- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Ekspektasi Rakyat Meningkat

Must read

Seiring dengan pembangunan pesat negara, perkhidmatan awam turut digesa memainkan peranannya tersendiri bagi melancarkan proses pembangunan.

Ia ada kebenaran kerana kini faktor kerajaan turut dijadikan indikator terhadap kemajuan negara terutama dari segi daya saing dan penentu kepada sesebuah negara menjadi pilihan di kalangan pelabur.

Malah jika ditinjau dari perspektif lain pula, semakin meningkat maju sesebuah negara maka semakin meningkat keupayaan rakyat untuk menguasai ilmu pengetahuan. Selaras dengan itu, ekspektasi masyarakat dijangka turut meningkat.

Apa yang pasti, perkhidmatan awam perlulah berubah seiring dengan perubahan semasa, termasuk penyusunan semula organisasi serta  mencari pendekatan baru terutamanya dalam aspek pengurusan, teknologi dan memahami serta  menyesuaikan diri dengan persekitaran industri dan ekonomi.

Perkara ini menarik perhatian Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan beliau telah melontarkan saranan tentangnya ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam 2008 baru-baru di Kuching.

Jelasnya, bukan sahaja golongan peringkat atasan dalam perkhidmatan awam malah golongan rendah juga harus bekerjasama dan berusaha untuk mendalami isu dan cabaran yang harus mereka hadapi di persekitaran mereka.

Menurutnya, mengambil kira negeri Sarawak yang cukup luas, pastinya cabaran tetap ada dan harus ditangani dengan bijak.

Beliau turut menyentuh bagaimana penjawat awam harus meningkatkan aspek komunikasi dan interaksi mereka dalam menyampaikan program-program pembangunan untuk rakyat.

Penjawat awam harus faham persekitaran dan berinteraksi dengan nada yang sama dengan rakyat disekitar mereka.

Tambah beliau, pembangunan tidak dilihat secara fizikal sahaja, tetapi kini perlu menyakinkan orang ramai mengenai kebaikan yang bakal dinikmati dengan sesuatu pelaksanaan projek.

Katanya ini penting terutamanya apabila ingin membangunkan satu-satu kawasan baru.

Penjawat awam juga kini menurutnya perlu meningkatkan ilmu pengetahuan mereka bukan hanya terbatas kepada tugas mereka semata-mata, malah harus memahami dasar-dasar kerajaan dengan lebih terperinci untuk membolehkan mereka menangkis sebarang tuduhan yang memburukkan imej kerajaan.

Bukan itu sahaja, penjawat awam harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta memahami selok belok sesuatu perkara yang amat penting terutama apabila membuat pengawasan dan pemantauan sesuatu projek.

Dari aspek pengupayaan pula, amat penting penjawat awam peringkat bawahan diberi kepercayaan dan kuasa untuk melaksanakan tugas-tugas yang dahulunya menunggu arahan daripada pihak atasan.

Dalam kawasan pembangunan koridor Sarawak, SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak), sebagai contoh penjawat awam di kawasan terbabit perlu bijak berinteraksi dengan kalangan pelabur yang ingin menyertai koridor terbabit, katanya sambil menambah SCORE mampu menjana pelaburan RM330 bilion menjelang 2030.

Mengenai sistem perkhidmatan kaunter, beliau berkata perkhidmatan kaunter perlulah dipertingkatkan dan oleh itu satu pendekatan lebih komprehensif dibentuk.

Katanya, beliau berharap satu panel khas diwujudkan antara kerajaan negeri dan pusat bagi memantau perkhidmatan kaunter, yang merupakan barisan hadapan sesebuah organisasi tersebut.

Sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati pelanggan pada peringkat tersebut seboleh mungkin dielakkan yang  menimbulkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam.

Beliau berharap agar barisan hadapan tersebut, diberi latihan khas bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article