Bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri ingin melihat "pertanian itu satu perniagaan” serta mempercepatkan tempo pembangunan sektor pertanian, kerjasama strategik di antara pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran amat diperlukan bagi merealisasikannya.
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2008 baru-baru ini menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MoU) dan satu perjanjian usaha sama telah dimeterai.
Ia membabitkan MoU pertama di antara Pengarah Urusan Asia Green Holding, Agatha Lau dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Paul Vincent Ritom membabitkan projek membangunkan penyelidikan benih padi yang berkualiti di Batang Lupar, Sri Aman dalam usaha menjadikan Sarawak pengeluar utama. Untuk tujuan tersebut, sebuah kilang benih bernilai RM20 juta akan dibina.
Bagi MoU yang kedua pula, melibatkan BTA Marine Sdn Bhd dan Jabatan Pertanian Sarawak yang membolehkan BTA menyediakan kepakaran dalam ternakan udang harimau di Zon Industri Akuakultur di Rambungan.
BTA akan melabur RM40.3 juta dalam projek yang mensasarkan keupayaan mengeksport udang bernilai RM50 juta setahun. Ia ditandatangani di antara Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Paul Vincent Ritom dab Pengarah Eksekutif BTA Marine Tay Chin Chuan.
Manakala perjanjian Usaha Sama pula adalah di antara Peladang Consultancy Sdn Bhd, Guangken Rubber Sdn Bhd dan ECI Rubber Sdn Bhd bagi pembinaan kilang Getah Standard Malaysia (SMR) pertama di Sarawak.
Pembinaan kilang tersebut akan menelan kos RM30 juta dan berupaya mengeluarkan produk sebanyak 20,000 tan metrik setahun. Peladang Consultancy diwakili pengerusinya Datuk Francis Harden Hollis, manakala Guangken Rubber oleh pengarah urusannya, Li Yali dan ECI Rubber diwakili Liu Peilin.
Majlis menandatangani tiga dokumen perjanjian ini disaksikan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Rohani Abdul Karim.