- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Cahaya Perubahan Buat Kaum Penan

Must read

Oleh Siti Mariam Binti Mahdar

Tersemat keyakinan yang jitu di hati penulis mereka mampu berubah. Berubah kepada kehidupan yang lebih baik dan sempurna, menikmati nikmat pembangunan dan keluar jauh dari perkampungan hutan, sukar dan satu kehidupan yang tiada jaminan.

Semangat itulah yang membawa penulis mengikuti satu perjalanan yang agak sukar namun berbaloi, menemui kaum Penan di Long Napir Ulu Limbang kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan kereta pacuan empat roda.

Perjalanan yang mencabar, gaung yang curam tampak sekali meresahkan jiwa. Namun, mata tidak jemu menjamu keindahan ciptaan Ilahi yang diselaputi awam indah dan diselimuti kabus. Masakan tidak, betapa tinggi terbangnya helang, ketinggian gunung yang diredah membolehkan penulis berada tinggi dari si burung. Sesekali telinga terasa bingit seperti berada di dalam kapal terbang.

Itulah gambaran awal yang mewarnai perjalanan penulis sebelum tiba ke destinasi, Long Napir. Tetapi, yang paling mencabar ialah memikirkan apakah respons kaum Penan menerima kehadiran penulis dan rombongan?

Kedatangan kami pada 14 November 2008 bukanlah bertujuan ’mencuci mata’ sebaliknya membawa misi besar khas kepada kaum Penan melalui aktiviti yang bakal dijalankan di bawah Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang diterajui oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Kursus Motivasi Kaum Penan merupakan platform menemui masyarakat ini dengan harapan akan muncul kesedaran untuk mengubah keadaan hidup dan ’mula ambil tahu’ akan kehidupan sebenar yang sepatutnya mereka lalui seperti rakyat Malaysia yang lain.

Dianjurkan oleh Pejabat Daerah Limbang, kursus dua hari ini ini berjaya menghimpunkan kaum penan dari kawasan antaranya Long Adang dan Long Sebayang seramai lebih 50 orang. Dengan bantuan sukarelawan, Puan Linda sangkaan awal penulis ternyata meleset kerana respons daripada peserta begitu menggalakan.

Para peserta terdiri dari golongan ibu bapa, para remaja yang sesetengahnya sudah berhenti sekolah dan sebahagian kecil kaum Kelabit.

Ternyata kekentalan semangat hidup di kawasan terpencil dan sukar dihubungi menjadikan mereka ’kuat’ dan tidak menjadikan cuaca hujan, terpaksa membawa bayi dalam kendongan, melalui jambatan gantung dalam kegelapan malam dan berjalan kaki sejauh 45 minit dari kediaman di Rumah Leju, Kampung Bahagia ke Dewan SK Long Napir sebagai halangan untuk turut serta.

Peredaran masa dan pergaulan kaum Penan dengan masyarakat lain menjadikan mereka memahami pertuturan dalam Bahasa Malaysia namun tidak semua mempunyai kemahiran menulis. Komunikasi yang diselangi bahasa mudah digunakan oleh para penceramah untuk memberi motivasi kepada para peserta selain menggunakan ’slide show presentation’.

Jabatan Penerangan Malaysia, Limbang, Pejabat Pelajaran Gabungan Limbang, Pejabat Pertanian Limbang, Pejabat Pendaftaran Limbang dan Pejabat Kesihatan Limbang antara jabatan yang turun padang untuk berkongsi hasrat kerajaan yang sentiasa membantu kaum Penan.

Berlandaskan pepatah jika inginkan seseorang berjaya jangan beri dia ikan sebaliknya berikan dia pancing. Konsep inilah yang dipegang oleh para penceramah yang cuba menunjukkan jalan kepada kaum Penan bagi menggerakan sendiri perubahan dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata.

Walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang disampaikan namun, mereka cukup sedar betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak bagi mendepani kehidupan semasa yang tidak mempunyai sebarang jaminan.

Para peserta dilihat begitu tertarik dengan penerangan dari Jabatan Pertanian dan respons ini memberi gambaran bahawa mereka cuba untuk mengubah senario kebergantungan kepada hasil hutan yang tidak menentu sedangkan populasi mereka kian bertambah.

Para peserta kelihatan begitu setia dan amatlah sukar melihat mereka keluar masuk sewaktu ceramah atau mengantuk sebaliknya mereka duduk mendengar dan bertanyakan soalan apabila diberi peluang.

Keadaan dewan adakalanya gamat apabila para penceramah menyebut nama jutawan Penan, Datuk Hassan Sui, orang Penan pertama menjejak kaki ke universiti, Zain Rocky dan anak Sarawak yang telah berjaya seperti Dato Sri Idris Jala yang cukup mereka kenali dan sebahagiannya pernah bersua muka.

Salah seorang peserta, Cikgu Yong, bekas guru sandaran dan sangat fasih berbahasa Inggeris. Beliaulah yang menjadi ’orang kuat’ bagi bertanyakan soalan dan masalah mewakili masyarakatnya dan ternyata soalan yang dikemukakan menggambarkan ada usaha yang ingin mereka gerakkan untuk mewujudkan perubahan.

Kehidupan semasa yang melatari hidup mereka mungkin tidak mampu diubah secara drastik, namun menyedari bahawa pentingnya pendidikan dan pertanian sebagai sumber makanan sudah cukup membuka sinar baru dalam kehidupan masyarakat ini.

Penulis mendapat pengajaran besar bahawa tidak ada standard atau piawaian tertentu yang boleh dijadikan titik perbezaan antara kaum penan dan masyarakat di luar sana. Justeru itu, sudah semestinya kaum Penan perlu melihat ini sebagai kekuatan dan keluar perlahan-lahan dari kehidupan tradisional, membiarkan generasi seterusnya mewarisi kehidupan yang bergantung kepada hasil hutan yang kian menyusut.

Hakikatnya, untuk berubah, individu atau kaum itu sendiri perlu bangkit mengubah nasib masing-masing kerana perubahan itu perlu disertai dengan kekuatan hati dan semangat diinginkan kemajuan. Kaum Penan telah pun memiliki individu yang berjaya dan mempunyai kehidupan yang lebih baik dan ini perlu dijadikan inspirasi untuk mencipta perubahan demi kehidupan yang lebih baik.

Sememangnya telah tersedia jalan-jalan untuk kaum Penan berubah. Hanya menanti mereka mengapai cahaya perubahan ini agar kehidupan generasi akan datang diterangi nikmat pembangunan dan kejayaan menjadi insan cemelang, gemilang dan terbilang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article