- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kukuh, Benar, Boleh Diharapkan dan Tidak Terjejas

Must read

Itulah Integriti

Integriti adalah asas yang harus dijadikan amalan oleh setiap individu. Dalam konteks perkhidmatan awam, integriti menjadi tunjang kepada usaha kita mencapai keberkesanan dan kecekapan dalam tugas yang diamanahkan. Sebaliknya, gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa menyebabkan kos pembangunan menjadi lebih tinggi, projek dan program awam gagal disiapkan mengikut jadual, pengabaian spesifikasi projek yang boleh membahayakan keselamatan pengguna, dan menyebabkan ketidakadilan kepada semua pihak.

RAKAN Sarawak berkesempatan menemubual Haji Mustafar Haji Ali, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia pada penghujung Ogos 2008 yang lalu. Dalam temubual ini Haji Mustafar menerangkan konsep integriti dan penerapannya dalam kehidupan secara yang mudah kita fahami.

Apakah definisi integriti yang mudah difahami oleh orang keanyakan yang dapat Tuan Haji ungkapkan?

Bercakap tentang integriti ni sebenarnya banyak yang kita boleh katakan. Definisi integriti itu sendiri mempunyai skop yang sangat luas

Kenapa saya kata sangat luas ni? Kita bercakap integriti bangunan, kita bercakap integriti tubuh badan manusia, integriti sistem-sistem kehakiman misalnya, sistem pentadbiran awam, dalam sektor pelancongan, dalam apa juga sektor. Semua dikatakan integriti termasuk integriti tubuh badan – misalnya, sistem darah kita.

Akan tetapi kalau kita bercakap tentang kaitan integriti dalam masyarakat, integriti dalam perkhidmatan awam, integriti dalam sektor politik misalnya, kita sebenarnya menjurus kepada isu apa yang didefinisikan perkataan integriti itu iaitu seseorang individu ataupun organisasi yang boleh digunakan perkataannya, baik perkataan, baik perilaku dia, baik juga dari segi sistem-sistem yang cuba diaplikasikan dalam kerjanya.

Perkataan integriti berasal daripada perkataan Latin, (integritascessanium). Bukan bahasa orang putih pun, bukan bahasa Inggeris. Integritas.

Apakah elemen-elemen integriti?

Terdapat empat elemen utama dalam integriti iaitu kukuh, benar, boleh diharapkan dan tidak terjejas.

Kenapa saya kata empat (4) perkara itu? Sebab kalau seorang pekerja kerajaan misalnya yang terjejas integritinya mungkin kerana rasuah, penyelewengan selalu berleluasa, mungkin di sektor swasta juga begitu kerana adanya elemen-elemen hendak mengaut keuntungan maka integriti mereka terjejas.

Dalam sektor swasta sendiri pun kita katakan integriti mereka bukan saja dalam soal keuntungan, tetapi dalam masa yang sama, mereka juga perlu dikatakan mempunyai etika dalam perniagaan dan dalam masa yang sama perlu ada dan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

Sebelum ini saya berkesempatan bercakap dengan sekumpulan kontraktor-kontraktor binaan dalam industri binaan.

Apa yang saya tekankan memang mereka berupaya untuk mencari keuntungan dalam sektor industri itu, tetapi pastikan integriti itu dari segi amanah ikut spesifikasi kerja.

Boleh Tuan Haji jelaskan perkaitan integriti dan perkhidmatan awam?

Dalam pelaksanaan Pelan Integriti National (PIN) yang kita telah promosikan sejak daripada 23 April tahun 2004 dari segi pelaksanaan elemen-elemen integriti, kita sebenarnya memperkemaskan elemen-elemen yang semangnya sedia wujud.

Saya kata kenapa diperkemaskinikan. Lama dulu kita sebenarnya sudah ada … kita ada bersih, cekap, amanah. Kita ada Tonggak 12. Kita ada Kepimpinan Melalui Teladan dan lain-lain lagi. Akan tetapi persoalannya sekarang kenapa datang pula lagi Pelan Integriti National ataupun PIN?

PIN sebenarnya adalah sebagai satu pelengkap. Masih banyak lagi ruang untuk diperbaikkan.

Saya kata pelengkap sebab dalam PIN diadakan berfasa dari segi pelaksanaannya.

Pertamanya kita katakan fasa pertama daripada tahun 2004 sejak dilancarkan sampai 2008 hujung tahun ini ataupun lebih spesifik lagi sampai 23 April tahun 2009.

Dalam pelaksanaan fasa pertama PIN terdapat 5 sasaran keutamaan yang mana kita bercakap tentang rasuah. Mengurangkan gejala rasuah yang selalu berleluasa penyelewengan secara berkesan.

Untuk mendapatkan sifar rasuah (zero corruption) adalah sukar tetapi tiada tolerensi terhadap rasuah (zero tolerance against corruption) saya percaya itu memang boleh.

Kemudian yang keduanya tentang meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian awam.

Mengatasi karenah birokrasi. Yang kedua ni kita (perkhidmatan) awam.

Kita telah laksanakan pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan yang terbaik tetapi masyarakat masih melihat lagi sejauh mana kecekapan kita (perkhidmatan) awam dapat diterjemahkan dalam kerja-kerja yang dilaksanakan.

Misalnya kerajaan telah menubuhkan PEMUDAH. PEMUDAH sektor swasta, PEMUDAH sektor awam untuk diselaraskan/digabungkan, dibincangkan bersama untuk mempermudahkan kerja-kerja yang dilaksanakan. Tidak ada birokrasi yang menjadi penghalang atau melambatkan kerja.

