- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Usahawan Industri Kotej Perlu Berani Berubah

Must read

Sekiranya Ingin Berjaya

Persaingan dalam dunia perniagaan dan bidang keusahawan kini semakin mencabar bukan sahaja disebabkan tuntutan pengguna telah meningkat tetapi mereka juga kini sudah semakin bijak dan mempunyai kuasa “memilih” produk yang ditawarkan.

Sekiranya masih dengan cara lama dalam segala segi, kemungkinan pengguna akan beralih kepada produk yang lain.

Kalau dahulu berniaga secara kecil-kecilan di rumah boleh dianggap memadai, tetapi sikap mereka (usahawan) berada pada “zon selesa” tersebut perlu diubah.

Mengikuti arus perubahan tersebut, seorang usahawan wanita bidayuh, Winnie Philip yang menceburi perusahaan membuat minuman jus, kordial, sos cili dan kicap dengan jenama “Wini” yakin perubahan tersebut membawa kebaikan untuk perniagaannya.

Bermula hanya kecil-kecilan dengan modalnya sendiri sebanyak RM20,700 di rumah lima (5) tahun yang lepas, dia mula menyesuaikan diri dengan ‘persekitaran baru” di kilang bimbingan SME Bank pada 6 Disember 2007.

Memang menjadi impiannya untuk memiliki sendiri kilang pemprosesan. Apa tidaknya, untuk berjaya, beliau harus berubah dan satu cabaran besar buatnya adalah berpindah daripada menjalankan perusahaan dari rumah ke kilang.

Hasilnya, Puan Winnie berjaya meningkatkan pengeluaran produknya di bawah Syarikat Dinamik Wirajaya bagi mengembangkan lagi perusahaannya.

Malah dia juga berjaya menambah bilangan jenis-jenis produk kordial dan minuman yang dahulunya dengan perisa mangga, oren, rose, barli telah dipertingkatkan dengan perisa baru seperti perisa nanas. Selain produk kicap dan sos cilinya, kini ditambah dengan satu produk baru sos lada hitam.

Mengenai pengeluaran pula, jelasnya lagi, secara puratanya dalam seminggu produk kordialnya boleh mencapai kapasiti pengeluaran 2,450 botol, manakala kicap (1,275 botol) dan sos lada hitam (1,230 botol). Bagi produk sos cili dan minumannya pula sekitar (520 botol) dan 932 botol)

Menurutnya, lagi dia tidak memfokuskan terhadap permintaan pada musim perayaan, disebabkan permintaan yang sedia ada (pada hari biasa) sudah memadai.

Paling penting, jelasnya adalah bagi memastikan pengeluaran adalah konsisten.

Tambah Winnie lagi, sekiranya dia masih menggunakan cara lama atau beroperasi dari rumah seperti dahulu, adalah mustahil baginya untuk meningkatkan pengeluaran seperti sekarang.

Lagi pun, piawaian dan kualiti produk lebih terjamin dengan menggunakan peralatan moden yang terdapat di kilang.

Dengan bantuan dua (2) orang pekerjanya di bahagian operasi, penghasilan semua produk kordial dan sos dilakukan berselang-seli hari, manakala dua orang lagi pekerja di bahagian pengurusan pejabat dan pemasaran.

Jelas Winnie lagi, dia sebenarnya tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak disebabkan mesin pemprosesan seperti tangki (menyimpan air bagi pemprosesan kordial) yang pernah digunakan dahulu masih dapat digunakan lagi.

Menjelaskan pengalamannya, selain sumber kewangan sendiri perlu ada, dia pernah melakukan pinjaman dengan pihak Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebagai modal pusingan dan pihak SME Bank

Sepanjang pembabitannya dalam industri kotej ini, banyak agensi dan jabatan kerajaan yang pernah menyokong usahanya seperti WEDA (Jabatan Pertanian) dalam penyediaan peralatan (menyukat kandungan garam dan gula), mesin pengisar cili, tangki air (water storage) dan troli penolak barang.

Dan baru-baru ini semasa Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008, sebagai galakkan memenangi tempat pertama Kategori Industri Kotej, beliau menerima bantuan dalam bentuk alatan iaitu peti sejuk.

Katanya lagi, pihak Program Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA Samarahan) membantu dari segi teknologi alatan membasmi kuman (water purifier), yang menjimatkan proses membasmi kuman pada botol-botol yang akan digunakan.

Sambil menambah, pihak Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) turut membantunya dalam geran bantuan bagi sampel produk tersebut dihantar ke makmal untuk mengambil sampel nutrisinya.

Ketika ditanya mengenai pendapatnya mengenai industri kotej di Sarawak, jelasnya ia masih mempunyai ruang untuk bertapak dan masa depan yang cerah.

“Kita perlu penuhi permintaan pengguna, dan beliau menyifatkan kehadirannya dalam industri kotej ini adalah untuk menghargai pengguna setianya selama ini”, jelasnya

Menjelaskan keistimewaan produknya, katanya ia terletak pada “resepi sendiri” ditambah dengan pemilihan bahan mentah terbaik dan berkualiti.

Sambil menyifatkan citarasa pengguna adalah suatu yang subjektif dan unik mengikut peringkat umur, dia cuba memenuhi keperluan tersebut.

Dia begitu mengambil berat terhadap kualiti produk yang dihasilkan, terutamanya pemilihan pembekal, cara pengendalian setiap perkakasan, kebersihan dan sebagainya.

Winnie melihat usahanya bukanlah sekadar menghasilkan produk tersebut, tetapi pada masa yang sama membantu golongan luar bandar memperolehi produk berkualiti dan bersih.

