
buangan masih lagi terlalu tinggi dan belum lagi dapat dikomersialkan. Bio diesel
boleh dihasilkan daripada mana-mana minyak sayuran atau lelemak.”

“Walau
bagaimanapun, penggunaan minyak sawit serta lain-lain minyak sayuran telah
menimbulkan isu percanggahan atau persaingan kegunaan minyak sayuran sebagai
bahan bakar atau makanan. Sehubungan ini, usaha-usaha dunia sedang ditumpukan
untuk menggunakan sumber bahan mentah bagi pengeluaran bio bahan api dari bahan
mentah yang tidak boleh dimakan atau non-edible source seperti
‘jatrophra coccus’ ditanam di atas tanah yang tidak sesuai untuk tanaman
makanan.”

Pada
masa ini kerajaan juga sedang menerokai penggunaan minyak jarak atau jatropha
untuk digunakan bagi pengeluaran bio diesel. Walau bagaimanapun, ia masih di
peringkat penyelidikan dan pembangunan, serta belum sampai ke tahap pengkomersialan
secara besar-besaran di negara kita ini.

Penghasilan
bio-diesel tidak semudah yang disangkakan dan pengusahanya kini menghadapi
pelbagai cabaran. Pada amnya cabaran
yang dihadapi oleh pengilang bio diesel pada masa kini ialah harga bahan mentah
sawit yang semakin meningkat, yang menjurus kepada peningkatan kos pengeluaran.

Sebagai
contoh; purata harga minyak sawit mentah pada tahun 2006 ialah RM1,502 setan
metrik telah meningkat kepada RM2,516 setan metrik pada tahun 2007.

Manakala
bagi tempoh suku tahun pertama 2008, iaitu Januari sehingga Mac, purata harga
minyak sawit mentah adalah RM3,433 setan metrik. Dari segi kos pada bulan Mac
2008, kos pengeluaran bio diesel berasaskan minyak sawit setan metrik adalah
sebanyak RM4,330 setan metrik berbanding dengan harga pasaran bio-diesel
sekarang adalah dianggarkan RM3,632 setan metrik.

Sungguhpun
demikian, masa kini kita dapati terdapat peningkatan penggunaan bio-diesel dari
bahan-bahan api serta lain-lain bahan bakar yang boleh diperbaharui di peringkat
global. Industri sawit negara boleh menyumbang dan melibatkan diri dalam
perkembangan ini.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article