Sebagai contoh kita ada sekarang ini one stop centre. Dahulu sudah ada tetapi bila diperkemaskan dengan menempatkannya di satu premis misalnya. Bermula dari awal urusan sampai ke peringkat kelulusan yang diperolehi dibuat di satu premis. Ini akan mempercepatkan urusan berbanding daripada kita pergi dari poin A, poin B, Jabatan A, Jabatan B, Jabatan C. Orang rasa letih. Letih pasal apa? Menunggu lama. Satu letih nak pergi bekejar ke sana ke mari.

Selain itu proses mengambil masa yang lama. Itu belum lagi (selesai) isi borang. Borang pula banyak. Bila borang banyak, orang kata nak isi borang pula meletihkan. Jadi benda-benda begitu nak diperkemaskan.

Yang ketiganya keutamaan kita juga tentang bagaimana tadbir urus korporat dan etika perniagaan.

Awal tadi saya katakan sektor swasta melibatkan keuntungan tetapi dalam masa yang sama kita mengharapkan mereka tidak hanya semata-mata memikirkan soal untung sahaja tetapi bagaimana mereka boleh menyumbang kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial mereka … mereka perlu pulangkan juga keuntungan itu kepada masyarakat. Jangan saja mengaut keuntungan.

Kalau sebagai pemaju perumahan, dia boleh buat banglo di cerun-cerun bukit. Memang lagi, lagi di cerun bukit, lagi ekslusif, lagi mahal, tetapi bila dibuat di situ, hakisan yang terhasil ataupun pencemaran alam sekitar yang terhasil, pokok-pokok kayu, pokok hutan yang terpaksa ditebang. Walaupun ada Environmental Impact Accessment (EIA) yang mengatakan cerun tidak boleh ditarah, tidak boleh tebang pokoknya tetapi oleh kerana keuntungan yang difikirkan oleh mereka, pemaju sering mencari alasan untuk melaksanakan juga projek-projek di situ.

Akhirnya generasi akan datang akan menyumpah kita … sebab apa? Kerana kita merosakkan alam sekitar oleh kerana keuntungan pihak-pihak tertentu. Itu yang ketiga.

Yang keempatnya kita melihat pulak integriti dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Kita lihat, baca dan dengar di media tempatan kebelakangan ini, kita dapati terdapat kerapuhan-kerapuhan dalam sistem kekeluargaan, dalam masyarakat.

Terdapat banyak sebab kerapuhan-kerapuhan dalam sistem kekeluargaan. Sebagai contohnya dalam kajian persepsi integriti national, kita ada kajian yang kita buat, integriti national perception indeks yang dikeluarkan setiap tahun bermula tahun 2007, tahun lepas. Kita dah bentangkan di hadapan YB Perdana Menteri dan juga pada 25 Jun yang lepas dan kita dah lancarkan pada 22 Julai oleh Tan Sri KSN.

Antara dapatan kajian, apabila 23% misalnya keluarga tak kisah anak balik atau tidak pada malam itu ke rumah misalnya, kita nampak masalah kerapuhan-kerapuhan dalam kekeluargaan.

Kalau makan malam tidak bersama keluarga, di mana mereka pada malam hari? Mungkin melepak di luar rumah, mungkin hisap dadah dan sebagainya.

Jadi perkara-perkara ini kita melihatkan adanya elemen-elemen kerapuhan-kerapuhan dalam kekeluargaan.

Tentang masyarakat pula, sejauh mana masyarakat melihatkan integriti ini sebagai satu komponen penting yang mereka perlu juga perjuangkan bersama-sama. Itu sasaran keempat.

Yang kelima, yang lebih luas lagi, tentang meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Kalau kita sebut tentang aspek ini, aspeknya sangat luas. Soal kadar jenayah, soal termasuklah juga isu jalan raya misalnya.

Kita lihat sejauh mana kadar kemalangan jalan raya yang berlaku yang mana itu juga melibatkan aspek integriti iaitu sama ada pelaksanaan undang-undang ataupun kita katakan etika pemanduan di kalangan rakyat kita sendiri.

Malaysia dikatakan sebagai salah sebuah negara yang agak tinggi juga dari segi kadar kemalangan jalan raya sedangkan populasi kita tidaklah begitu banyak sangat. Setakat 27 juta lebih kurang tetapi nisbah kemalangan jalan raya dan penduduk agak tinggi.

Ini juga sebenarnya diambil kira dalam soal pemantapan integriti.

Kita tengok jugak satu aspek lagi tentang keganasan atau samseng sekolah-sekolah. Yang pukul, yang bulinya. Yang samsengnya pulak macam-macam yang dilakukannya. Jadi perkara-perkara itu kita ambil perhatian.

Dan satu lagi yang saya kira sangat luas juga ialah dalam aspek pencemaran alam sekitar.

Sebab itu dalam soal kualiti hidup dan alam sekitar kita, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat, aspek alam sekitar kita cuba bincangkan bersama-sama dengan pelbagai komponen masyarakat. Jadi itulah antara lain, lima agenda keutamaan.

Saya sebut tadi tentang integriti, tentang definisinya sikit, tentang apa yang kita cuba terapkan.

Usaha ini bukan usaha satu pihak sahaja tetapi ini peranan dan tanggungjawab 27 juta lebih masyarakat Malaysia untuk melaksanakan bersama-sama.

Kita tidak boleh nyatakan ini kerajaan yang gubal dasar ini ataupun ini idea kerajaan. Tidak.

Semua bertanggungjawab menjayakannya dan bila ada sinergi daripada peringkat bawah ke atas dan atas ke bawah, kedua-duanya bergabung, Insyallah kita akan dapat lahirkan masyarakat kita yang benar-benar berintegriti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article