– Dalam Mencapai Status Sekolah Cemerlang
Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi itulah hakikatnya, di bawah kepimpinan Pengetuanya, Encik Tilai Balla Udan, visi dan misi Sekolah Menengah Kerajaan Siburan (SMK Siburan) kerap berubah dan kali ini masuk tiga (3) kali berubah serta disesuaikan semula seiring dengan status terkini sekolah tersebut.
Bukanlah disebabkan kurang menepati sasaran, tetapi matlamat yang ingin dicapai sekolah berkenaan telah pun dicapai dalam tempoh yang agak singkat.
Sekolah tersebut pernah menetapkan sasaran untuk mencapai sekolah harapan pada 2010 (visi pada tahun 2006 tetapi dicapai pada tahun 2007), kemudiannya sasaran sekolah cemerlang juga pada tahun 2010 (visi pada tahun 2007 tetapi dicapai pada tahun 2008).
Mengimbau kembali kejayaan mencapai status “Sekolah Cemerlang” pada tahun lepas, tempoh dua (2) tahun lebih awal, Tilai menjelaskan ia bukanlah hanya bergantung kepada visi dan misi semata-mata, tetapi perancangan teliti serta seluruh usaha digembleng bersama.
Katanya, pengurusan yang berwawasan dengan visi, misi dan hala tuju yang jelas amat penting untuk di kongsi bersama agar masing-masing boleh melaksanakan pelan tindakan ke arah objektif tersebut.
Pengiktirafan tersebut tidak pernah terbayang di fikirannya memandangkan persaingan sengit daripada sekolah-sekolah lain di negeri ini malah apalah yang mungkin di harap bagi sebuah sekolah berstatus luar bandar.
Ketika itu, SMK Siburan berjaya menewaskan 20 buah sekolah lain yang turut dinilai (kategori sekolah luar bandar) seluruh negara. Turut tercalon adalah enam (6) buah sekolah dari negeri Sarawak.
Hanya empat (4) buah sekolah yang menerima pengiktirafan tersebut pada tahun lepas, selain SMK Siburan, tiga (3) lagi buah sekolah lagi iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Bagi sesetengah orang mungkin menyangka ia adalah suatu misi yang agak mustahil untuk dicapai, tetapi berkat kerjasama, termasuk warga pendidik, pelajar, PIBG malah pihak luar yang pernah membantu sekolah tersebut ia terbukti berjaya.
Berkongsi kejayaan tersebut, ketika kunjungan RAKAN Sarawak baru-baru ini, beliau menjelaskan antara rahsia kejayaan meraih status sekolah cemerlang adalah bekerja dengan bijak (work smart), berinovatif serta menunjukkan dedikasi serta disiplin diri yang tinggi.
Menurutnya, antara dipertimbangkan bagi mencapai tahap cemerlang adalah kesimbangan dari aspek akademik, ko-kurikulum, aspek pengurusan, aspek kewangan, keselamatan disamping pencapaian membanggakan dalam beberapa bidang dan program yang dilaksanakan.
Paling penting, beliau cuba menarik perhatian bahawa aspek dokumentasi ataupun manual kerja adalah antara kriteria utama perlu dilaksanakan.
Hanya melaluinya penanda aras (benchmark) boleh dilakukan yang seterusnya menggalakkan ruang penambahbaikan dapat dilakukan.
Kadangkala perkara yang membantutkan perancangan sekolah adalah prosedur yang tidak jelas yang boleh mendatangkan kekeliruan. Sekiranya manual kerja telah ada, sekurang-kurangnya terdapat rekod yang mampu bagi kita menilai prestasi yang lalu.
Menurut Tilai, hampir kesemua proses kerja telah didokumentasi serta dijadikan manual kerja atau SOP.
Selain itu, setiap program yang dianjurkan mempunyai rekod dan manualnya yang tersendiri, termasuklah program PPSMI, PIPP, Gemilang, Intervensi, Mentor-Mentee, KIA2M, Sistem Bimbingan dan Kawalan program Critical Success, dan program UPSI.
Di samping itu, sekolah ini turut mempunyai buku profil sekolah yang lengkap disamping catatan rekod sejarah pencapaian sekolah (sejak mula penubuhannya 30 tahun yang lepas) juga telah dijadikan rekod dalam bentuk buku.
