- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Penggunaan Bio-diesel Semakin Meningkat Industri Kelapa Sawit Negara Berpotensi Besar

Must read

Salah satu daripada sumber tenaga baru yang boleh dieksploitasi dengan lebih meluas bagi ‘mengurangkan’ kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia masa kini ialah bio-diesel.

Bio-diesel berasaskan sawit berpotensi sebagai bio bahan api bagi menggantikan diesel daripada petroleum. Ini kerana bio-diesel merupakan bahan bakar yang mesra alam, mapan dan boleh diperbaharui.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui dalam jawapan beliau di Parlimen (Mei 2008) baru-baru ini menyatakan bahawa bagi menggalakkan pertumbuhan industri ini di Malaysia kerajaan telah mengambil beberapa usaha yang antara lain :

dasar bio bahan api negara iaitu National Biofuel Policy, dengan izin telah dilancarkan pada Mac 2006 bagi menetapkan hala tuju dan pembangunan industri bio-diesel;

Akta Industri Bio Bahan Api Malaysia 2006 telah diluluskan oleh Parlimen. Akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan antara lain bagi pelaksanaan mandatori penggunaan bio bahan api, pelesenan dan penyimpanan bio bahan api; dan

bio bahan api berasaskan sawit memenuhi piawaian bio bahan api antarabangsa seperti EN 14214 di Eropah dan ASTDM 6751 di Amerika Syarikat.

Beliau seterusnya menambah kata, “lesen pengilangan bio bahan api telah mula dikeluarkan pada bulan Jun 2004. Sehingga kini sebanyak 91 projek bio-diesel atau lesen projek bio-diesel telah pun diluluskan dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 10.2 juta tan setahun. Dari jumlah tersebut sebanyak 12 buah kilang bio-diesel telah siap didirikan dan beroperasi dengan jumlah kapasiti satu (1) juta tan setahun. Selain itu terdapat dua buah kilang bio-diesel yang telah siap dibina tetapi belum memulakan operasi dengan kapasiti 160,000 tan setahun.”

Menurut beliau lagi, daripada sejumlah 91 buah projek yang diluluskan sebanyak 30 buah syarikat mempunyai sumber bahan mentah sendiri. Manakala baki 61 buah syarikat lagi memperoleh bahan mentah dari pasaran terbuka.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengeluaran oleh kilang-kilang yang beroperasi adalah sebanyak 196,363 tan bagi bulan Ogos 2006 sehingga Mac tahun ini (2008). Manakala eksport bio-diesel bagi tempoh tersebut adalah sebanyak 154,791 tan dengan nilai sebanyak RM411 juta, dan dipasarkan ke negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Singapura, Australia dan lain-lain lagi. Baki pengeluaran bio-diesel digunakan oleh industri tempatan.

Menyentuh tentang pengeluaran bio-diesel daripada bahan buangan termasuk sawit, Datuk Peter Chin menyatakan ianya masih dalam peringkat awal fasa penyelidikan dan pembangunan.

“Hasil awal penyelidikan menunjukkan bahawa kos pengeluaran bio diesel daripada bahan buangan masih lagi terlalu tinggi dan belum lagi dapat dikomersialkan. Bio diesel boleh dihasilkan daripada mana-mana minyak sayuran atau lelemak.”

“Walau bagaimanapun, penggunaan minyak sawit serta lain-lain minyak sayuran telah menimbulkan isu percanggahan atau persaingan kegunaan minyak sayuran sebagai bahan bakar atau makanan. Sehubungan ini, usaha-usaha dunia sedang ditumpukan untuk menggunakan sumber bahan mentah bagi pengeluaran bio bahan api dari bahan mentah yang tidak boleh dimakan atau non-edible source seperti ‘jatrophra coccus’ ditanam di atas tanah yang tidak sesuai untuk tanaman makanan.”

Pada masa ini kerajaan juga sedang menerokai penggunaan minyak jarak atau jatropha untuk digunakan bagi pengeluaran bio diesel. Walau bagaimanapun, ia masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan, serta belum sampai ke tahap pengkomersialan secara besar-besaran di negara kita ini.

Penghasilan bio-diesel tidak semudah yang disangkakan dan pengusahanya kini menghadapi pelbagai cabaran. Pada amnya cabaran yang dihadapi oleh pengilang bio diesel pada masa kini ialah harga bahan mentah sawit yang semakin meningkat, yang menjurus kepada peningkatan kos pengeluaran.

Sebagai contoh; purata harga minyak sawit mentah pada tahun 2006 ialah RM1,502 setan metrik telah meningkat kepada RM2,516 setan metrik pada tahun 2007.

Manakala bagi tempoh suku tahun pertama 2008, iaitu Januari sehingga Mac, purata harga minyak sawit mentah adalah RM3,433 setan metrik. Dari segi kos pada bulan Mac 2008, kos pengeluaran bio diesel berasaskan minyak sawit setan metrik adalah sebanyak RM4,330 setan metrik berbanding dengan harga pasaran bio-diesel sekarang adalah dianggarkan RM3,632 setan metrik.

Sungguhpun demikian, masa kini kita dapati terdapat peningkatan penggunaan bio-diesel dari bahan-bahan api serta lain-lain bahan bakar yang boleh diperbaharui di peringkat global. Industri sawit negara boleh menyumbang dan melibatkan diri dalam perkembangan ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article