- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ilmu Kepenggunaan Lindungi Hak Kita

Must read

Lebih-lebih lagi, dalam keadaan dunia mengalami krisis bekalan makanan, rakyat harus kembali kepada cara hidup sederhana bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga dari aspek pengangkutan, penggunaan sumber tenaga, penjagaan alam semula jadi dan lain-lain lagi.

Demikian jelas Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pengguna Malaysia, Peringkat Negeri di Mukah pada Ogos yang lepas.

Katanya lagi, keadaan kini agak membimbangkan terutamanya bagi mereka yang tinggal di pedalaman yang kurang terdedah kepada ilmu kepenggunaan yang mungkin mengakibatkan diri mereka dieksploitasi oleh peniaga.

Justeru itu, beliau berharap sokongan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan dalam merangka dan melaksanakan program kepenggunaan melalui penganjuran aktiviti berkaitan kepada rakyat di seluruh negeri ini.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar memainkan peranan mereka dengan berbelanja secara berhemah dan menilai kemampuan diri mereka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal YB Jelaing Mersat berkata, rangka kerja perundangan bagi perlindungan pengguna tidak mencukupi untuk melindungi pengguna secara menyeluruh sebaliknya perlu dilengkapi dengan kesedaran yang berterusan.

Menurutnya lagi, kementeriannya giat melaksanakan beberapa program antaranya program rakan pengguna sebagai salah satu usaha memperkasakan pengguna secara lebih meluas di samping itu program pendidikan dan kesedaran pengguna termasuk program Pengguna Faedahnya Banyak dan Bijak Berbelanja.

Bertemakan ‘Kesedaran Menjamin Kesejahteraan’ Sambutan Hari Pengguna Malaysia, Peringkat Negeri di Mukah ini amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan nilai kesederhanaan bukan sahaja dari sudut perbelanjaan malah dalam pengeluaran dan penggunaan alam secara lestari.

Program selama dua hari itu juga bertujuan mengajak rakyat menghayati peranan mereka sebagai pengguna selain membantu kerajaan dalam menentukan hala tuju ekonomi dan sosial.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri YB Datin Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Mohamad Leo Toyad, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Zain Dom, Timbalan Ketua Setiausaha (Konsumerisma dan Pengurusan) Mahani Tan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng YB Abu Seman Jahwie.

Info

  • Di Sarawak setakat ini hanya terdapat tiga (3) persatuan pengguna yang iaitu Kuching City Consumer Association (Kuching) , Persatuan Pengguna Bahagian Kuching dan Kota Samarahan (Kuching) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (Miri)
  • Antara program-program yang dianjurkan oleh PPDN & HEP bersama dengan NGO , agensi kerajaan pelajar dan lain-lain. Antaranya
  • Program Pembangunan Pergerakan Kepenggunaan. Contohnya Program RAKAN PENGGUNA adalah bertujuan untuk membantu memantau harga barangan dan perkhidmatan, penyelewengan urusniaga yang tidak beretika dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perniagaan. RAKAN PENGGUNA dilantik oleh kementerian yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang melakukan pemantauan secara sukarela melalui koNsep “membeli belah sambil memantau”. Perlantikan Pembantu Hal Ehwal Pengguna Daerah membantu dalam menyalurkan maklumat-maklumat kepenggunaan kepada kementerian .
  • Program Perlindungan Pengguna adalah bertanggungjawab tentang hal ehwal perlindungan pengguna melalui penyemakan dan cadangan undang-undang dan dasar-dasar baru untuk melindungi pengguna, melalui penerimaan aduan pengguna -melalui telefon, laman web ,surat, atau datang sendiri ke pejabat .
  • Program Pendidikan Dan Kesedaran Pengguna dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah. Antara program yang dianjurkan ialah seminar, ceramah, pameran , pertandingan kuiz pengguna antara Sekolah Menengah Peringkat Bahagian & Negeri , Selain itu , program “Smartpartnership” turut dianjurkan bertujuan untuk mewujudkan dan mempertingkatkan kerjasama dan networking dengan agensi -agensi kerajaan , NGO-NGO kepenggunaan dan bukan kepenggunaan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepenggunaan
  • Agensi lain yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Pengguna ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) 8 Hak-Hak Pengguna

Hak-hak Pengguna

Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami ialah:

Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan’ serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article