- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

15 Inisiatif Untuk Pertingkat Kesejahteraan Rakyat

Must read


Penjimatan RM7 bilion Daripada Subsidi
Minyak Digunakan Untuk Tujuan Berkenaan

 

Timbalan Perdana Menteri pada 4 November 2008 yang lalu telah
mengumumkan di parlimen bahawa kerajaan akan menggunakan penjimatan daripada
subsidi minyak yang berjumlah kira-kira RM7 bilion untuk meningkatkan
kesejahteraan rakyat melalui 15 insentif yang akan kerajaan laksanakan.

 

Penjimatan RM7 bilion yang diperoleh daripada subsidi minyak ini
akan diperuntukkan semula oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan
projek-projek yang telah disebutkan. Penjimatan ini menurut Timbalan Perdana
Menteri merupakan satu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat
menjana pertumbuhan ekonomi.

 

“Usaha-usaha ini akan memberikan kesan positif antara lain di
dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan
teknologi maklumat.”

 

15 insentif itu ialah :

 

Pertama:    

Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak
rumah kos rendah dan sederhana untuk memastikan lebih ramai rakyat mampu untuk
memiliki rumah. 

Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6,500 unit rumah akan
dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan
dibina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan dan 15,000 unit PPRT yang bernilai antara RM30,000 hingga
RM35,000 sebuah untuk Semenanjung dan di antara RM35,000 hingga RM40,000 untuk
Sabah dan Sarawak.

Di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dianggarkan secara purata sebanyak 100
buah PPRT akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.

Program Amal Jariah yang dikendalikan oleh Prokhas Sdn. Bhd. iaitu
anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan adalah bertujuan untuk membaik
pulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang
selesa dan selamat didiami. Program yang mula dilancarkan pada awal tahun ini
telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah yang dianggarkan melibatkan
sebanyak RM40 juta.

Pada tahun 2009, Prokhas akan membaiki 15,000 unit rumah,
sementara Khazanah Nasional akan menyelaraskan usaha-usaha syarikat GLC untuk melaksanakan program sejahtera
yang melibatkan pembaikan 5,000 buah unit rumah.

Selain itu  untuk memudahkan
golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan
pinjaman perumahan, kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan
bagi pinjaman perolehan rumah hingga RM100,000. Semenjak dilancarkan, sebanyak
800 peminjam termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan telah diluluskan
pinjaman berjumlah RM35 juta.

 

Kedua:       

Bagi mengiktiraf peranan anggota keselamatan dan menjaga kebajikan
mereka, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih, dan
menyelenggarakan balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters tentera iaitu
RM250 juta untuk polis dan RM250 juta untuk tentera. Projek ini akan
dilaksanakan dengan segera kerana pada pandangan kerajaan kebajikan anggota
pasukan keselamatan wajar sentiasa didahulukan.

 

Ketiga:       

Sebanyak RM600 juta diperuntukkan bagi projek-projek kecil di
bawah program Program Penyelenggaraan Awam atau PEA dan Projek Infrastruktur
Asas atau PIAS, contohnya menyelenggarakan jalan kampung, membina balai raya
dan jambatan.

Peruntukan ini akan dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil
bagi menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan. Selain itu ia dapat
memberikan prasarana yang lebih sempurna kepada rakyat khasnya di luar bandar.

 

Keempat:   

Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menyelenggarakan dan
membaik pulih kemudahan awam antara sekolah, hospital dan jalan raya.

 

Kelima:      

RM500 juta akan diperuntukkan untuk membina, menaik taraf
jalan-jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian termasuk
di Sabah dan Sarawak.

 

Keenam:    

Untuk merangsang lagi pendidikan negara dan mengambil kira
kehendak semua kaum, maka kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada
empat kumpulan sekolah. RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50
juta untuk mission schools. RM50 juta
untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM50 juta untuk sekolah jenis
kebangsaan Tamil.

 

Ketujuh:     

RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan
program latihan kemahiran latihan yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan
majikan dan industri terutamanya di koridor-koridor pembangunan.

Agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor
pertumbuhan, pusat pembangunan kemahiran negeri dan lain-lain organisasi yang
berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan tersebut adalah sektor
pelancongan, kesihatan, pembinaan dan business
process outsourcing
.

 

Kelapan:    

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi
menyelenggarakan dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem
LRT, komuter dan sistem bas di bandar-bandar utama.

     

Kesembilan:           

RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menubuhkan dana pelaburan untuk
menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta. Dana ini adalah bertujuan untuk
menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju.

Tumpuan akan diberi kepada sektor strategik yang bernilai tambah
tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan teknologi dan knowledge workers.

Dana ini akan digunakan untuk memberi geran pinjaman mudah atau
modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan begini telah berjaya menarik pelabur
dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi seperti Dell, Hewlett-Packard dan
Satyam ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi
seperti pengeluaran panel solar industri aeroangkasa dan komponen kapal
terbang.

 

Kesepuluh:

RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan projek
jalur lebar berkelajuan tinggi. Projek jalur lebar berkelajuan tinggi ini
adalah penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan.

Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan
aktiviti ekonomi, perniagaan dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nila
tambah yang lebih tinggi.

Selain itu, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti hidup
rakyat di samping menjadi pemangkin pada pelaburan swasta dalam sektor
berteknologi tinggi. Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan
menambahkan peluang pekerjaan.

Menjelang akhir 2009, perkhidmatan ini akan dapat disediakan
kepada 300,000 premis terutamanya di Lembah Klang dan juga kawasan industri
seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim.

 

Kesebelas:

Untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang
diurus oleh kementerian yang berkenaan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak
RM200 juta. Ini adalah peruntukan bagi membiayai program daripada institusi
latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis
daripada semua kaum.

Nama-nama pelatih boleh dikemukakan oleh kementerian yang
berkenaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Usahawan
dan Koperasi, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pembangunan Wanita
dan Keluarga.

 

Kedua belas:          

Untuk memperkasakan golongan belia melalui program-program baru
kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta. Antara program yang terlibat
ialah Rakan Muda Sekolah, Rakan Muda Sektoral yang melibatkan kampung baru Cina
dan estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum peribumi di Sabah dan
Sarawak.

 

Ketiga belas:          

Bagi menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di
kawasan-kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju
memperuntukkan sebanyak RM200 juta. Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat
Perumahan Negara Berhad atau SPNB.

 

Keempat belas:      

Usaha untuk menambahkan premis perniagaan di samping memperindah
suasana pekan-pekan kecil dan terpilih di seluruh negara, kerajaan akan
memperuntukkan sebanyak RM100 juta. Ini akan dapat menambah bilangan usahawan
kecil dan sederhana termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini
dilaksanakan oleh MARA di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Kelima belas:         

Untuk melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti,
sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di
peringkat umur satu hingga enam tahun. Ini termasuk program seperti Permata
Negara, Tadika KEMAS, Tadika Perpaduan dan kelas pra sekolah.

 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article