Apa yang paling penting juga menurutnya, sekolah haruslah memperkasakan kekuatan atau kelebihan sekolah dari aspek inovasi dan kebitaraannya (niche area).
Bagi sekolahnya, beliau melihat aspek kebitaraan tersebut terserlah dari aspek pengurusan antaranya Lembaga Pengawas, Program 3 K (Keceriaan), Displin, Koperasi dan Sekolah Selamat.
Katanya, sebagai contoh, pengurusan sistem pemfailan dan prosedur kerja bagi Lembaga Pengawas begitu sistematik dan tersusun termasuklah bila sesuatu pemeriksaan perlu dilakukan sehinggalah kepada mengumpul dan mengeluarkan jenis-jenis kesalahan yang dilakukan.
Dari aspek “Sekolah Selamat”, SMK Siburan akan memastikan persekitaran sekolah menepati piawaian yang dikehendaki, seperti pelan kecemasan sekiranya berlaku kebakaran, tiada berlaku kejadian tidak diingini seperti pencerobohan kawasan sekolah, gangsterism dan sebagainya.
Dengan ini, jelasnya semua mengetahui apa yang perlu dilakukan, dan penguatkuasaan peraturan di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar.
Lain-lain seperti program 3 K, kita cuba untuk meningkatkan standard keceriaan kita lebih tinggi bukan hanya pada jenis bunga dan tumbuhan yang ditanam tetapi hiasan serta susun atur jubin dan sebagainya.
Kita juga berusaha untuk mendapat tajaan daripada agensi kerajaan atau organisasi yang sudi membantu, antara yang pernah melaksanakan usahasama tersebut adalah JICA (sebuah organisasi dari Jepun ) membangunkan Taman Herba dan NREB (Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak) bagi program Kelab Keceriaan.
Sambil menambah dari aspek disiplin pula, sekolahnya mempunyai sasaran tertentu agar aspek displin berada pada tahap terbaik di kalangan pelajar sekolahnya.
Memperkukuhkan lagi aspek pengurusan, beliau cuba menerapkan mekanisme kaedah “alat pengurusan” seperti antaranya SWOT, MBWA, POLC, empowerment, Environmental scanning, dipstick, checklist, gantt chart, fish bone, brainstorming, strategik planning, modeling, blue/red ocean strategy.
Sambil menambah, ia boleh menentukan di mana kedudukan kita serta bersedia untuk memperbaikinya.
Mengikut pengalaman sekolahnya, dalam usaha menjadi yang terbaik, dia juga sentiasa mengalakkan guru dan pelajar melakukan benchmark ke atas sekolah terbaik di seluruh ataupun agensi kerajaan lain.
Menurutnya, sekiranya kita berfikir yang kita adalah terbaik, tanggapan itu adalah salah disebabkan ada orang lagi lebih hebat dalam bidang mereka masing-masing.
Mengambil contoh jabatan kerajaan yang dirujuk adalah seperti SEDC (Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak bagi aplikasi ISO, Jabatan Pendaftaran dan Imigresen (sistem kaunter)
Katanya lagi, apa yang dianggap terbaik kini, tidak semestinya terbaik disebabkan aliran dan peredaran masa mampu mengubah pencapaian yang lepas.
Antara faktor lain yang penting dalam mencapai kejayaan sekolah cemerlang, tegasnya adalah displin, semua guru dan pelajar dapat mengawal dan mentadbir urus sekolah dengan teratur dan lancar
Seterusnya adalah faktor kecemerlangan dalam bidang akademik, sesebuah sekolah harus berusaha mencapai matlamat sekolah yang telah ditetapkan.
Jelasnya lagi, mungkin agak sukar untuk mencapai bilangan kuantiti, tetapi fokus juga harus diberikan kepada kualiti pelajar yang dihasilkan.
Selain daripada itu, prestasi akademik, PMR dan SPM mestilah meningkat dan prestasi ko-kurikulum mesti hebat.
Sekolah juga telah menetapkan skor tertentu bagi peperiksaan yang perlu dicapai.
Menurut Tilai, pihaknya juga sentiasa memastikan agar sekolahnya dapat mencapai piawaian yang lebih baik dengan memberi galakan dan sokongan kepada pelajar yang menyertai terlibat beberapa kejohanan dan pertandingan.
Kata Tilai lagi, terdapat beberapa pelajarnya mewakili Sarawak dan Malaysia dalam beberapa sukan seperti bola keranjang.
