Kesedaran masyarakat terhadap bahaya jenayah rasuah semakin menunjukkan peningkatan. Ini dapat dilihat melalui peningkatan bilangan maklumat yang diterima iaitu sebanyak 138 atau 15.3 peratus berbanding statistik tahun sebelumnya.
Ini disifatkan Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak yang baru, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya, Samsiah Bte Abu Bakar mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap BPR semakin meningkat.
Beliau merujuk statistik sehingga 30 September 2008, sebanyak 1,038 maklumat telah diterima oleh pihak BPR Sarawak yang mana daripada jumlah tersebut, 83 kertas siasatan telah dibuka yang melibatkan tiga kes pentadbiran, 22 orang dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 32 orang kumpulan sokongan dan 26 orang awam.
Jelasnya lagi, dalam tempoh tersebut, sebanyak 51 tangkapan telah dibuat oleh BPR Sarawak melibatkan 16 orang dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 16 dari Kumpulan sokongan dan 19 orang awam
Daripada jumlah tersebut, 20 kes telah dibicarakan di mahkamah dan 11 kes sudah mendapat keputusan yang melibatkan 10 orang kakitangan awam dan seorang orang awam.
Katanya, dalam usaha menambahbaik pencapaian tersebut, BPR Sarawak akan mengiatkan lagi program-progran pencegahan melalui khidmat nasihat kepada sektor awam Sarawak, khususnya ketua-ketua jabatan selaras dengan peruntukan Seksyen 8 (c), (d) dan (e) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Di samping itu, program pendidikan rasuah secara berterusan tetap dijalankan selaras dengan peruntukan Seksyen 8 (f) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Strategi berkaitan turut dilaksanakan antaranya mengadakan program perkongsian bijak dengan agensi-agensi lain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, kelab, persatuan , universiti dan sekolah.
Samsiah Abu Bakar sebelum ini bertugas di Perak menggantikan mantan Pengarah BPR Sarawak, Mohamad Yusoff Akope yang ditukarkan ke Ibupejabat BPR di Putrajaya.