- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Perangi Jenayah Rasuah

Must read

Usaha memerangi jenayah rasuah bukan hanya terletak pada bahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tetapi sebaliknya semua pihak harus berjuang bersama-sama bagi membanteras jenayah ini

Ia tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak bekerjasama menghadapi dan bersedia bersama-sama BPR dalam hal ini.

Demikian menurut Pengarah BPR Sarawak, Haji Mohd Yusoff Bin Akope pada Program Gerak Mesra BPR-JAIS (Jabatan Agama Islam Sarawak) Bersama Masyarakat yang diadakan baru-baru ini (15 September 2008)

Gandingan kerjasama antara BPR dan JAIS adalah inisiatif terbaru kedua-dua agensi tersebut bertujuan mendekatkan masyarakat dalam usaha meningkatkan pembinaan integriti dan jati diri masyarakat Malaysia.

Katanya, BPR memainkan peranan bukan sahaja dalam bentuk punitif, tetapi juga berbentuk pencegahan, bimbingan dan pendidikan manakala JAIS mengambil pendekatan dakwah dan tarbiah yang menjurus kepada pembangunan integriti Islam.

Namun menurut beliau, aspek pencegahan adalah pendekatan terbaik bagi mendidik masyarakat agar menghindari jenayah rasuah.

Jelasnya, BPR telah giat mengadakan pelbagai program lain seperti program seminar, bengkel, ceramah, program khidmat masyarakat dan sebagainya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 8 (f) dan (g) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

BPR juga menurutnya lagi turut memberi khidmat percuma melakukan pemeriksaan ke atas sistem dan prosidur kerja serta memberi khidmat rundingan.

Dalam hal berkaitan, beliau menyangkal tanggapan bahawa BPR hanya menumpukan kes yang kecil sahaja dan kurang kepada kes yang besar. Menurutnya, dalam soal jenayah rasuah, semua kes rasuah disifatkan beliau memberikan kesan yang besar kepada masyarakat dan negara.

Sebagai contoh menurutnya, kes lesen memandu palsu/ terbang walaupun dilihat kecil tetapi boleh mengancam nyawa dan mengakibatkan kemalangan, seperti itu juga kemasukan Pendatang Tanpa Izin, yang akhirnya akan menyumbang kepada kes-kes samun, rompakan, pecah rumah, ragut dan ugut.

Mengulas mengenai statistik BPR Malaysia, jelasnya sehingga Ogos 2008, seramai 453 orang telah ditangkap di seluruh negara di atas pelbagai kesalahan rasuah dengan 11 peratus atau 49 orang daripadanya di tangkap oleh BPR Sarawak.

Menurut beliau lagi, di Sarawak setakat 13 September 2008, sejumlah 880 maklumat berkaitan rasuah diterima. Daripada jumlah tersebut, BPR Sarawak telah membuka 77 kertas siasatan dan 353 fail pertanyaan dan risikan.
Setakat ini, seramai 49 orang telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Kumpulan Pengurusan & Profesional merupakan bilangan yang paling ramai iaitu 16 orang, diikuti Kumpulan Sokongan 14 orang, Kumpulan Swasta 12 orang dan Orang Awam seramai 7 orang. Sebanyak 68 kes kini sedang dibicara di mahkamah-mahkamah di sekitar Sarawak sepanjang tahun ini (2008).

Sungguhpun demikian, katanya lagi jenayah rasuah ini berada pada tahap yang sederhana jika diambil kira Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparensi International dengan Malaysia berada pada paras lima (5) daripada 10 mata penuh mengikut ukuran CPI (Corruption Perseption Index).

Program Gerak Mesra BPR-JAIS Bersama Masyarakat adalah pendekatan pro-aktif dalam usaha mendekati dan mendidik masyarakat. Antara pengisian program tersebut ialah Ceramah “Pengenalan Kepada BPR” disampaikan oleh Mohd Nor B. Ali, Ketua Penolong BPR Sarawak, Taklimat Pusat Penerangan Islam oleh Cik Zabariah Bt Matali, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Penerangan Islam.

Majlis itu yang dirasmikan oleh YBhg Datu Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarawak turut disertai rombongan seramai 71 orang yang terdiri daripada Pensyarah dan Pelajar, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan (Universiti Putra Malaysia) Kampus Bintulu.

Selain Program Gerak Mesra BPR-JAIS, turut diadakan Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isya’ dan Tarawikh berjemaah.

Info Ringkas

Fahami Jenayah Rasuah
Butir-butir maklumat rasuah yang lengkap

  • Mempunyai tarikh kejadian
  • Mempunyai masa kejadian
  • Mempunyai tempat berlaku
  • Apa yang berlaku
  • Orang-orang yang terlibat dalam kejadian
  • Saksi-saksi yang melihat / mengetahui
  • Rujukan dokumen-dokumen berkaitan
  • Jumlah wang/barang/perkhidmatan dan lain-lain
  • Sebarang rujukan lain (seperti no.pengenalan diri, no kenderaan, no resit, no. akaun, perwatakan,identiti dan sebagainya, jika ada).
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article