Faktor seterusnya adalah aspek keceriaan. Mungkin bagi sesetengah mereka, merasakan aspek keceriaan kurang penting, tetapi disini kita cuba menerapkan matlamat supaya budaya kecerlangan sekolah dapat diteruskan.
Beliau berterima kasih kerana dedikasi tenaga pendidik di sekolah guru-guru di situ kerana sanggup “berkorban masa “ mengikuti setiap perancangan yang telah digaris dalam usaha menjaga nama baik dan imej sekolah tersebut.
Apa yang pasti, Tilai berkata pihaknya bersedia untuk berkongsi kejayaan dengan sekolah lain yang inginkan kecemerlangan.
Kini SMK Siburan berusaha untuk mencapai visi dan misi baru sekolah tersebut untuk tahun 2009 sasaran lebih tinggi iaitu sekolah kluster menjelang 2015.
Info
ANUGERAH-ANUGERAH KHAS YANG PERNAH DIMENANGI SMK SIBURAN
1990
ANUGERAH PERTANDINGAN KOPERASI SEKOLAH TERBAIK, HADIAH SAGUHATI BAHAGIAN KOPERASI SEKOLAH DI SEKOLAH BERASRAMA SENIOR
1992TEMPAT PERTAMA PERTANDINGAN KEINDAHAN ALAM SEKITAR BAGI SEKOLAH MENENGAH ANJURAN BERSAMA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA, KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN PELANCONGAN SARAWAK DAN MAJLIS DAERAH LUAR BANDAR KUCHING
1994NAIB JOHAN KATEGORI SEKOLAH MENENGAH BERASRAMA GRED B, ANUGERAH PERTANDINGAN KOPERASI SEKOLAH TERBAIK (NAIB JOHAN)
1999ANUGERAH KUALITI KOPERASI SEKOLAH NEGERI SARAWAK, ANUGERAH KHAS BAGI KATEGORI KOPERASI SEKOLAH MENENGAH BERASRAMA KATEGORI A
2000ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED (KETIGA)
2001
- ANUGERAH PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (JOHAN)
- ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED A (HADIAH GALAKAN KHAS)
2002
- ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED A (KETIGA) PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (NAIB JOHAN)
2003
- ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED A (NAIB JOHAN)
- PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (NAIB JOHAN)
2004
- PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (JOHAN)
- ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED A (NAIB JOHAN)
2005
- PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (JOHAN)
- ANUGERAH KUALITI KOPERASI PERINGKAT NEGERI SARAWAK KATEGORI ASRAMA GRED A(NAIB JOHAN)
2007
- PERTANDINGAN KECERIAAN MAJLIS PERBANDARAN PADAWAN (JOHAN
- PERTANDINGAN PROGRAM 3K PERINGKAT NEGERI SARAWAK- KATEGORI KECERIAAN DAN KEHARMONIAN. (JOHAN)
- PERTANDINGAN PROGRAM 3K PERINGKAT NEGERI SARAWAK- KATEGORI KESIHATAN DAN KEBERSIHAN SEKOLAH (JOHAN)
- PERTANDINGAN PROGRAM 3K PERINGKAT NEGERI SARAWAK- KATEGORI KESELAMATAN SEKOLAH (JOHAN)
- ANUGERAH SEKOLAH HARAPAN NEGARA PERINGKAT NEGERI SARAWAK BAHAGIAN SEKOLAH MENENGAH LUAR BANDAR. (KETIGA)
- ANUGERAH SEKOLAH HARAPAN NEGARA PERINGKAT BAHAGIAN KUCHNG BAHAGIAN SEKOLAH MENENGAH LUAR BANDAR.
2008
- ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG PERINGKAT KEBANGSAAN 2008 (BAHAGIAN LUAR BANDAR)
- ANUGERAH SERI ASRAMA TERBILANG (ASAT) PERINGKAT NEGERI SARAWAK 2008 – JOHAN Peringkat Bahagian, Bahagian Kuching, 2008 NAIB JOHAN Peringkat Negeri, 2008
- ANUGERAH KHAS KETUA MENTERI (BAHAGIAN LUAR BANDAR) (JOHAN)
- Pertandingan SERASI peringkat Negeri Sarawak 2008 (Kategori Pengurusan)