Setakat ini, dia berjaya meningkatkan jualan produknya di kawasan luar bandar, terutamanya dalam Bahagian Kuching, antaranya di kawasan Stass, Mongkos (dijual ke koperasi) dan Serikin (baru memasuki pasaran).

Ketika ditanya kenapa memilih perusahaan penghasilan kordial dan produk berkaitan, katanya ia adalah suatu yang “dekat” pada dirinya. Tambahan pula, dia pernah menjadi seorang surirumah, dia mengetahui apa keperluan wanita di dapur dan dari situ lahirlah keazaman menghasilkan produk ini.

Jelasnya lagi, sebelum menceburkan secara serius dalam bidang ini, semasa beroperasi (dulu di rumah) dia sudah mempunyai pembeli tetap serta mengetahui apa yang mereka inginkan.

Bukanlah seorang usahawan namanya, sekiranya tidak berhadapan dengan cabaran, katanya sebelum produknya diterima oleh pelanggan, beliau perlu memberi keyakinan pelanggan terhadap produknya.

Beliau tidak pernah menafikan bahawa, perasaan kurang yakin pada mulanya disebabkan produknya belum begitu dikenali ketika itu, tetapi setelah beberapa promosi dilakukan produknya dapat diterima dengan sambutan yang mengalakkan.

Dia amat mementingkan kualiti dan pastinya setiap produknya akan melalui beberapa aspek standard kualiti yang telah ditetapkan oleh kilang.

Salah satu pendekatan yang digunakannya adalah dengan memberi sampel produk secara percuma terutamanya dua atau tiga bulan pertama di samping meninjau sendiri ke kedai yang menjual produknya.

Beliau memberi nasihat kepada usahawan muda bahawa sebelum menceburi bidang lebih besar perlulah mencari kemahiran terlebih dahulu dan apakah aliran permintaan pasaran terhadap produk tersebut.

Bagi memastikan produk keluaran itu diterima, katanya adalah perlu usahawan membuat kajian terlebih dahulu dan menghasilkannya dalam kuantiti yang sedikit sebelum meningkatkan pengeluaran.

Paling penting jelasnya, rahsia kejayaan itu sebenarnya bertunjangkan kepada minat mendalam. Kerana tanpa minat, apa yang diusahakan tidak akan sampai ke mana-mana. Dan langkah pertama itu penting dan berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

Jelasnya, nasihat kepada usahawan wanita bahawa, ilmu pengurusan adalah amat penting sebagai bekal untuk maju ke hadapan.

Itu termasuklah bagaimana untuk mengurus pekerja, kewangan termasuklah bagaimana merancang perbelanjaan, di samping perlu mengetahui selok belok perjalanan syarikat.

Sambil berkata, sekiranya berpeluang, ikuti sebanyak mungkin kursus yang ditawarkan agensi dan jabatan berkaitan terutama dari aspek kemahiran dan pengurusan.

Jelasnya usahawan juga haruslah berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Di samping jangan malu bertanya memandang terdapat banyak agensi dan persatuan yang boleh dirujuk.

Ketika ditanya mengenai senario industri kotej di Sarawak, katanya terdapat ramai usahawan terutamanya wanita (di luar sana) yang mengusahakan industri penghasilan makanan.

‘Golongan ini masih perlu dibantu memandangkan potensi, kebolehan dan kemahiran yang ada pada mereka, untuk membawa produk mereka “keluar” jelasnya.

“Kita mungkin mempunyai kemahiran, tetapi itu tidak mencukupi sekiranya produk tersebut tidak mampu untuk dipasarkan”, jadi pentingnya usahawan berfikiran terbuka serta membuka laluan kerjasama strategik dengan agensi, organisasi dan syarikat yang berpengalaman dalam bidang ini yang ingin membantu mereka.

Jelasnya lagi, ia mungkin dapat membantu terutamanya kos pemasaran yang terlalu besar dan usahawan tersebut perlu berusaha meningkatkan dari aspek pengeluaran dan kualiti makanan.

Katanya, bagi dirinya beliau bersyukur dan berterima kasih kerana terdapat banyak agensi yang menyokong kejayaannya sehingga ke hari ini.

Bantuan pihak SME Bank (menyewa kilang bimbingan mereka) begitu amat dihargai beliau di samping itu, dia berharap memanfaatkan geran yang ditawarkan pihak bank berkenaan untuk meningkatkan dari aspek aspek pelabelan serta peningkatan pengetahuan melalui kursus yang dianjurkan.

Dia juga tidak lupa sebelum dia bergelar usahawan, banyak ilmu pengetahuan dan selok belok perniagaan diperolehinya melalui kursus, antaranya anjuran pihak MARDI, FAMA dan Jabatan Pertanian.

Malah dia tidak menjangka kursus pertama dihadirinya pada (1998) anjuran Jabatan Ketua Menteri (Unit Pembangunan Usahawan) ketika itu, membuka minatnya terhadap bidang ini dan berjaya sehingga ke hari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, pihaknya akan melakukan beberapa ubahsuai tambahan dalam pelan kilang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran disamping mengeluarkan perisa baru (bagi kordial minuman)

Antara keazamannya, dia berusaha supaya kilangnya dapat memenuhi keperluan GMP (Good Manufacturing Practice ) dan GHP (Good Health Practice) sebelum penghujung tahun ini (2009)

Malah, dia juga merancang untuk menambah lagi dua orang lagi pekerja, di samping sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan halal pada tahun ini (2009).


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article