- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kuasai Arah Aliran Pasaran, Perkukuh Kerjasama

Must read

Berdepan dengan ketidaktentuan pasaran dan krisis makanan, inilah masa kita melihat betapa pentingnya sektor pertanian dibangunkan dengan pendekatan yang lebih efektif , moden dan berskala besar.

Justeru, golongan yang ingin menceburkan diri dalam aktiviti berasaskan pertanian di negeri digesa supaya membuat persediaan serta perancangan teliti  bagi memastikan sektor pertanian yang dijana berupaya mendatangkan hasil lumayan.

Tiga (3) pendekatan yang perlu diambil perhatian adalah dengan memahami arah aliran pasaran yang ada kini, selain mewujudkan jalinan kerjasama strategik dan jaminan ketelusan serta jujur dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan sektor tersebut.

Perkara ini dijelaskan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2008 baru-baru ini.

Menurut Ketua Menteri, mereka perlu mengkaji serta mengenalpasti pasaran yang lebih besar dan ini turut bergantung kepada keupayaan mereka menguasai arah aliran pasaran dunia yang ada pada masa kini.

Dari sini, usahawan tani  perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, membentuk keupayaan diri agar bersedia dengan cabaran semasa.

Jelasnya lagi, mereka turut perlu mengubah cara mengeluarkan dan memasarkan hasil pertanian. 

Kini dapat disaksikan komoditi pertanian tidak lagi dilihat sekadar produk pertanian semata-mata malah nilainya semakin meningkat dengan dipelbagaikan kegunaannya ataupun penghasilan produk akhirnya.

Sebagai contoh penanam gandum dan pengeluar kacang soya, Amerika Syarikat telah beralih daripada pengeluaran konvensional kepada pengeluaran baru iaitu biodiesel. Mereka bijak memasuki pasaran bahan bakar ketika bekalan minyak dunia berkurangan.

Selain aspek penguasaan ilmu pasaran, katanya ia tidak memadai sekiranya bergerak secara bersendirian serta kecil–kecilan tetapi perlu bergabung membentuk satu organisasi besar ataupun kumpulan besar.

Beliau turut menasihatkan agar sekiranya ingin kejayaan lebih besar dan perniagaan berkembang, ia perlu penglibatan yang lebih ramai. 

Jalinan kerjasama strategik amat penting, kerana setiap individu yang terlibat mempunyai kepakaran masing-masing.

Katanya, sikap ingin memonopoli perlu dibuang dan tidak relevan pada masa kini dan adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada bentuk  kerjasama serta berkongsi kepakaran.

Aspek ketelusan dan jujur, jelas beliau amat penting di samping pengurusan yang bersistematik.

Pengurusan sistematik dapat memastikan perkiraan awal boleh dilakukan bagi mengelakkan sebarang kerugian timbul.

Perancangan teliti tersebut perlu bermula sebelum membuka perniagaan lagi dengan menyediakan kertas kerja ekonomik serta mendapat nasihat terbaik daripada pakar.

Menurut Ketua Menteri, sebab itulah kerajaan negeri memperkenalkan konsep agropolis bagi memaksimumkan kegunaan tanah, yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri bagi merancakkan sektor pertanian di negeri ini.

Jelas beliau, tiga pendekatan dinyatakan tadi juga termasuklah dalam konsep agropolis atau agropol tersebut, mengambil tiga perkataan terakhir –“P” untuk  (Pasaran), O (Organisasi) dan L (Lurus atau Jujur)

Di Sarawak, terdapat seluas dua (2) juta hektar tanah yang masih belum dibangunkan sepenuhnya  yang perlu dimaksimumkan kegunaannya di bawah konsep agropolis.

Berkaitan dengan konsep agropolis, Menteri Pemodenan Pertanian, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam turut berkata kecenderungan melaksanakan pertanian secara komersil menunjukkan petanda yang positif.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian berkata sebagai contoh dalam industri akuakultur sudah terdapat syarikat swasta yang melaburkan dalam industri ternakan udang harimau yang mengguna pakai pendekatan agropolis.

