Konsep Pertanian Baru yang diperkenalkan
oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan
Malaysia Kesembilan di Dewan ini pada bulan Mac 2006 merangkumi enam aspek:
- pertanian komersial dan berskala
besar; - penggunaan teknologi moden yang
meluas; - pengeluaran berkualiti dan mempunyai
nilai tambah yang tinggi; - manfaatkan potensi bioteknologi;
- penggabungan teknologi maklumat dan
komunikasi; dan - penglibatan usahawan tani dan tenaga
kerja mahir termasuklah membangunkan industri asas tani.
Untuk melaksanakan konsep Pertanian
Baru ini, beberapa pendekatan telah diambil untuk:
- mengadakan pengeluaran tanaman kekal
pengeluaran makanan ataupun TKPM; - melaksanakan ladang kontrak;
- membangunkan 10,000 usahawan tani; dan
- membangunkan zon industri akuakultur.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’
Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2008 yang lalu ketika menjawab
pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pontian, Encik Ahmad Maslan yang
ingin tahu tentang kejayaan konsep Pertanian Baru serta langkah-langkah terkini
yang dirancang untuk dilaksanakan dalam RMK-9.
Dato’
Mustapa turut memaklumkan bahawa pihak FAMA mempromosikan buah-buahan tempatan
khususnya durian di samping melaksanakan pendekatan ladang kontrak yang
melibatkan kira-kira 10,500 petani yang mengusahakan 7,200 hektar di seluruh
negara.
“Saya ingin memaklumkan bahawa di
Malaysia, terdapat 1.4 juta tenaga kerja yang terlibat dalam sektor pertanian
iaitu 13% daripada jumlah tenaga kerja 11 juta dalam negara kita. Daripada
jumlah tersebut, sektor bukan makanan iaitu kelapa sawit, getah khususnya
mengalami prestasi yang agak baik oleh kerana harga kelapa sawit tinggi dan
getah umpamanya, sehari dua ini, RM10.00 satu kilogram. Kelapa sawit RM3,500.00
satu tan. Maka sektor ini tidak ada masalah besar. Pendapatan petani di dalam sektor
kelapa sawit dan getah adalah lebih baik daripada pendapatan dalam
sektor-sektor lain.”
“Apa yang menjadi isu ialah petani
terlibat dalam sektor agro makanan. Oleh yang demikian, kementerian telah
mengambil beberapa pendekatan. Di antaranya dengan membangunkan ladang kontrak
yang melibatkan 10,500 petani di seluruh negara, iaitu 7,200 hektar. Sebagai contoh,
di kawasan Pontian, ada beberapa pengusaha
atau petani buah Naga di Kampung Parit Haji Salleh yang mendapat pendapatan kira-kira
RM3,000.00 sebulan. Begitu juga penanam tebu di kawasan yang sama, 14 peserta
di mana pendapatan bersih mereka RM2,000.00 sebulan. Itu di Pontian, Johor. Di
Tok Luncai di Kelantan, mereka mengusahakan tanaman tembikai mendapat
pendapatan 11 orang, purata RM3,000.00 hingga RM4,000.00 sebulan. Ini yang
terlibat dalam ladang kontrak. Di Terengganu, kawasan Pengembangan Pertanian
Permaisuri Terengganu, 74 peserta terlibat dalam ladang kontrak di mana tahun
lepas yang mengusahakan tembikai mendapat pendapatan kira-kira RM7,500.00 sebulan,”
jelas Dato Mustapa.
Dalam pada itu, kerajaan sedar bahawa
berbanding dengan petani-petani dalam sector kelapa sawit dan getah,
petani-petani dalam sektor agro makanan perlu pembelaan yang lebih dan
usaha-usaha akan terus dipergiatkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan
untuk memastikan bahawa golongan petani, penternak dan nelayan terus dibela
supaya mereka dapat terus menikmati kemajuan yang dinikmati oleh sektor-sektor
lain dalam ekonomi negara.
Dato'
Mustapa turut memaklumkan bahawa menjelang
tahun 2020, oleh
sebab sektor pertanian amat penting, sektor food security, adalah amat
mustahak yang mana kerajaan memberi penekanan yang amat serius kepada bidang
ini. Bukan sahaja kita hendak pastikan bekalan makanan mencukupi tapi yang
penting juga memastikan bahawa petani, penternak dan nelayan dapat
menikmati pendapatan yang lebih tinggi seiring dengan pendapatan yang
dinikmati oleh golongan lain di negara kita.
Menjawab pertanyaan
daripada Ahli Parlimen Sungai Petani, Encik Johari bin Abdul yang ingin tahu kenapa tidak diusahakan
tanah-tanah terbiar, Dato' Mustapa menyatakan
bahawa untuk membangunkan tanah terbiar, kita perlu memenuhi beberapa
syarat:
- perlu persetujuan daripada pemilik-pemilik
dan kadang-kadang satu bidang tanah itu mempunyai 10, 20 pemilik dan ini sukar
untuk kita mendapat persetujuan; - kita perlu memastikan tanah itu sesuai
untuk dibangunkan sector pertanian; - perlu pastikan ada pasaran yang
mencukupi untuk sayuran, buahbuahan, tanaman lain yang kita hendak usaha; dan - kita perlukan peruntukan yang
mencukupi.
“Ini antara empat faktor yang kita
perlukan untuk membangunkan tanah terbiar. Menyedari hal tersebut, maka
kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan telah memperuntukkan RM78 juta
yang melibatkan pembangunan tanah-tanah terbiar, kira-kira 3500 hektar semuanya
akan dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, tetapi sebagaimana
yang saya sebutkan tadi, pembangunan ini adalah berasaskan kepada persetujuan tuan
tanah, berasaskan kepada kesesuaian tanah berkenaan untuk pertanian, berasaskan
kepada pertanian.”
“Oleh hal yang demikian, perlu ada
pendekatan yang holistik, yang bersepadu. FAMA perlu dilibatkan, Jabatan
Pertanian perlu dilibatkan, tuan tanah perlu dilibatkan dan sudah pasti
Kerajaan Negeri termasuklah pejabat-pejabat daerah juga perlu dilibatkan.
Inilah di antara cabaran-cabaran yang kita hadapi walaupun kita menghadapi
pelbagai cabaran. Saya cukup sedar bahawa ini isu yang perlu kita tangani kalau
kita hendak bangun sektor pertanian makan tanah terbiar yang terdapat di
seluruh negara.”
“Walaupun banci kita cuma menunjukkan
ada 36,000 hektar, di mana 12,000 hektar sahaja yang sesuai dibangunkan tetapi
sebenarnya tanah terbiar pada pengamatan kami lebih luas dari itu. Jadi ini
merupakan salah satu daripada teras di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan
Negara yang diperkenal kerajaan iaitu untuk membangunkan tanah terbiar dengan peruntukkan
sebanyak RM78 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan,” jelas Dato' Mustapa.