- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Integriti Agenda Utama Negara

Must read

Agenda
integriti negara kini berada pada landasan yang sewajar dalam usaha memastikan
kejayaanya.

Walaupun
mungkin tidak sepantas yang diharapkan rakyat, namun pada hakikatnya perlu
diakui membangunkan satu masyarakat yang berintegriti sebenarnya memerlukan
masa yang panjang.

Berdasarkan
pengalaman negara lain, tindakan tegas memerangi rasuah sering kali diiringi
oleh persepsi yang menurun sebelum ia bertambah baik.

Sungguhpun
begitu, ia tidak pernah mematikan semangat kerajaan untuk terus bersungguh-sungguh
dalam usaha memastikan integriti dan anti-rasuah sentiasa diberi keutamaan seiring
dengan pembangunan negara.

Perkara ini
ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika Konvesyen
Integriti di Kuching pada 7 November 2008 yang menegaskan komitmen kerajaan
bermula sejak dari tahun 2003 lagi dan akan terus dilaksanakan dengan penuh
gigih berdasarkan strategi serampang dua mata.

Menurut beliau,
dari segi pencegahan, kerajaan telah pun membangunkan Pelan Integriti Nasional
(PIN) untuk membimbing dan menggaris usaha-usaha ke arah pemantapan integriti.

Di samping itu,
kerajaan juga telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan harapan
mendidik dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menegakkan integriti dan
memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

Kelemahan serta
kekurangan sistem perkhidmatan awam terus diperbaiki bagi menyediakan
perkhidmatan lebih cekap yang dapat mengurangkan peluang berlakunya rasuah.

Tambah beliau
lagi, bagi tujuan tersebut, pasukan petugas khas PEMUDAH yang terdiri daripada
pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh swasta yang ditubuhkan telah berjaya
mengurangkan birokrasi dalam beberapa aspek penyampaian perkhidmatan awam
secara berkesan.

Hasilnya kini,
pendekatan tersebut telah membolehkan Malaysia mengecapi tangga ke-19 dalam IMD
World Competitiveness Report 2008, yang merupakan peningkatan empat (4)
tangga dari tangga ke-23 pada tahun lepas.

Kejayaan
tersebut juga turut disumbangkan oleh faktor kecekapan kerajaan yang turut diguna
pakai sebagai salah satu daripada kayu pengukur untuk menentukan daya saing
negara.

Selain daripada
faktor tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa perjuangan menegakkan
integriti dan anti rasuah juga perlu dilihat dari aspek ekonomi iaitu meningkatkan
daya saing ekonomi negara.

Beliau merujuk
kepada kenyataan ucapannya di 'World Ethics and Integrity Forum' pada
tahun 2005 iaitu yang menyentuh mengenai keperluan Malaysia, sebuah ekonomi
terbuka yang kecil, perlu terus berusaha gigih untuk membanteras rasuah dan
menegakkan integriti.

Ini penting
menurutnya, pelabur asing, misalnya, lebih berminat untuk melabur di ekonomi
yang stabil, efisien dan 'cost-effective' di mana masalah rasuah berada
pada tahap yang rendah.


Info

  • Pelan Integriti Nasional (PIN)
    dilancarkan pada 23 April 2004 dan Institut Integriti Malaysia (IIM) diwujudkan
    untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN.
  • Objektif umum PIN ialah untuk
    membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya dengan warganya
    mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, ditunjangi budi pekerti
    luhur.
  • Objektif khusus PIN ialah untuk
    memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat
    bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni,
    berintegriti, bermoral dan beretika, meningkatkan kesedaran, komitmen dan
    kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti.
  • PIN juga bertujuan menggalak
    serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti
    dan bergerak cergas menegakkan integriti; menyumbang kepada usaha pengukuhan
    asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota
    masyarakat; dan meningkatkan daya saing serta daya tahan negara dalam usaha
    menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih
    berkesan.
  • Bagi tempoh lima tahun pertama,
    PIN menggariskan lima sasaran yang dikenali sebagai Tekad 2008, iaitu
    mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan;
    meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi
    kerenah birokrasi; meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
    memantapkan institusi keluarga dan komuniti; dan meningkatkan kualiti hidup
    serta kesejahteraan masyarakat.
  • PIN adalah suatu pelan strategik
    membabitkan pelbagai sektor atau komponen dalam negara seperti keluarga,
    komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, agama, ekonomi, politik dan
    pentadbiran.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article