Ia akan menitikberatkan sistem pengurusan rantaian bermula daripada proses penghasilan sehinggalah pemasaran hasil tersebut.

Selain itu, menurutnya ladang ternakan integrasi di Pasir Putih, Simunjan juga akan menggunakan sistem peladangan yang menggunakan teknologi tinggi di samping mesra persekitaran.

Dari segi sektor tanaman pula, jelasnya seluas 100 ekar tanah dibangunkan untuk ladang nukleus dengan tumpuan tanaman betik di Kabuloh Miri yang dilengkapkan dengan pusat pengumpulan, kemudahan pengredan dan pembungkusan.

Beliau turut mengumumkan kementeriannya telah mencadangkan pendekatan pengurusan rantaian menggunakan pakai pendekatan agropolis untuk industri padi dan beras di negeri ini.

Jelas beliau lagi, ia akan melibatkan pembangunan padi di kawasan Batang Lupar, yang akan menghimpunkan proses penghasilan benih padi, ladang kontrak, pengredan, pembungkusan, pengilangan dan pemasaran.

Info

Senarai Pemenang Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008

Peladang Jaya Lelaki
Encik Febian Anggoh Anak Uchong (Bintangor, Sarikei )

Peladang Jaya Wanita
Puan Duyah Bt Haji Mudin (Bekenu, Miri)

Pertubuhan Peladang Jaya
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK Subis)

Unit Peladang Jaya
Unit Kampung Menaul, PPK Serian

Bahagian Veterinar

Pemenang Pertama Kategori Ternakan Ruminan Besar
Encik David Majang ak Sang (Rumah Lanting, Sungai Lengan Lebaan, Sibu)

Pemenang Pertama Kategori Ternakan Ruminan Kecil  
Tuan Haji Kassim Bin Meroof, Ladang Handalas Sdn Bhd, K Sri Kandong, Matang

Pemenang Pertama Kategori Penternak Secara Integrasi
Encik Alberto Domingo, Ladang Semarak, KM52, Jalan Bintulu-Miri

Pemenang Pertama Kategori Ternakan Terbuka
Dr. Ng Siew Thiam, 26 mile, Jalan Lama Kuching / Serian

Bahagian Industri Asas Tani

Pemenang Pertama Kategori Projek Industri Kecil
Puan Rokiah Binti Sudin (Pemprosesan Makanan Hasil Laut, Kg Sekerang, Igan, Mukah

Pemenang Pertama Kategori Projek Industri Kotej
Puan Winnie ak Philip Semur (Perusahaan Kordial/ Sos, Kuching)

Bahagian Perikanan

Pemenang Pertama Kategori Penternak Ikan Jaya (Sangkar)
Encik John Salang Ak Manggau

Pemenang Pertama Kategori Penternak Ikan Jaya (Kolam)
Encik Lau Hung Tuang (Ulu Minus, Jakar, Sarikei)

Pemenang Pertama Kategori Nelayan Jaya
Encik Amiruddin Bin Julaihi (Kampung Sebuan Kecil, Jepak, Bintulu)

Pemenang Pertama Kategori Persatuan Nelayan Jaya
Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu

Pemenang Pertama Kategori Usahawan Nelayan Jaya
Encik Tay Swee Hock (Taman Satria Jaya, Kuching

Pemenang Pertama Kategori Kunita Jaya
Kunita PNK Beladin

Pemenang Pertama Kategori Usahawan Pemprosesan Jaya
Puan Juliah Binti Abdullamit (Piasau Jaya, Miri

Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM)
Penerima Anugerah Khas SALM
·    KTM Edible Mushroom Culture Farm, Sibu
·    Greenland Company, Miri
·    Planters Harvest Sdn Bhd, Sibu

Skim Organik Malaysia (SOM)
·    N & N Farm Sdn Bhd, Kuching

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article