Pemuliharaan Borneo Sape Perlu Dimulakan Sekarang …
Benarkah alat muzik sape ini tidak dimainkan sekerap dahulu atau dengan kata lain semakin dipinggirkan?
Malah arus pemodenan termasuklah perkembangan teknologi (dengan wujudnya cakera padat) turut dijadikan faktor penyebab mengapa kewujudan alat musik Sape tidak menjadi satu kemestian atau perkara “wajib” dalam sesuatu majlis atau upacara.
Lebih membimbangkan apabila faktor luaran seperti pengaruh muzik luar dan moden, juga dikatakan boleh mengurangkan minat terhadap muzik sape ini.
Selain itu, faktor penghijrahan golongan muda ke bandar, turut menyumbangkan kepada kurangnya kepakaran bermain alat muzik sape yang mana ia tidak diperturunkan atau diwarisi kepada golongan muda.
Kalau dahulu, alat muzik tersebut dimainkan bagi upacara untuk menyembuh penyakit, namun kini ia lebih banyak dimainkan ketika majlis keraian dan sebagainya.
Kesukaran untuk mendapatkan mereka yang mahir bermain alat muzik tersebut di samping kurangnya pengetahuan teknikal mengenai alat muzik tersebut dikatakan juga menjadi sebahagian daripada faktor kurangnya minat terhadap alat muzik.
Perkara ini diketengahkan, Henry Anyie, Pembantu Penyelidik (Bahagian Orang Ulu) dari Jabatan Ketua Menteri (Majlis Adat Istiadat Sarawak) ketika menyampaikan Ceramah Sarawakiana, di Pustaka Negeri baru-baru ini.
Atas dasar itu, beliau berharap agar pihak yang berkaitan boleh membantu meningkatkan semula minat dan kecenderungan terhadap alat muzik berkenaan.
Bagi mengekalkan alat muzik ini beliau berharap sape dijadikan sebahagian daripada kurikulum ataupun subjek di peringkat sekolah.
“Mungkin sudah tiba masanya, Sape yang juga adalah alat muzik tradisional Malaysia diajar di sekolah-sekolah ataupun dimasukkan dalam sukatan pelajaran seperti yang pernah dilakukan ke atas alat muzik tradisional lain di Malaysia” ,katanya.
Sambil mencadangkan agar, Kelab Muzik Sape boleh diwujudkan ataupun dijadikan sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah bagi memastikan alat muzik ini terus dipertahankan.
Sebelum itu, amat penting bagi guru-guru mempunyai pengetahuan yang luas mengenai alat muzik serta bagaimana mengendalikannya.
Katanya pendidikan mengenai alat muzik tersebut perlu disebarkan kepada semua golongan masyarakat kerana pada pandangan beliau sape bukanlah alat muzik milik Borneo semata-mata tetapi menjadi sebahagian daripada warisan muzik Malaysia
Katanya, adalah rugi sekiranya usaha pemuliharaan ini tidak dilakukan kini, memandangkan alat muzik memerlukan kemahiran tertentu dan sekiranya tidak diwarisi generasi muda, ia akan hilang begitu sahaja.
Umpama, jelas Henry lagi, cara memainkan alat muzik ini tidak semudah yang disangkakan kerana ia tidak mempunyai “note muzik” seperti alat muzik yang lain.
Ia memerlukan pengamatan yang tinggi iaitu elemen pendengaran yang jelas dan seterusnya kecekapan tangan mengalunkan muzik sape ini.
Dalam perkara berkaitan, dari aspek penyelenggaraan alat muzik ini pula menurut beliau lagi, ia memerlukan penjagaan yang amat teliti.
Dengan erti kata lain, katanya tidak semua yang mahir mengendalikan atau menyelenggara tetapi ia boleh dipelajari sekiranya terdapat pendidikan khusus mengenainya.
Katanya, alat muzik tersebut begitu sensitif terhadap perubahan suhu yang mungkin mengubah mutu dan kualiti alunan muzik yang dihasilkan.
Menurutnya lagi, walaupun tidak begitu gemar alunan alat muzik sape ini kini dialunkan atau dimodenkan alunan muzik oleh sesetengah pihak, tetapi beliau percaya ia sebahagian daripada evolusi perkembangan muzik tersebut mampu membawa muzik itu ke peringkat lebih tinggi.
Namun secara jujurnya dia berkata dia lebih meminati alunan muzik yang tidak terlalu moden.
Jelasnya, penerimaan alat muzik sape kini bukan sahaja dikalangan Orang Ulu sahaja, memandangkan kaum lain (seperti Iban dan Bidayuh) turut menerima baik alat muzik ini yang turut dimainkan alat muzik atau diselit di dalam acara kebudayaan mereka.
Malah Henry lagi, tarian “ngajat” akan lebih menarik serta lebih “harmoni” sekiranya diiringi dengan alunan muzik sape yang sesuai.
Harapannya agar alat muzik sape ini dapat diterima ramai dan menjadi “muzik untuk semua”
Dia berharap agar khazanah dan warisan muzik ini dapat dihayati serta dinikmati oleh bukan sahaja rakyat Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia.